Kenyataan harga barang turun sangat meragukan

Kenyataan bahawa kira-kira 70 peratus barangan asas mengalami penurunan harga selepas kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjadi sifar bermula 1 Jun lalu, amat meragukan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kenyataan dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail itu tidak disertakan bukti serta butiran kajian yang dijalankan Majlis Harga Negara.

“Saya mendapat banyak rungutan daripada rakyat yang menyatakan harga barangan tidak mengalami penurunan walaupun GST telah diturunkan kepada kadar kosong peratus.

“Apatah lagi sewaktu tempoh musim perayaan masih lagi berlangsung pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, penurunan itu dikesan berdasarkan tinjauan kementeriannya antara 1 Jun hingga 30 Jun lalu.

Menurut Shahril Sufian, dengan mengambil contoh barangan yang mengalami penurunan harga seperti diberikan oleh menteri iaitu bawang merah kecil rose, Laporan Harga Purata Terkini Peringkat Runcit Komoditi Harian yang dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada 1 Mei 2018 di daerah Petaling, Selangor mendapati harga purata bagi produk itu adalah RM7 sekilogram.

Namun katanya, pada 29 Mei lalu harganya melambung kepada RM8 manakala pada 23 Jun 2018, harga puratanya adalah RM7.50 setiap kilogram.

“Bermakna di sini jelas, harga telah naik terlebih dahulu sebelum berlakunya penurunan.

“Kementerian seharusnya menyedari bahawa terdapat sebilangan peniaga yang telah terlebih dahulu menaikkan harga barangan sebelum GST menjadi sifar dan sebarang penurunan harga selepas GST sifar peratus hanyalah mengembalikan harga barangan tersebut kepada harga asal barangan tersebut,” katanya.

Tambahnya, perkara itu turut diakui Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman dalam sebuah wacana baru-baru ini bahawa tinjauan yang dilakukan turut mendapati harga barangan asas masih lagi mahal walaupun selepas GST sifar peratus.

“Tetapi mungkin saya silap. Mungkin MTEM silap. Barangkali orang-orang menteri lebih kerap turun ke pasar dan kedai runcit.

“Mungkin sahabat-sahabat boleh bantu tunjukkan sebarang contoh harga barang yang menurun supaya kita pun turut sama boleh bantu menuar-uarkan fenomena penurunan harga barang yang dilaporkan menteri,” katanya.

Shahril Sufian berkata, pihaknya menantikan laporan penuh data dan statistik pengguna bagi bulan Jun dikeluarkan oleh agensi berkaitan dan mahu melihat sendiri bukti fenomena penurunan 70 peratus yang dihebahkan.

“Kami mendesak agar pihak kementerian dapat mengeluarkan laporan penuh kajian yang telah dijalankan oleh Majlis Harga Barang ini bagi membolehkan rakyat membuat perbandingan kenyataan menteri ini dengan realiti sebenar yang berlaku,” katanya.- UTUSAN ONLINE

3 thoughts on “Kenyataan harga barang turun sangat meragukan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.