Imam terima puluhan panggilan mahu sertai solat berjemaah

IPOH – Imam Besar Masjid Negeri di sini terharu apabila menerima berpuluh panggilan dan mesej daripada masyarakat setempat yang mahu namanya disenaraikan dalam 40 individu dibenarkan solat berjemaah di masjid.

Abd Farid Salleh berkata, keadaan itu menggambarkan betapa umat Islam begitu rindukan suasana solat di masjid selepas hampir tiga bulan tidak diberi kebenaran berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebaik sahaja berita mengenai kebenaran itu dikeluarkan media pagi tadi, telefon saya tak berhenti berbunyi, ada yang menghubungi, tidak kurang ramai yang menghantar mesej.

“Mereka menyatakan kesediaan dan meminta kebenaran untuk menyertai solat jemaah di masjid. Situasi ini buat saya tersentuh dan sebak kerana menunjukkan bahawa hati-hati mereka sebenarnya sudah tidak sabar mahu berada di masjid,” katanya kepada Sinar Harian.



Menurutnya, pada minggu pertama ini, keutamaan akan diberikan kepada jemaah yang selalu menunaikan solat di masjid itu.

Abd Farid
“Senarai nama jemaah sudahpun hampir penuh, kalau diikutkan memang ramai tapi kita beri keutamaan dahulu pada mereka yang dah biasa solat di sini antaranya staf bank, kakitangan pejabat, pegawai kerajaan dan anggota polis.

“Bagi jemaah lain, kita akan aturkan secara penggiliran supaya semua orang berpeluang solat jemaah di masjid ini,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa masjid itu telahpun membuat persiapan rapi bagi menerima kehadiran jemaah lebih ramai mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.



“Penandaan ruang solat sudah dibuat dan amalan pematuhan seperti sebelum ini tetap diteruskan yang mana mereka masih perlu membawa sejadah sendiri, pemeriksaan suhu dan maklumat diri jemaah direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” katanya.

Penandaan ruang solat bagi jemaah dilakukan agar mematuhi SOP ditetapkan.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan menerima jemaah seramai 40 orang berbanding 12 sebelum ini bagi solat fardu dan solat Jumaat mulai 12 Jun.

Jumlah dibenarkan itu tidak termasuk pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kariah.

Sinar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker