‘Projek berkaitan keluarga diberi sebelum saya jadi pengerusi Prasarana’

 

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Tajuddin Abdul Rahman berkata projek pembangunan yang berkaitan dengan keluarganya diberikan sebelum dia menjadi pengerusi Prasarana atau berada dalam kerajaan.

Katanya, projek Latitud 8 di Dang Wangi, Kuala Lumpur diberikan kepada sebuah firma yang berkaitan dengan keluarganya pada 2012 melalui tender terbuka.



“Sekiranya anda lapan tahun dulu dapat projek begitu melalui tender terbuka dengan tawaran tertinggi, adakah itu salah?

“Kalau sekarang ini (dianugerahkan) memang salah, sekarang ketika saya menjadi ketua, itu adalah salah dan penyalahgunaan kuasa. Tetapi pada masa itu saya adalah pengerusi Felcra.

“Banyak projek saya buat, dari keluar universiti saya dah berniaga, bukannya sekarang (baru) berniaga,” katanya.

Tajuddin berkata, dia mengalihkan minatnya dalam perniagaan kepada ahli keluarganya setelah menjadi timbalan menteri pada tahun 2013.



“Saya memberitahu (Perdana Menteri ketika itu) Najib Abdul Razak, saya mempunyai perniagaan ini, apa yang boleh saya lakukan, tak kan campak dalam longkang.

“Saya bertanya dia adakah boleh memindahkan saham tersebut kepada anak perempuan dan keluarga saya,” katanya.

Projek ini dianugerahkan oleh Prasarana kepada Intan Sekitar Sdn Bhd, yang 51 peratus dimiliki oleh Credit Builder Holdings Bhd yang disenaraikan secara terbuka dan 49 peratus dimiliki oleh Detik Utuh Sdn Bhd.

Keluarga Tajuddin memiliki pegangan 40 peratus dalam Detik Utuh Sdn Bhd melalui Tindakan Juara Sdn Bhd, memberikan mereka pegangan efektif sebanyak 19.6 peratus dalam projek tersebut.



Syarikat itu menjadi perhatian berikutan laporan bahawa lembaga pengarah Prasarana sedang mempertimbangkan untuk menghentikan projek tersebut dengan membayar pampasan sebanyak RM80 juta kepada Intan Sekitar Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Tajuddin mendakwa tidak ada keputusan yang dibuat.

“Terdapat tuduhan bahawa saya menuntut Intan Sekitar diberhentikan dan lembaga pengarah meluluskan pampasan RM80 juta. Saya akan menjadi kaya sekiranya itu berlaku.

“Setahu saya, lembaga pengarah belum membuat keputusan seperti itu,” katanya.



Tajuddin berkata projek itu menghadapi cabaran kerana pasaran harta tanah yang buruk dan tidak dapat menjamin penjualan.

Tajuddin mengatakan angka RM80 juta adalah jumlah yang dituntut oleh Intan Sekitar tetapi dia tidak bermaksud bahawa Prasarana akan bersetuju dengan jumlah tersebut, dengan menekankan bahawa ada proses penelitian sewajarnya.

Jelas Tajuddin dia lebih gembira jika penyelesaian yang bermanfaat bagi kedua-dua pihak dapat dibuat, seperti memberi lebih banyak masa kepada projek itu.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker