MA63: Pembangkang kena bantu PM – Annuar

Tan Sri Annuar Musa

Pembangkang perlu membantu kerajaan mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perlembagaan bagi melaksanakan apa yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata walaupun daripada parti yang berbeza, ia tidak harus menjadi penghalang kepada prinsip kebersamaan dalam perkara yang membabitkan kepentingan bersama.

“Ada percakapan menyatakan kerajaan buat masa ini tidak dapat berbuat apa-apa bagi perkara yang memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen, sehinggalah kerajaan yang memerintah mempunyai atau menguasai dua pertiga kerusi Parlimen.

“Saya berpandangan alasan ini tidak wajar. Bagi perkara yang kita merasakan ada kepentingan nasional dan baik bagi rakyat dan negara, pembangkang mesti bersedia menyokong kerajaan untuk mendapatkan dua pertiga yang diperlukan.

“Sekiranya perkara itu baik bagi rakyat dan negara, pembangkang harus bersedia membantu Perdana Menteri merealisasikan visinya berdasarkan kebijaksanaannya.

“Dulu, pembangkang membangkang semua perkara. Bangkang ‘for the sake of membangkang’, hatta perkara yang baik pun ditolak. Amalan seperti ini harus ditolak,” katanya dalam satu kenyataan dalam entri Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Kerajaan Persekutuan perlu mempunyai dua pertiga majoriti dalam Parlimen untuk meminda Perlembagaan bagi melaksanakan apa yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan MA63.

Dr Mahathir berkata, Kerajaan Persekutuan perlu melihat bagaimana ia boleh mendapat sokongan di Parlimen bagi membolehkan hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 dikembalikan.

Annuar berkata, beliau berharap Perdana Menteri dapat memandu arah satu perbincangan mendalam dalam kalangan Ahli Parlimen supaya isu MA63 dapat ditangani bersama.

Katanya, Dr Mahathir adalah seorang yang sangat arif dan berpengalaman mengenai perlembagaan dan kenegaraan terutama isu berkaitan asas penubuhan negara serta dasar negara.

“Dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 misalnya, ia adalah perkara sangat asas dan penting bukan saja kepada Sabah dan Serawak tetapi Malaysia itu sendiri.

“Kita berharap dalam hal ini Perdana Menteri dapat memandu arah satu perbincangan mendalam kalangan Ahli Parlimen supaya isu MA63 dapat kita tangani bersama.

“Jawatankuasa Pemilih boleh dibentuk dengan membabitkan pihak kerajaan dan pembangkang untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

BH

MA63: PM umum sesuatu yang besar malam ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker