Kain rentang tolak Dr. Mahathir muncul di Kuala Lumpur

Kain rentang menolak kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul di dua lokasi berbeza di sini hari ini.

Satu daripadanya dinaikan di jejantas Jalan Bangsar berhampiran pangsapuri Abdullah Hukum dan Putra Ria dengan bertulis ‘Mahathir letak Jawatan!!!, Anwar Ibrahim PM Ke-8, Demi selamatkan Malaysia’ berserta gambar Anwar dan logo PKR.

Difahamkan, kain rentang itu bagaimanapun telah diturunkan oleh ahli-ahli PKR.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dalam laman Facebook beliau mendakwa kain rentang tersebut berniat jahat dan percaya ia dilakukan oleh musuh politik Pakatan Harapan (PH).



“Pagi tadi, satu kain rentang fitnah politik yang berniat jahat telah dinaikkan di jejantas Jalan Bangsar di depan apartmen Abdullah Hukum/Putra Ria. Saya percaya ia dibuat oleh musuh politik PH.

“Saya telah arah anggota Keadilan (PKR) untuk segera turunkan dan buat laporan polis berkenaan insiden ini,” katanya dalam laman media sosialnya itu hari ini.

Portal berita Malaysiakini pula melaporkan kain rentang sama turut dikesan dipamerkan berhampiran Taman Permata di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berdekatan pasar raya besar Giant.

Setakat ini belum ada maklumat siapa yang bertanggungjawab menggantungkan kain rentang tersebut.



Kebelakangan ini wujud spekulasi membabitkan Dr. Mahathir dan Anwar kononnya persetujuan untuk memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu tidak akan berlaku seperti dijanjikan dan pada masa sama wujud usaha bagi menggulingkan Dr. Mahathir. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker