Kes Rogol : MB didesak arah dua exco bercuti

Pertubuhan Rangkaian Organisasi98 @ Reformasi Malaysia Cawangan Perak hari ini mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengarahkan dua exco kerajaan negeri yang masing-masing terpalit dengan tuduhan rogol dan rasuah, supaya bercuti serta melepaskan tugas hakiki buat sementara waktu.

Setiausahanya, Sazali Shamsudin berkata, tindakan itu selaras dengan prinsip integriti mengikut manifesto yang telah dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sewajarnya sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat terutamanya dalam kerajaan Malaysia Baharu pada hari ini, mengambil tindakan bercuti bagi memastikan tiada gangguan dalam siasatan untuk menunjukkan pemimpin tersebut lebih berintegriti.

“Kita rasa itulah tindakan yang sebaik-baiknya. Kita tidak menuduh mereka bersalah dan sebagainya, cuma kita minta bercuti dan melepaskan tugas hakiki sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri buat sementara sehingga siasatan selesai dijalankan sepenuhnya oleh pihak-pihak berwajib,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi menyerahkan memorandum mempertahankan integriti dalam kerajaan Pakatan Harapan itu kepada wakil Pejabat Menteri Besar yang diterima oleh Pegawai Tadbir, Hanita Alang Ismail di sini hari ini.

Hadir sama menyatakan sokongan tersebut ialah penasihat pertubuhan itu, Zulkifly Ibrahim serta wakil-wakil Ketua Cabang PKR mewakili 24 kawasan Parlimen di negeri ini.

Pada 8 Julai lalu, satu laporan polis dibuat oleh pembantu rumah warga Indonesia terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong atas dakwaan rogol.

Ia kemudian disusuli dengan satu lagi laporan pada 13 Julai lalu yang dibuat oleh Ahli Majlis Daerah Kerian, Beh Yong Kean merangkap Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Parit Buntar terhadap ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari atas dakwaan membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bagi mendapatkan komisyen daripada dua buah syarikat pertanian.



Dalam pada itu, Sazali berkata, arahan bercuti dan melepaskan tugas hakiki buat sementara itu penting bagi menunjukkan pemimpin-pemimpin tersebut tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi dalam kerajaan apatah lagi di belakang Menteri Besar sebagai perisai pertahanan mereka.

“Kalau boleh, wajar tindakan itu diarahkan segera oleh Menteri Besar secara serta-merta demi kepentingan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan khususnya di negeri Perak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker