Antara kuman dalam air dan gajah dalam bilik hotel

Share


JIKA dahulu Malaysia takut dengan cerita hantu pocong, hantu raya, hantu orang minyak, hantu Kak Limah dan sebagaimya, kini mereka ‘naik hantu’ dengan misteri ‘hantu’ air di Selangor dan ‘hantu’ gajah dalam video seks.

Hantu-hantu ini menghuru-harakan politik negara sehingga memaksa Ketua Polis Negara campur tangan dan memberi pandangan berkaitan ketulenan video, bukan unit forensik.

Walaupun kisah ‘hantu’ air sudah berlarutan di Selangor lebih sedekad dan kisah ‘hantu’ dalam video seks pula baru lebih sebulan, sinonimnya kedua-dua ‘hantu’ ini meloyakan tekak rakyat.

Hari Jumaat, kerajaan PH membuat kenyataan pencemaran sebagai perkara biasa di Selangor.

Pagi hari Isnin, kerajaan PH salahkan syarikat lombong milik kerajaan PH Selangor sebagai pensabotaj kerajaan PH.

Petang hari Isnin, kerajaan PH salahkan pemancing.

Mungkin esok kerajaan PH akan salahkan CCTV dan tidak mustahil jika lusa kerajaan PH akan salahkan Datuk Seri Najib, UMNO dan 1MDB.

Rakyat kagum dengan kecekapan pihak PDRM yang berjaya mengesan elemen pencemaran dalam air dalam tempoh hanya sehari.

Namun begitu, rakyat hairan kenapa ‘gajah’ dalam bilik hotel yang terpampang di dalam video gagal dikenalpasti walau sudah lebih sebulan berlalu?

Persoalannya, Haziq telah mengaku bahawa beliau individu yang terlibat dalam video tersebut dan disertai dengan bukti video, namun Haziq tidak disiasat atau didakwa kerana sodomi (semburit).

Sebaliknya Haziq ditahan reman selama sembilan hari atas kesalahan jenayah menyebarkan video.

Mengapa Haziq tidak disiasat atas kesalahan sodomi (semburit)?

Sekadar untuk pencerahan, bukankah jika Haziq disiasat atas kesalahan sodomi (semburit) bermakna ia akan membuka peluang lebih baik untuk pihak PDRM mengenalpasti dan menyoal siasat pasangannya?

Terdapat pelbagai mekanisma siasatan yang boleh digunakan bermula dari pengecaman dalam video, CCTV hotel, rekod hotel, saksi di hotel, DNA di tilam dan sebagainya.

Amat menyedihkan apabila Ketua Polis Negara hanya mampu menyatakan bahawa penyiasatan ke atas video seks tersebut hanya membuang masa pihak PDRM.

Akhirnya, Ketua Polis Negara umumkan penemuan pihak SKMM bahawa video seks tersebut tulen tetapi pelakunya tidak dapat dikenalpasti kerana keputusan pengecaman tidak menunjukkan 100 peratus menteri yang dikatakan terbabit dalam video itu.

Jika bukan 100 peratus, rakyat perlu tahu berapa peratusan sebenarnya? Adakah ianya 10 peratus, 50 peratus, 80 peratus atau 99 peratus? Nyatakan peratusan sebenar.

Mengikut sejarah Malaysia, Perdana Menteri sendiri akan berjumpa dengan saksi dan mangsa yang terlibat dengan kes sodomi (semburit) walaupun ketika itu tiada langsung bukti video.

Siasatan kes sodomi (semburit) oleh Perdana Menteri sendiri pernah berlaku di Malaysia pada tahun 1997. Ia bukan amalan baru.

Peliknya di Malaysia Baharu, Perdana Menteri bukan sahaja tidak menyiasat atau cuba mengecam wajah pelaku melalui iphone miliknya, sebaliknya Perdana Menteri melabel penyebar video tersebut sebagai penjenayah politik pula.

Hari ini Tun Mahathir membuat kenyataan luar biasa apabila dipetik oleh FMT sebagai berkata “saya tidak alan membiarkan diri saya dipergunakan untuk menyingkirkan Azmin”!

Persoalan berikutnya, siapa kah pula yang mempergunakan Tun Mahathir untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim pada tahun 1997?

Adakah ketika itu Tun Mahathir membiarkan dirinya mempergunakan dirinya sendiri untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim?

Soalan saya, adakah YAB Tun Dr Mahathir Mohammad melihat semua isu dalam negara ini sebagai isu politik?

Saya fikir ini bukan solan politik tetapi soalan tentang kebenaran. Rakyat Malaysia tidak boleh menerima ahli politik yang amalkan semburit. Ia bertentangan dengan agama dan budaya sosial masyarakat Malaysia.

Ketua Polis Negara melemparkan tuduhan bahawa video seks tersebut sengaja dipolitikkan oleh parti pembangkang, namun yang berperang di media arus perdana adakah membabitkan pihak pembangkang?

Kenapa Azmin Ali menyarankan Anwar Ibrahim melihat wajahnya di cermin sebagai balasan kenyataan Anwar yang mencadangkan Azmin Ali meletakkan jawatan? – UTUSAN ONLINE

ANINA SAADUDIN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *