Basikal lajak: Jurujual diperintah bela diri

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mengarahkan seorang jurujual wanita yang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak empat tahun lalu, untuk membela diri.

Hakim Dr Shahanaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, sekali gus mengetepikan perintah dibuat Mahkamah Majistret di sini pada Oktober 2019 untuk melepas dan membebaskan Sam Ke Ting, 26.

Terdahulu, Ke Ting yang berbaju serba hitam hadir tanpa ditemani ahli keluarga ke pekarangan mahkamah, kira-kira jam 8 pagi tadi.



Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, manakala Ke Ting diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.

Sementara itu, Muhammad Syafiq ketika ditemui selepas prosiding berkenaan berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah pelepasan dan pembebasan oleh Mahkamah Majistret, pada 28 Oktober 2019.

“Tertuduh, Sam Ke Ting diarahkan untuk membela diri di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pada 28 Oktober dua tahun lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru, melepas dan membebaskan jurujual wanita berkenaan daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak berkenaan.



Majistret Siti Hajar Ali dilaporkan membuat keputusan itu terhadap Ke Ting, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan bermula Ogos 2017, 46 saksi pendakwaan dan 214 eksibit dikemuka di mahkamah.

Pada 10 November tahun lalu, pihak pendakwaan dilaporkan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan jurujual wanita itu.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, ketika itu, Amir Nasruddin, dilaporkan berkata, notis rayuan difailkan pihaknya selepas mendapati dan percaya ada merit memfailkan notis terhadap beberapa isu.



Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan-BH



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker