Gojek dan kegagalan urus ekonomi

Oleh AB JALIL BACKER

TINDAKAN Kabinet meluluskan perkhidmatan Gojek sangat mengejutkan dan menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kredibiliti keputusan yang dibuat kerajaan.

Perkhidmatan teksi motosikal pernah beroperasi di negara ini melalui syarikat tempatan Dego Ride pada penghujung 2016 dan diharamkan oleh kerajaan pada 2017. Selepas Pilihan Raya Umum lalu Dego Ride sekali lagi beroperasi dan kali ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, turut mengharamkan atas alasan sama iaitu keselamatan jalan raya dan orang ramai.

Apabila menteri daripada dua pentadbiran berbeza membuat keputusan yang sama tentulah ia membabitkan satu kajian yang telah dilakukan dengan cermat dan teliti.

Justeru, kepantasan kelulusan Kabinet kali ini sangat mencurigakan kerana ia berlaku beberapa hari selepas Gojek, syarikat dari Indonesia itu, membuat pembentangan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Anthony Loke.

Malah sebelum pembentangan pun Syed Saddiq telah menguar-uarkan nama Gojek sehingga ada yang tertanya-tanya adakah menteri sudah bertukar taraf kepada pelobi syarikat. Tindakan Syed Saddiq mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju meluluskan perkhidmatan teksi bermotosikal menambah senarai jenaka kerajaan.

Mengapa Menteri Belia dan Sukan yang mengumumkan kelulusan tersebut bukannya Menteri Pengangkutan? Apakah telah ada kertas Kabinet sewajarnya untuk meluluskan sesuatu yang besar ini?

Hakikat kertas cadangan dibawa oleh Syed Saddiq bukannya Kementerian Pengangkutan yang bertanggungjawab dalam pengangkutan awam, jelas menunjukkan kelulusan itu bertaraf resolusi kedai kopi. Kabinet tidak sewajarnya membuat sesuatu keputusan besar melibatkan perubahan dasar keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam tanpa input pihak-pihak yang berkepentingan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan pengguna jalan raya.

Apabila Kabinet telah membuat keputusan maka semua kajian yang akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan hanyalah ke arah untuk melegitimasikan perkhidmatan teksi bermotosikal ini.

Dr Mahathir dilaporkan Bernama sebagai berkata: “Kalau rasa tak selamat jangan naik. Kita ada pilihan dan kita tidak paksa kamu guna perkhidmatan motosikal itu.” Bak kata pepatah lulus jarum, luluslah kelindannya.

Menurut Syed Saddiq, Kabinet bersetuju meluluskan Gojek untuk membuka peluang pekerjaan kepada anak muda. Hasrat memberi peluang pendapatan tambahan kepada anak muda berpendapatan rendah di bandar memang enak didengar, namun tidak semestinya ia keputusan yang baik.

Alasan Syed Saddiq itu sangat membimbangkan kerana ia menunjukkan kerajaan tidak mempunyai idea ekonomi yang mampan. Malah lebih membimbangkan keputusan kerajaan itu bersandarkan keputusan wang ringgit tanpa mengambil kira isu keselamatan terlebih dahulu. Apakah faktor pendapatan tambahan anak muda lebih penting daripada keselamatan pengguna jalan raya?

Realiti

Mencadangkan motosikal sebagai sistem pengangkutan awam adalah langkah ke belakang dan menambahkan masalah trafik di Kuala Lumpur. Jika anda pernah memandu kereta di kawasan sesak di Kuala Lumpur seperti Jalan Tun Razak pada waktu puncak, anda akan tahu betapa terseksanya hendak menukar lorong pun. Sentiasa dimarahi penunggang motosikal yang mencelah di tengah-tengah. Jarang sekali ada yang mahu memperlahankan motosikal mereka.

Tidak perlulah kita bercakap lagi isu kadar kemalangan dan kematian membabitkan penunggang motosikal kerana ia adalah satu fakta yang diketahui umum. Cukuplah dengan jumlah penunggang motosikal yang pergi kerja dan penghantar makanan. Peluang anak muda menambah pendapatan sudah terbuka luas melalui penghantar makanan.

Hanya ada dua perkara utama yang selalu terkait dengan pengenalan teksi bermotosikal seperti Gojek di banda raya ASEAN iaitu kesesakan melampau dan kemiskinan yang tinggi. Pada hemat saya, Kuala Lumpur tidak mempunyai kedua-dua ini. Kuala Lumpur tidak terlalu besar dan padat seperti Jakarta sehingga terpaksa mengangkat motosikal sebagai pengangkutan alternatif kepada masalah kesesakan jalan raya.

Maka ia berbalik kepada isu kedua iaitu kemiskinan. Kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi menyebabkan perkhidmatan itu terpaksa diluluskan. Pakatan Harapan menjanjikan sejuta pekerjaan anak muda, apabila menang kita menyaksikan ramai yang dibuang kerja. Mungkin ini jalan mudah merealisasikan janji sejuta pekerjaan

Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker