PRN Melaka: 4 pengerusi negeri dari PPBM, PAS, DAP dan Gerakan tewas

Empat pengerusi parti negeri yang mempertaruhkan nasib mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Mereka masing-masing Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew; Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Seri Michael Gan Peng Nam dan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Kamarudin Sidek.

Mohd Rafiq yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka hanya meraih 3,979 undi di DUN Telok Mas, tewas dengan majoriti 2,076 undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang memperoleh 6,052 undi.



Di kerusi itu, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Asraf Mukhlis Minghat memperoleh 3,891 undi dan calon Bebas, Muhammad Ariff Adly Mohammad (153).

Sementara itu, Kok Kiew yang sebelum ini selesa di kerusi DUN Bandar Hilir dengan majoriti 11,313 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu juga tewas selepas berpindah ke kerusi DUN Bemban kali ini.

Beliau yang memperoleh 3,095 undi kalah dengan majoriti tipis 328 undi di tangan calon muka baharu PN, Dr Yadzil Yaakub yang meraih 4,211 undi.

Dalam pada itu, Peng Nam yang bertanding di DUN Ayer Keroh hanya meraih 2,479 undi berbanding dua lagi saingannya iaitu calon DAP, Kerk Chee Yee (9,459) dan calon BN Yong Fun Juan (3,835).



Di DUN Duyong pula, Kamarudin yang berdepan saingan enam penjuru tewas dalam percubaan kali kedua di kerusi sama.

Kerusi itu yang dimenangi DAP pada PRU lalu bertukar tangan kepada Mohd Noor Helmy Abu Halen daripada BN, yang mendapat 4,684 undi berbanding penyandang kerusi itu, Damian Yeo Shen Lie (4,484).

PRN Melaka menyaksikan kemenangan BN yang berjaya memperoleh kedudukan selesa dua pertiga majoriti.

Keputusan rasmi menunjukkan BN yang diwakili UMNO, MCA, dan MIC mendapat 21 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi.



PRN Melaka: 4 pengerusi negeri dari PPBM, PAS, DAP dan Gerakan tewas


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nik Abduh ucap tahniah kepada BN, minta PAS muhasabah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker