Ilham Centre, O2 Research beri ‘rating’ 8/10 pada kerajaan ‘Keluarga Malaysia’

 

ASPIRASI Keluarga Malaysia 100 Hari merupakan medan yang sesuai untuk menilai prestasi jemaah menteri di bawah pentadbiran Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Apabila Naib Presiden UMNO itu dipilih menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Ogos lalu, Ismail Sabri berdepan cabaran besar untuk mengembalikan keyakinan rakyat yang terkesan teruk akibat tri krisis terburuk dihadapi negara.

Tri krisis terburuk ketika itu melibatkan aspek ketidakstabilan politik, bencana pandemik Covid-19 yang semakin membarah serta masalah kemelesetan ekonomi.

Menyedari harapan rakyat terhadapnya adalah menggunung, Ahli Parlimen Bera itu bingkas mengumumkan penetapan indeks petunjuk prestasi (KPI) kepada barisan menteri kabinetnya dengan KPI itu akan dibentangkan selepas tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan ‘Keluarga Malaysia’.

Penilaian itu bukan sekadar syok sendiri semata-mata, tetapi inklusif apabila Ismail Sabri menjelaskan aspek penilaian keberhasilan setiap kementerian dibuat berdasarkan tiga kriteria utama iaitu pencapaian teras, persepsi awam serta penilaian prestasi oleh beliau sendiri.

Dengan kesemua 31 kementerian melaksanakan aspirasi mereka melalui pendekatan yang berbeza, wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN berkesempatan mendapatkan ulasan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, HISOMMUDDIN BAKAR dan Penyelidik O2 Research Centre, HARIZ TASNIM HAFIZAN mengenai prestasi semasa Ismail Sabri bersama lebih 20 kementerian kritikal.

 

PENILAIAN ILHAM CENTRE:-

Pencapaian Ismail Sabri selepas 100 hari pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia boleh dinilai pada fasa memuaskan.

Sekiranya tinjauan Ilham Centre sebelum ini menilai kadar peratusan populariti kemuncak Muhyiddin sewaktu menjadi Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) pernah mencecah 69 peratus, tahap populariti Naib Presiden UMNO itu tidak kurang hebatnya apabila memperoleh 56 peratus ketika ini.

Kelebihan utama beliau berbanding Muhyiddin adalah keterbukaan kerajaan pimpinannya mewujudkan komunikasi dua hala dengan pihak media dan rakyat, sekali gus memberikan persepsi positif kerana Ismail Sabri dilihat lebih turun padang dan mesra rakyat.

Namun, aspek kejayaan paling penting dicapai oleh Ismail Sabri adalah kemampuannya meredakan suhu panas politik yang semakin memuncak pada saat pengakhiran kerajaan PN ditadbir Muhyiddin.

Selain memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) gencatan politik bersama Pakatan Harapan (PH), Ismail Sabri juga berjaya menguruskan masalah pergolakan membabitkan parti-parti dalam kerajaan dengan baik.

Berbekalkan watak dan keperibadiannya yang sering bersederhana dan lembut dalam mengendurkan ketegangan politik di antara UMNO-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)-Pas, Ismail Sabri juga dilihat sebagai pemimpin yang tampil dengan imej bersih dan kurang kontroversi.

 

RATING: 8/10

PENILAIAN O2 RESEARCH:-

Kami melihat Ismail Sabri beri komitmen jelas memastikan segala janji dan prestasi Kabinet berjalan sebaik mungkin dalam tempoh 100 hari pentadbiran beliau.

Sebagai seorang ketua kerajaan, beliau jelas menunjukkan iltizam dan komitmen jitu dalam mengemudi bahtera negara ke arah hala tuju yang betul sekalipun tidak semua kementerian mempamerkan prestasi memuaskan.

Apabila Ismail Sabri mengambil alih kerajaan daripada Muhyiddin, ketidakstabilan kerajaan menjadi cabaran utama, lebih-lebih lagi beliau bukan merupakan ketua kepada partinya.

Namun kesanggupan beliau bekerjasama dengan pihak luar daripada lingkaran kepercayaannya memastikan suhu politik negara yang mendidih pada zaman Muhyiddin berjaya dikendurkan serta-merta.Satu perkara menarik mengenai Ismail Sabri adalah beliau bukan pemimpin bersikap eksklusif dan mudah didekati rakyat.

Hal ini dibuktikan menerusi keterbukaan beliau melakukan pelbagai program libat urus dengan rakyat dan pelbagai pemegang taruh jika timbul sesuatu isu.

Paling penting, sikap keterbukaan Ismail Sabri dalam menerima pandangan pelbagai pihak dapat diterjemahkan melalui perjanjian MoU Transformasi dan Kestabilan Kerajaan yang dimeterainya bersama PH.

Bagaimanapun, kami melihat aspek kekuatan Ismail Sabri dibina melalui perjanjian MoU itu mampu bertukar menjadi kelemahan beliau sekiranya kestabilan politik terbina melaluinya tidak dapat dipertahankan dalam tempoh ditetapkan.

Ditambah dengan desakan pihak tertentu yang mahu MoU gencatan politik berkenaan dibatalkan segera, Ismail Sabri harus mencari jalan penyelesaian bagi mengekalkannya demi kepentingan rakyat.

 

RATING: 8/10

Ilham Centre, O2 Research beri ‘rating’ 8/10 pada kerajaan ‘Keluarga Malaysia’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Landskap politik negara dibawah Ismail Sabri semakin pulih

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker