‘Kluster Kabinet’ Mesra ‘Bunga’ Dijangka Tidak Dicalonkan Dalam PRU-15

Pemimpin Umno daripada ‘kluster kabinet’ dijangka berdepan tekanan termasuk tidak akan dicalonkan semula dalam Pilihan Raya Umum akan datang sekiranya terus mahu bekerjasama dengan Bersatu, kata beberapa penganalisis politik.

Menurut Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, perwakilan Umno pada Perhimpunan Agung parti yang berlangsung hujung minggu ini dijangka akan menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap mereka.

“Tindakan peminggiran, dipaksa letak jawatan atau tidak dicalon semula pada pilihan raya umum (PRU) akan datang ialah antara tindakan yang akan diambil,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.



Tambahnya, dia juga menjangka perwakilan Umno akan meminta golongan ‘kluster kabinet’ menyatakan pendirian sebenar mereka ketika PAU.

“Langkah ini dilakukan bagi memastikan golongan yang tidak bersama keputusan majoriti dikenal pasti secara jelas dan (yang) akan mempengaruhi sokongan perwakilan terhadap pemimpin-pemimpin yang terlibat.

 

“Dijangka memang ada seruan daripada perwakilan nanti agar kluster kabinet kembali kepada dasar dan keputusan parti walaupun ada dalam kluster tidak ada dalam hieraki (Umno),” tambahnya.



Kluster kabinet merujuk kepada pemimpin Umno yang cenderung mengekalkan kerjasama dengan Bersatu.

Mereka terdiri daripada kalangan pemimpin Umno yang dilantik sebagai menteri atau diberikan jawatan tertentu dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Antara nama yang dikaitkan termasuklah bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Hishammuddin Hussein.

Senada dengan Awang Azman, pemerhati politik, Arif Anwar Lokmanol Hakim turut menyatakan kesan sama yang bakal dihadapi ‘kluster kabinet’.



Lebih selesa menggelar kumpulan terbabit sebagai ‘kluster Pro-PN, Arif mendakwa, hampir pasti ahli itu tidak akan dicalonkan dalam PRU kelak.

“Betul kelompok Pro-PN akan terus dipinggirkan dalam PRU15.

“Kelompok Pro-PN tak ramai. Jadi, sudah tentu mereka ini tidak akan dapat apa-apa dah dalam Umno melainkan mereka ada langkah lain yang dilakukan,” katanya lagi.

Untuk rekod, pertembungan idea mengenai kerjasama Umno-Bersatu semakin ketara dilihat akhir-akhir ini dengan sebahagiannya mahu ia ditamatkan, manakala setengah yang lain sebaliknya.



 

Ahmad Zahid Hamidi sendiri – di sebalik kedudukannya sebagai presiden Umno – tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kerajaan.

Pada masa sama imej ahli parlimen Bagan Datuk itu masih dibayangi dakwaan salah laku dan rasuah.

Pada masa sama kem Zahid – yang digelar ‘kluster mahkamah’ – terus berdepan dengan ‘kluster kabinet’.



Sementara itu, Prof Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpendapat bahawa golongan terbabit tidak akan menerima impak yang besar.

Ini kerana jelasnya Umno masih menetapkan kerjasama bersama Bersatu menerusi kerajaan PN sehingga pembubaran parlimen.

“Saya tidak rasa akan timbul persoalan (kesan terhadap kluster kabinet). Melainkan kerajaan sendiri buat keputusan untuk gugurkan mereka. Yang itu mungkin perkara lain.

“Tetapi keputusan majoriti dari perwakilan Umno juga sudah dibuat (bersama Bersatu sehingga PRU). Jadi tiada masalah (untuk kluster kabinet),” tambahnya lagi.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker