Kaji betul-betul sebelum laksana Gojek di Malaysia

Oleh Muzaffar Syah Mallow

Sebarang cadangan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai Gojek di negara kita memerlukan satu kajian yang mendalam sebelum ia dilaksanakan.

Walaupun ia dilihat dapat menjadi salah satu sumber pendapatan khususnya kepada mat motor dan golongan muda namun kita tidak seharusnya terburu–buru untuk melaksanakan perkhidmatan berkenaan. Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum kita ingin melaksanakan perkhidmatan berkenaan seperti faktor perundangan, insuran dan yang paling penting keselamatan pengguna jalan terutamanya pengguna motosikal itu sendiri.

Awal Januari lalu, kita didedahkan dengan statistik kemalangan jalan raya yang berlaku sepanjang 2018 oleh pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di mana statistik itu menunjukkan lebih 60% daripada 6,742 kes kemalangan maut lalu melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Statistik ini jelas menunjukkan kenderaan seperti motosikal memiliki risiko kemalangan maut yang agak tinggi jika dibandingkan dengan jenis kenderaan lain.



Tidak dapat dinafikan perkhidmatan Gojek mendapat tempat di beberapa negara termasuk Indonesia, namun perlukah kita mengambil contoh dari negara lain untuk dilaksanakannya di negara kita berdasarkan pendedahan JKJR itu.

Kita juga harus mengambil kira tahap keselesaan penunggang motosikal. Dengan keadaan cuaca negara kita yang tidak menentu, kadang–kadang panas dan kadang–kadang hujan, adakah penunggang motosikal akan berasa selesa menaiki motosikal dalam keadaan cuaca sebegini. Bagaimana pula dengan risiko berlakunya kegiatan jenayah seperti rompakan, kecurian serta gangguan seksual ketika menunggang motosikal dengan individu yang tidak dikenali langsung? Bagaimana pula aspek pencemaran alam sekitar melalui pelepasan asap motor, adakah dengan melaksanakan perkhidmatan Gojek dapat mengurangkan kadar pencemaran udara negara kita.

Kita juga tidak harus lupa usaha giat yang sedang diambil bagi mengurangkan kadar trafik jalan raya yang kini penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Dengan adanya perkhidmatan Gojek, jalan raya dijangka menjadi lebih sesak sekaligus meningkatkan lagi risiko kemalangan jalan raya.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak yang terlibat membuat satu bentuk kajian penyelidikan yang lebih mendalam terhadap cadangan memperkenalkan Gojek dengan memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal itu sendiri serta keselamatan pengguna jalan raya.



Segala aspek kelebihan dan kelemahan perkhidmatan Gojek harus diteliti sebelum sebarang kata muktamad diambil terhadap perlaksanaannya. Sekiranya kerajaan ingin melaksanakan juga, kerajaan harus memastikan pembawa Gojek diberi latihan mencukupi serta memastikan mereka terdiri daripada individu yang benar-benar layak membawa motosikal untuk tujuan perkhidmatan Gojek.

Pihak kerajaan juga harus meminda beberapa peruntukan undang–undang jalan raya sedia seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi memastikan perkhidmatan Gojek sah untuk disediakan dan digunakan.

Kerajaan juga harus memastikan pihak berkaitan industri ini menyediakan insuran yang sepatutnya bagi melindungi pembawa serta penumpang motosikal. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga perlu melakukan proses pemantauan secara konsistan serta kerap terhadap penyedia perkhidmatan Gojek supaya tiada mana–mana pihak melanggar peraturan sedia ada atau peraturan yang bakal disediakan kelak.

Satu bentuk peraturan terperinci juga perlu dibentuk khusus untuk mengawal selia pengunaan perkhidmatan Gojek supaya semua pihak yang terlibat dengan industri ini terutama pelanggan dapat ketahui hak mereka dengan lebih jelas serta langkah yang seharusnya diambil sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.



Muzaffar Syah Mallow merupakan pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker