Laksana segera PKP penuh untuk cegah COVID-19


Kerajaan digesa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya berikutan status pandemik COVID-19 yang semakin kritikal dengan kes positif harian melebihi 8,000.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata PKP penuh itu perlu dibuat selama 21 hari dan kerajaan perlu menyediakan bantuan khas kewangan bagi mengurangkan beban rakyat.

“Kita minta kerajaan mempertimbangkan kembali permohonan majoriti rakyat supaya dilakukan PKP sepenuhnya selama 21 hari.

“Kerajaan perlu sediakan bantuan khas untuk rakyat bagi tempoh itu, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan lanjutan moratorium selama tiga bulan tanpa caj tambahan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.

Asyraf Wajdi berkata, pihak berkaitan juga perlu akur dengan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan PKP sepenuhnya jika kes COVID-19 tidak menunjukkan penurunan.

Beliau turut memetik titah Sultan Ibrahim yang berbunyi: “Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan.”

Semalam, Sultan Ibrahim yang membuat gesaan itu melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes baharu COVID-19 dan mahu semua pihak duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan.

“Kita bukan hanya perlu berdisiplin untuk tidak keluar rumah, tetapi juga perlu ada kesedaran bahawa tindakan keluar ke tempat awam mahupun rumah jiran saja, akan menyebabkan kita terjangkit atau kita sendiri menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri, fikirlah juga orang lain,” titah baginda

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, alasan kerugian RM2.4 bilion sehari dalam PKP 1.0 yang menyaksikan penutupan semua sektor tidak wajar dijadikan sebab untuk menolak cadangan PKP sepenuhnya.

Beliau berkata, angka kerugian itu sebenarnya bukan ditanggung rakyat tetapi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, ketika seluruh dunia menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi paling teruk, Malaysia perlu melupakan seketika ketaasuban terhadap KDNK, defisit mahupun hutang kerajaan.

“Saya yakin rakyat faham keperluan mengimbangi antara kepentingan menyelamatkan ekonomi dan nyawa.

“Tetapi (jika) selamatkan ekonomi saja, jika setiap hari angka COVID-19- meningkat, angka korban meningkat, tak ada gunanya,” katanya dalam video dikongsi di media sosial. BH

Apa maksud kerajaan dengan ‘lockdown’ kendiri ?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker