Desak Zahid Undur: ‘Menurut biar berakal, menentang biar beradab’ kata Tok Mat kepada ahli Umno

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menegur ahli dan pimpinan parti yang menurutnya membawa budaya tidak sihat dalam parti, susulan tindakan segelintir mereka yang mendesak secara terbuka supaya Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai presiden.

Mohamad berkata, tindakan mendesak Ahmad Zahid mengundurkan diri secara terbuka dan lantang tidak mencerminkan nilai dan budaya Umno, malah bertentangan dari segi adab dan susila ahli parti sebagai orang Islam dan bangsa Melayu.

“Saya melihat kemunculan budaya tidak sihat dalam Umno kebelakangan ini, dalam cara kita mendesak pengunduran presiden parti. Pelbagai kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista dan kurang sopan digunakan dalam desakan tersebut.



“Ini bukan budaya dan nilai Umno. Malah ini bukan adab dan susila kita sebagai orang Islam dan Melayu. Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kepada institusi presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tatasusila sebaiknya,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Umno Paya Besar menyeru Zahid mempertimbangkan melepaskan tanggungjawab presiden, antaranya kerana “lemah ketegasan tindakan”, di sebalik pergolakan dalam parti yang berpaksi kepada kerjasama Umno dengan PPBM.

Ketuanya Ahmad Tajuddin Sulaiman mendedahkan, lemahnya ketegasan dalam tindakan serta arah tuju parti yang tidak jelas sebenarnya meluntur daya juang dan kesungguhan ahli Umno.

Seruan itu menyusuli gesaan Pemuda Umno Pontian yang mahu Zahid berundur sebagai presiden secara terhormat ketika parti Melayu itu dilihat tidak mempunyai hala tuju yang jelas bawah kepemimpinannya.



Sebelum ini juga kain rentang “Minta Presiden Undur dari Jawatan Beliau Sebagai Presiden Umno” yang digantung di sekitar Shah Alam menimbulkan kekecohan.

Mohamad berkata, mana-mana ahli dan pemimpin parti boleh berbeza pandangan, aspirasi dan citra kerana Umno sememangnya parti yang menjunjung nilai demokrasi, tetapi janganlah sampai membawa kepada sengketa yang akhirnya memecahbelahkan parti.

“Pepatah Melayu berpesan, ‘menurut biar berakal, menentang biar beradab.’ Saya menyeru untuk semua kita kembali kepada kesatuan dalam Umno dengan saling mendamaikan antara satu sama lain,” katanya.

Katanya, sedikit bibit perpecahan yang timbul dalam kalangan ahli parti akan memberi peluang kepada lawan untuk meretakkan Umno, serta tidak sewajarnya mengadu domba persahabatan dan setiakawan dalam Umno sehingga berseteru.



“Tiada siapa yang akan untung atas perpecahan Umno dan tiada siapa juga yang akan menang. Sama lebur sama binasa. Kekhuatiran saya ialah akhirnya, yang akan menjadi korban Umno dan bangsa Melayu,” katanya-FMT

Desak Presiden letak jawatan tindakan tak beradab – UMNO Perak



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker