Inilah akibatnya jika mengintip rumah orang…


Sebenarnya banyak hadis Nabi yang menyentuh soal larangan mengintip untuk mencari keaiban. Antaranya ialah daripada Abi Barzah al-Aslami, katanya, bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,

“Wahai sekalian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka.

Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka Allah akan mencari keaibannya. Sesiapa yang Allah cari keaibannya, maka Allah akan mendedahnya sekalipun di rumahnya.”

Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Wahb, katanya, dibawa seorang lelaki kepada Ibn Mas’ud, lalu diberitahu kepadanya, lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abd Allah bin Mas’ud,



“Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak.”

Al-Syaikh Salim ‘Id al-Hilali ketika mensyarahkan hadith-hadith Riyad al-Salihin menyebut,

Tajassus bermaksud mencari dan menyelidiki keburukan dan keaiban kaum muslimin. Al-Quran dan al-Sunnah telah melarang hal ini.

Sebabnya ia menyakitkan empunya keaiban itu sedangkan dia berusaha menutup dan tidak melakukannya secara terang-terangan. Dilarang berusaha mencari kesalahannya kerana kita disuruh menutup keaiban seboleh mungkin.”



Sementara itu dalam hadis riwayat dari Ibnu Syihab r.a. katanya Sahal bin Sa’idi mengabarkan kepadanya bahawa seorang laki-laki mengintip ke kamar Rasulullah s.a.w. melalui pintu. Ketika itu Rasulullah s.a.w. sedang menyisir rambut dengan sebuah sisir besi.

Tatkala beliau mengetahui ada orang mengintip, beliau berkata,

“Kalau aku tahu engkau mengintip, ku korek matamu. Izin (iaitu memberi salam) telah disyariatkan Allah Taala supaya jangan mengintip.”

Larangan mengintip turut disokong oleh sebuah lagi hadis, daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w. bersabda,



“Siapa melihat ke dalam rumah seseorang tanpa izin pemiliknya, mereka boleh mencungkil mata orang itu.”

Hari ini seiring dengan kecanggihan teknologi yang ada, perbuatan mengintip dengan sebab mencari keaiban orang begitu mudah dilakukan. Hanya dengan satu klik sahaja maka seluruh dunia boleh mendapatkan maklumat hanya dengan beberapa saat.

Dan hanya dengan satu klik sahaja maka maruah diri dan keaiban seseorang diketahui tanpa sisa. Malah hanya dengan satu klik juga rantaian dosa mula menyebar sehingga kesannya bukan sahaja kepada mangsa yang diaibkan malah turut memberi kesan pada keluarga dan kaum kerabat mereka. Turut terkesan tanpa sedar adalah penyebar atau yang berkongsi.

Ini merupakan satu tindakan tidak bermoral dan jika tidak dibendung pasti akan meruntuhkan nilai diri serta kaum kerabat terdekat mereka, sedangkan mungkin perbuatan aib yang dilakukan tanpa dia sedari atau dia dalam keadaan jahil.



Justeru itu sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba, jauhilah perbuatan mengintip untuk mencari-cari keaiban orang. Didiklah diri sepanjang sebulan ini untuk menjadi insan kamil iaitu yang bertakwa serta baik amal perbuatannya. Semoga dengan perbuatan yang baik ini Allah membalasnya dengan ganjaran berlipat kali ganda. Insya Allah. Utv

Hati-hati, organ inilah yang banyak menjerumuskan manusia ke dalam NERAKA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker