Tertelan minyak, api keluar daripada mulut

Tertelan minyak, api keluar daripada mulut

PERGERAKAN tangkas, lincah dan berani melakukan aksi formasi koreografi tarian api yang dicipta sekumpulan enam pelagak tarian api ini begitu mengagumkan.

Persembahan hebat dari Kumpulan Budakapi itu menjadikan kegelapan malam berbalam-balam bermandikan cahaya api dimainkan mereka dengan pelbagai corak seperti pusingan api, bulatan gelung, semburan api dan paling menarik hujan api membuatkan penonton terpegun.



Keunikan dan seni dimainkan oleh kumpulan pelagak tarian api itu juga memberi kepuasan luar biasa pengunjung yang melihat persembahan api di Malaysia International Glamping Festival 2022 (MIGFEST), di Hooton Retreat, Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Lagak ngeri mereka tampak berbahaya dan mendebarkan memandangkan api daripada saiz kecil, kemudian menjadi marak, hanya orang yang tahu teknik betul saja boleh melakukannya.

Menurut Pengasas Budakapi Movement, Muhammad Fauzi Min Mohd Redzuan Min, pembabitannya dalam pertunjukan api sejak dua tahun lalu, bermula selepas tertarik keindahan cahaya luar biasa setiap kali seni gerak tari api dipersembahkan.

“Saya menyaksikan persembahan seni api ini menerusi YouTube, kemudian berkongsi pengalaman daripada rakan di bidang itu, sama ada dalam dan luar negara termasuk Amerika Syarikat, Russia serta Thailand,” katanya.



Beliau berkongsi cerita ketika ditemui selepas membuat persembahan api di MIGFEST 2022, di Hooton Retreat, baru-baru ini.

Terkena percikan api, tubuh melecur

Muhammad Fauzi Min berkata, bukan tidak pernah cedera, malah melecur tubuh dan kaki terpijak bara api yang masih hidup antara mainan biasa buatnya dan kumpulannya .

Tetapi minat mendalam menjadikan beliau dan rakannya cekal dan sentiasa menambah ilmu serta kemahiran demi memberi persembahan terbaik.



“Bermain api ini sebenarnya bukan hanya sekadar satu seni, tetapi memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi termasuk bagaimana mencampurkan minyak, mengawal api yang keluar daripada mulut dan api yang dikawal menggunakan peralatan tertentu untuk persembahan.

Kemahiran dengan teknik betul perlu untuk menjadikan persembahan tarian api sempurna. Foto/Nor Shahfizan
Kemahiran dengan teknik betul perlu untuk menjadikan persembahan tarian api sempurna. Foto/Nor Shahfizan
“Tertelan minyak sudah menjadi perkara biasa, malah ada antara kami yang pernah melecur terkena api kerana percikan api ketika persembahan sedang berlangsung,” katanya.

Jadi, cara menyembur api juga memerlukan teknik betul kerana sebarang kesilapan ketika menarik kayu dari mulut selepas minyak disembur, boleh menyebabkan api masuk ke dalam mulut.

Menurutnya, Budakapi Movement terdiri daripada 15 ahli berusia antara 24 hingga 28 tahun dan 10 daripadanya adalah artis api manakala lima lagi artis pelbagai bakat.



Awalnya suka-suka, kini jadi ‘jatuh cinta’

Jelasnya, pada awal pembabitan mereka, hanya suka-suka, namun lama-kelamaan timbul keinginan mendalami bidang ini dengan meneroka sendiri pelbagai teknik persembahan api.

“Latar belakang dalam bidang teater membolehkan kami mempelbagaikan konsep persembahan menjadikannya lebih unik berbanding persembahan api biasa.

“Malah, kami tidak pernah jemu untuk memperkenalkan pelbagai konsep baru untuk memastikan persembahan api menjadi satu daya tarikan baharu di negara ini,” katanya.



Menurutnya, ada beberapa konsep berbeza dalam persembahan api, antaranya termasuk fire choreography, fire charcoal, fire sparkle, fire spinning, fire pump dan fire blow yang semuanya memang mendebarkan ketika ditonton.

Tepukan gemuruh penonton suntik semangat

Bagi Muhammad Fauzi Min, tepukan gemuruh penonton setiap kali ahli kumpulannya membuat persembahan juga menyuntik semangat untuk terus meneroka bidang persembahan api dengan lebih mendalam.

“Kali pertama saya membuat persembahan ialah di Pulau Redang bersama seorang lagi rakan, selepas itu saya mula menerima banyak permintaan untuk membuat persembahan sama. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi,” katanya.



Beliau yang menjadikan persembahan api ini sebagai pekerjaan sampingan, bersama pasukannya akan menghabiskan masa tiga jam setiap hari untuk berlatih dan mencipta persembahan baharu.

“Saya dan ahli pasukan perlu terus meningkatkan kemahiran dan mempelbagaikan konsep persembahan untuk kekal relevan dalam bidang ini.

“Mana tahu, satu hari nanti, impian untuk melihat persembahan api ini jadi simbol utama sebagai tarikan utama pelancongan di negara ini menjadi satu kenyataan.

“Pada masa itu, kami sudah bersedia untuk muncul sebagai peneraju dalam bidang ini,” katanya yang menegaskan bagi orang baru mahu menceburkan diri dalam kerjaya ini, mereka perlu berlatih sekurang-kurangnya empat hari dalam seminggu. BH

Tertelan minyak, api keluar daripada mulut


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Yasmin Aziz Dakwa Bapa Kandung Seorang Pedofilia (Video)

Tak tahu arwah ada masalah jantung – Nabil

Lelaki panik tangan misteri muncul bawah pintu tandas awam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker