Bakal pengganti Haziq kena berbadan sado – Shamsul Iskandar

Share


Bakal pengganti SUSK saya kena badan sado jugalah – Shamsul Iskandar

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, bakal pengganti Setiausaha Sulit Kanannya, Haziq Abdullah Abdul Aziz `nampaknya mesti yang berbadan sado juga’.

“Senang bila six pack (memiliki perut dengan ketulan otot yang kekar) ini bila ada di sebelah saya, nampak saya (juga) sado,” seloroh beliau kepada Utusan Malaysia ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suara Keadilan di Restoran D’Saji KL Titiwangsa di sini hari ini.

Menurut Ketua Penerangan Keadilan itu, beliau dimaklumkan Haziq yang ketika ini masih digantung tugas, mengalami kemurungan selepas rakaman video seks memaparkan aksinya yang didakwa bersama seorang menteri Kabinet tular dalam media sosial tempoh hari.

Ditanya perasaannya ketika disoal siasat oleh polis selama hampir lima jam berhubung insiden klip video membabitkan pegawainya itu, kata Shamsul Iskandar lagi:

“Lima jam yang mendebarkan sebab soalan-soalan yang ditanya begitu mendalam tentang Haziq. Kalau soalan politik, okeylah.”

Begitupun, kata beliau, insiden klip video itu telah menjadikan PKR semakin utuh solidaritinya.

“Semalam Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Sabah dengan kesemua ketua Cabang hadir manakala di Sarawak begitu juga dihadiri antara 3,000 hingga 4,000 orang,” katanya.

Mengulas tindakan sebuah agensi media Australia, SBS News hari ini mendapatkan pandangan beberapa pakar bagi mengulas ketulenan video seks berkenaan yang “bersetuju bahawa tidak ada kelihatan sebarang pengubahan digital telah dibuat”, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata:

“Jangan campur tangan urusan dalam negara ini. Tindakan media Australia ini seolah-olah memperlekehkan pihak berkuasa undang-undang kita (dalam menyiasat kes video seks berkenaan).”

Rumah Terbuka Aidilfitri Suara Keadilan itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dilihat berbual mesra dengan Shamsul Iskandar sambil disertai Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Naib Presiden, Tian Chua. -UTUSAN ONLINE



One thought on “Bakal pengganti Haziq kena berbadan sado – Shamsul Iskandar

  • June 19, 2019 at 6:21 am
    Permalink

    Eloklah sekiranya diganti…elakkan persenol yg ada kaitan dg kes kes yg sangat menjelekkan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *