UMNO rafak sembah tahniah pelantikan Yang di-Pertuan Agong

UMNO merafak sembah tahniah kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berkuat kuasa 31 Januari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai parti yang menyanjung tinggi Rukun Negara, khususnya prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, parti itu akan terus mencurahkan khidmat bakti serta ketaatan kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, parti itu akan terus memastikan institusi diraja di negara ini bukan saja dihormati dan dipertahankan, malah menjadi inspirasi terbaik dalam membangunkan tanah air.

“UMNO yakin dan percaya, tempoh pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 akan melonjakkan Malaysia ke persada yang lebih baik dan berjaya.



“UMNO mendoakan agar pemerintahan Yang di-Pertuan Agong akan berjalan dengan lancar, diberkati serta aman makmur. Daulat Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataannya hari ini berkata, Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari ini.

Lantikan itu diputuskan selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker