Solidariti rentas agama, kaum bantu Palestin – MBM


KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) meminta rakyat Malaysia merentasi sempadan kaum dan agama supaya cakna terhadap krisis kemanusiaan di Palestin.

Dalam kenyataan bersama lapan lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili belia di negara ini, MBM menegaskan solidariti itu atas dasar kemanusiaan yang dijunjung tinggi oleh Malaysia dan Palestin.

“Berbekalkan tema belia bertindak demi kebenaran dan keadilan, belia Malaysia menentang sebarang bentuk kezaliman dan memohon pihak berwajib seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera campur tangan bagi mengatasi konflik ini.

“Perjuangan menentang kezaliman zionis di Palestin turut didukung aktivis dan masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan termasuk daripada kumpulan Yahudi yang simpati kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha; Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Ahmad Farid Sainuri; Naib Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Abang Abdul Aziz Abang Draup; Pengerusi Pertubuhan Belia Cina (EMCO), Alex Ng; Koordinator Kaukus Badan Beruniform MBM, Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid.

Turut disertai Presiden Majlis Belia Orang Asli Malaysia (MBOAM), Clive Allen Williams Hunt; Koordinator United Malaysia Indian Youth (UMIY), Datuk Syed Osman Mohamed; Presiden (Penaja) Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU), Mohd Faiz Shuhaimi dan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan.

Katanya, ketika masyarakat global berusaha keras memastikan akses terhadap vaksin untuk melawan pandemik, rakyat Palestin terpaksa bertarung nyawa akibat konflik yang tidak berkesudahan.

“Catatan sejarah menunjukkan kota Baitulmaqdis serta wilayah-wilayah di mana letaknya Palestin dan Israel pada hari ini telah didiami selama ribuan tahun oleh masyarakat Yahudi, Kristian Arab dan Armenia.



“Namun sejak konfik pada tahun 1948 sehingga kini, jalan buntu perdamaian hanya menyebabkan lebih banyak nyawa wanita, kanak-kanak dan belia yang terkorban,” katanya.

Jumaat lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa.

MBM menyeru belia Malaysia menyumbang untuk menghentikan keganasan dan membela nasib kemanusiaan dengan kapasiti dan lokaliti masing-masing.

“Golongan belia boleh menyumbang dengan pelbagai kaedah termasuk berdoa, menderma, perkongsian maklumat, aktivisme dalam talian termasuk menggunakan TikTok.



“Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang juga rakan sinergi MBM melancarkan kempen #MyAqsaDefender bagi tujuan untuk mengumpul dana kilat kewangan untuk pembangunan ekonomi dan pendidikan dengan sasaran RM10 juta,” katanya.

Tambahnya, referendum belia Malaysia merentasi kaum dan agama ini menjadi mesej jelas dalam terus bersolidariti demi keamanan sejagat.

Katanya, jika konflik Palestin-Israel dapat dihentikan untuk jangka masa panjang, maka dua pertiga dunia akan menikmati keamanan sejagat termasuk Malaysia. BH

Isu Palestine: Hadi dikritik netizen



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker