Sebab mulut leher terjerat

Lim Guan Eng

oleh Ab Jalil Backer

MINGGU lepas mungkin minggu paling sukar buat Kementerian Kewangan (MoF) apabila diasak bertubi-tubi oleh pihak pembangkang berkaitan statistik dan data mengenai ekonomi negara.

Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan adalah dua pengkritik kuat serta utuh yang melampirkan pel­ba­gai data kerajaan dan pihak swasta.

Semua ini bermula daripada kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa hutang negara bukanlah RM688 bilion seperti yang didakwa oleh kerajaan sebelum ini. Pada Mei 2018, Guan Eng menolak semua bentuk kiraan standard antarabangsa mengenai hutang negara dan mengemukakan formula sendiri bagi meng­isyti­harkan hutang negara adalah RM1 trilion.

Namun laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan minggu lepas menunjukkan hutang negara pada akhir suku kedua 2018 (iaitu akhir bulan Jun) adalah RM725 bilion. Laporan yang sama menyatakan hutang negara hanya RM688 bilion pada akhir tahun 2017.

Najib tidak melepaskan peluang ini dengan membuat catatan bertanya, “takkan BNM menipu?” Laporan BNM tersebut kemu­diannya turut disahkan oleh laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang di­bentangkan dalam Parlimen mem­­berikan angka-angka yang sama.

Najib juga menggunakan laporan BNM mengenai pendapatan negara yang nyata berbeza daripada dakwaan Guan Eng.

Menggunakan keratan sebuah akhbar bertajuk “Harungi 5 bulan mencabar berbekalkan RM450 juta – Lim Guan Eng”, bekas Menteri Kewangan tersebut mem­ben­tang­kan angka-angka daripada laporan Bank Negara menunjukkan kerajaan menerima pendapatan sebanyak RM74 bilion dari Mei-Ogos 2018.

Menurut BNM, pendapatan kerajaan pada Mei 2018 ialah sebanyak RM20.8 bilion, diikuti RM14.1 bilion (Jun 2018), RM21.3 bilion (Julai 2018) dan RM17.4 bilion (Ogos 2018).

Najib secara sinis bertanya, “Apa yang mencabarnya atau semua duit tersebut sudah hilang? Jika duit sudah hilang maka wajarlah Lim Guan Eng disiasat.”

Masalah kepada Guan Eng ialah, selepas menjadi Menteri Kewangan, beliau cuba menjustifikasikan kempen-kempen Pakatan Harapan mengenai ekonomi dan kewangan negara sebelum pilihan raya lalu sebagai benar dan ‘real’.

Justeru banyak kenyataan beliau yang bertentangan dengan data ekonomi negara dan memberi gambaran negatif kepada pelabur negara.

Ahmad Maslan turut mengambil kesempatan mendedahkan ke­pincangan pengurusan ekonomi negara berhubung dengan ke­putusan menamatkan kontrak MMC-Gamuda bagi kerja-kerja pembinaan laluan bawah tanah projek Mass Rapid Transit (MRT) 2.

MoF menamatkan kontrak tersebut dengan alasan untuk menjimatkan kos melalui satu tender antarabangsa. Apa yang Guan Eng tidak sedar projek tersebut sememangnya telah diberikan kepada MMC-Gamuda melalui satu proses tender terbuka antarabangsa yang turut disertai oleh syarikat dari China dan Jepun.

Naratif kerajaan untuk menjimatkan wang rakyat memang sedap didengar kepada masyarakat biasa. Namun ia tidak lunak dalam kalangan pelabur asing dan peniaga yang melihat kerajaan bukan sahaja tidak menghormati kontrak-kontrak sebelum ini, malah sesuka hati membatalkan kontrak yang dimenangi melalui tender terbuka.

Ahmad Maslan dalam sesi Parlimen minggu lalu memetik laporan dari MIDF Amanah Investment Bank yang menyatakan bahawa kejatuhan saham Bursa Malaysia kebelakangan ini berkaitan dengan tindakan semberono kerajaan menamatkan kontrak MMC-Gamuda.

Menurut MIDF, “Last Monday’s foreign net selling of RM227.2 million was of no surprise as investors reacted towards last Sunday’s announcement of the termination of MMC Corp Bhd-Gamuda Bhd’s joint-venture underground work contract for the MRT2.”

Bagaimanapun Guan Eng dalam jawapannya menyatakan, “Saham jatuh bukan kerana satu atau dua projek syarikat, ini tiada kesan yang besar. Saya rasa bukan hanya Malaysia, pasaran saham di seluruh dunia juga dipengaruhi pembangunan ekonomi di Amerika Syarikat, terutamanya susulan perang perdagangan dunia terutamanya dengan China.”

Ahmad Maslan juga sebelumnya menyifatkan MoF sebagai tidak cakna dalam pengurusan kewangan negara.

Guan Eng perlu sedar sebagai Menteri Kewangan beliau tidak lagi boleh bercakap sesuka hati dan buat kenyataan berdasarkan kepentingan politik partisan sehingga berbeza dari data ekonomi dan kewangan negara yang sebenar.

Kenyataan dan keputusan kerajaan yang tampak semacam berhalusinasi telah menyebabkan pelabur asing dan juga negara asing hilang kepercayaan. Malaysia sekarang berhadapan krisis kepercayaan di kalangan pelabur, usahawan dan negara asing.

Nilai Ringgit jatuh, pertumbuhan ekonomi berkurangan, projek ekonomi terawang-awang berhadapan penangguhan dan pengurangan kos, malah pelancong asing terutama dari China turut berkurangan. Semua ini memberi putaran ekonomi yang sangat ganas dan tidak memberangsangkan kepada negara.

Kata orang tua, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”. Inilah yang dikata­kan sebab mulut leher terjerat.

Sinar

ECRL: Dr Mahathir Arah Lim Guan Eng Tutup Mulut

Rogol pengantin baharu, perogol tak mengaku

Pengawal keselamatan tembak mati lelaki cuba samun bank, tahan tebusan di Kota Tinggi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker