Kami hanya mampu berdoa, kata pekerja asing lapar, kehabisan wang akibat PKP

Kira-kira 80 pekerja binaan warga Indonesia dan Bangladesh yang tinggal di rumah kongsi antara kediaman mewah dan bangunan pejabat, kini kehabisan wang dan terpaksa kelaparan setiap hari, dengan ada yang mempunyai isteri dan anak.

Beberapa minggu lalu, kumpulan pekerja asing itu mampu meraih sehingga RM65 sehari, tetapi perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan kerja pembinaan terpaksa dihentikan dan mereka dibuang kerja.

Suandit, 43, yang mengetuai komuniti terpencil dan sesak itu memberitahu FMT: “Apa yang boleh kami lakukan hanyalah berdoa.”

Dia bimbang tiada pekerjaan, wang dan makanan dengan keluarga di kampung halaman Indonesia turut berdepan keadaan sama.



Sebelum ini, wang yang disimpan Suandit akan dihantar ke kampungnya di Jawa Timur untuk menyara ibu bapa yang tua dan adik-beradiknya. Tetapi, kini ia mustahil.

“Tahun ini, saya tak dapat hantar wang ke kampung untuk Ramadan,” katanya.

Pondok usang yang dibina menggunakan papan lapis itu menjadi tempat dia berteduh, tetapi keadaannya langsung tidak selesa dan bekalan elektrik diperolehi menerusi generator pada waktu malam.

Mereka bergantung kepada rakan yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di tapak pembinaan untuk membeli makanan untuk mereka.



Isteri pekerja asing membawa bekalan makanan ke rumah kongsinya.
“Kami makan 2 kali sehari. Mi segera untuk sarapan serta nasi dan telur pada sebelah malam.” kata Suandit.

Beberapa syarikat berbeza membayar gaji mereka, tetapi tiada satu pun yang tampil membantu mereka yang kini dalam keadaan terdesak.

“Kami tidak mahu menelefon bos kami untuk meminjam wang. Jika kami tidak dapat bekerja bagaimana kami dapat bayar mereka semula?”

Tetapi, bukan semua yang melupakan mangsa PKP ini.



Doa mereka kini terjawab apabila Caremongering Malaysia, sebuah kumpulan Facebook yang ditubuhkan untuk menyediakan barang keperluan asas kepada komuniti miskin seperti Suandit.

Herbert Wong bersama isterinya Ririn dan sukarelawan mengagihkan bantuan kepada kira-kira 1,000 pekerja binaan.
Herbert Wong dan isterinya, Ririn bersama sukarelawan lain menghantar bantuan kepada kira-kira 1,000 pekerja binaan yang diberhentikan.

“Kami mengunjungi golongan yang menangis kerana tidak mempunyai sebarang makanan. Sebahagian daripada mereka hanya makan sekali sehari berdasarkan apa yang mereka ada.”

Wong berkata, beliau memahami ramai majikan tidak mampu membantu pekerja mereka kerana aliran tunai mereka terjejas akibat PKP.



Beliau merayu rakyat Malaysia membantu golongan memerlukan di kawasan masing-masing.

“Semua orang membantu satu sama lain. Saya turut mempunyai penderma dari Sepanyol yang menghantar wang menerusi PayPal untuk membantu orang di sini.”

Setiap keluarga mendapat sebungkus beras 5kg, sepapan telur, mi segera, minyak masak dan kurma untuk Ramadan.

Rumah kongsi Suandit kini dipenuhi harapan dan senyuman terukir di wajah kumpulan pekerja asing itu dan keluarga mereka yang mempunyai bekalan makanan sekarang.



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker