Polis panggil Lokman selepas serah analisis video seks gay

Polis akan memanggil semula Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam esok, selepas beliau menyerahkan laporan forensik video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, laporan analisa ke atas video seks sejenis yang dilakukan penyedia perkhidmatan analisis forensik, Verden Forensics di United Kingdom sudah dihantar kepada CyberSecurity Malaysia untuk diteliti.

“Kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa arahan lanjut sudah diterima.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 292 dan 377B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKMM) 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Pada 28 Ogos lalu, polis dilaporkan meminta Lokman menyerahkan salinan video yang diberikan kepada Verden Forensics bersama laporan penuhnya.

Berdasarkan laporan ringkasan Verden Forensics, klip video itu tulen dan 2 individu terbabit sama dengan gambar mereka.

Tetapi, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada 18 Julai lalu berkata, analisis CyberSecurity Malaysia mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu yang dikatakan mirip seorang menteri itu.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dinafikan timbalan presiden PKR itu yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.



Kes Zakir Naik

Huzir berkata, kertas siasatan kes pendakwah dari India, Dr Zakir Naik mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu terhadap Dr Mahathir Mohamad dan menggelar kaum Cina di Malaysia “tetamu lama” sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada peguam negara.

Naik dipanggil ke Bukit Aman bulan lalu selepas beratus laporan polis dibuat terhadapnya susulan kenyataannya mendakwa penganut Hindu lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendran Modi berbanding Mahathir dan kaum Cina di Malaysia ialah “tetamu lama”.



Naik kemudiannya memohon maaf terhadap salah faham yang timbul, tetapi beliau tetap mempertahankan kenyataannya dipetik luar konteks.

Kes Dong Zong

Huzir berkata, kes membabitkan Dong Zong digelar rasis oleh Mahathir akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, selepas polis mengambil keterangan setiausaha dan pengerusi kumpulan pendidikan Cina itu serta timbalan menteri pendidikan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.



Pada 12 Ogos lalu, Mahathir melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara, selepas membantah pengenalan tulisan jawi di semua sekolah mulai tahun depan dengan mendakwa “penyelidikan beberapa cendekiawan dan pakar kesusasteraan” menunjukkan tulisan itu digunakan sebagai medium untuk menyebarkan ajaran Islam.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan pada 14 Ogos lalu dilaporkan berkata, pengenalan tulisan jawi bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 mulai 2020 diteruskan di sekolah kebangsaan, manakala sekolah vernakular perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, Kabinet menetapkan pengenalan seni khat digantikan tulisan jawi dan ia kekal dimuatkan dalam 3 muka surat buku teks bahasa Melayu serta tidak dinilai dalam peperiksaan.

Kes taikun hina tentera



Huzir berkata, kes hartawan terkenal, Koon Yew Yin menghina anggota tentera masih dalam siasatan dan pihaknya sedang menunggu laporan profiling serta analisa digital daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan nasihat dan arahan lanjut,” katanya sambil menambah kes itu disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 AKMM.

Taikun dari Perak itu dipanggil polis bulan lalu susulan laporan dibuat terhadapnya yang mendakwa anggota tentera “tidak melakukan apa-apa, kecuali makan dan tidur”.

“Sebenarnya, hampir semua (daripada) mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan di papan sasaran. Sebahagian perlu menggantikan pekerja asing di ladang Felda,” tulisnya di blognya pada 14 Ogos lalu.



Koon memohon maaf selepas menerima tekanan pelbagai pihak, termasuk Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker