Akhlak, peribadi calon Pas lebih baik dari Anwar – Ketua Dewan Ulama Pas

Peribadi, akhlak calon Pas lebih baik – Mahfodz

Pas meletakkan calon dengan keperibadian dan akhlak lebih baik berbanding calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah disabitkan dalam kes ra­suah dan liwat.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar merupakan bekas pegawai tentera yang mempunyai rekod bersih dan memiliki integriti tinggi.

“Saya bukan hendak me­ngumpat tetapi kita semua tahu Anwar dengan kes rasuah dan dua kes liwat yang disabitkan mahkamah. Dia tak layak jadi Perdana Menteri, dari segi akhlak dan maruah walaupun dia telah dibebaskan dan diampunkan.



“Kalau banding dengan calon Pas, saya kenal dia lebih 10 tahun dan dia seorang yang ada inte­griti, pendirian dan tidak pernah disabitkan kesalahan rasuah dan lain-lain. Dia mempunyai disiplin tinggi sebagai bekas pegawai tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah kelompok Pas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Taman Intan Perdana di sini, semalam.

Mahfodz turut mengingatkan pengundi di Port Dickson risiko sekiranya Anwar memenangi PRK itu dan mahkamah kemu­dian mendapati beliau tidak layak bertanding ekoran isu pengampunan penuh diterimanya daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau Anwar didapati tidak layak bertanding, teruk tuan-tuan kena mengundi sekali lagi,” katanya.



Baru-baru ini seorang pe­ngundi berdaftar di Port Dickson, Noraziah Mohd. Shariff, 38, mengemukakan saman pemula bagi memohon pengsiytiharan mahkamah bahawa Anwar tidak layak bertanding di mana-mana kerusi Parlimen.

PRK Port Dickson diadakan selepas bekas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan Anwar ke Dewan Rakyat dan memenuhi pelan peralihan kuasa untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

Utusan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker