Misi mustahil PN pecahkan tembok PH-BN di Pulai

Berbaki kurang seminggu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor akan berlangsung. Pada hari sama, pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dekat Muar juga akan mengundi memilih wakil rakyat baharu.

Namun, tumpuan penulisan ini adalah peluang parti dan calon bertanding di PRK Parlimen Pulai. Persoalan menarik hangat dibincangkan termasuk pengamat politik tanah air, mampukah Perikatan Nasional (PN) meruntuhkan tembok Parlimen Pulai seperti Pakatan Harapan (PH) merampas daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)?

Setakat ini, jangkaan awal analisis terkini ialah Parlimen Pulai akan dapat mengekalkan status quo dimenangi PH menerusi Parti Amanah Negara (AMANAH).

PH mempertaruhkan Suhaizan Kayat mempertahan kerusi Parlimen itu, manakala PN diwakili Zulkifli Jaafar daripada BERSATU dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi turut mencuba nasib.

Status quo PH di Parlimen Pulai ini dilihat berdasarkan lima faktor, iaitu sejarah kemenangan PH, kerjasama PH-BN, legasi penyandangnya, sentimen semasa dan kepemimpinan muda Johor.

Berdasarkan demografi dan psikografi Parlimen Pulai, ia memiliki 291,876 penduduk berdasarkan bancian 2023. Dari segi komposisi kaum, orang Melayu mewakili 49 peratus; Cina (40 peratus); India (10 peratus) dan lain-lain (satu peratus).

Parlimen Pulai mempunyai dua DUN, iaitu Perling dan Kempas. Di DUN Perling, 65 peratus adalah bukan Melayu terutama Cina dan 38 peratus Melayu. Umumnya, komuniti urban bekerja di sektor swasta, kerajaan, berniaga dan bekerja sendiri termasuk bekerja di Singapura.

DUN Kempas adalah kawasan 70 peratus Melayu dan bukan Melayu (28 peratus). Kebanyakan penduduk bekerja di sektor swasta, kerajaan, peniaga kecil dan bekerja di Singapura.

Dalam konteks psikografi, terdapat perbezaan ketara antara penduduk di Perling dan Kempas. Perling boleh dianggap kawasan pesat membangun dengan segala fasiliti awam mencukupi.

Masalah utama di Perling ialah kesesakan jalan raya pada waktu puncak dan kemiskinan bandar, selain ciri masyarakat urban ketara dengan hubungan kejiranan kurang rapat susulan kesibukan bekerja dan aktiviti di luar kawasan.

Di Kempas, kawasan ‘perkampungan’ masih utuh bertahan kecuali di perumahan berpagar. Beberapa isu utama di Kempas ialah kemiskinan bandar, setinggan, penagih dadah, geran tanah, pendatang asing, banjir kilat, penjaja kecil dan kesesakan jalan utama menuju Pasir Gudang.

80 peratus undi dijangka berpihak PH-BN

Pemilih berdaftar di Parlimen Pulai berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjumlah 166,653 pengundi. Pada PRU15, peratusan keluar mengundi adalah 69 peratus. Ia suatu jumlah mencukupi dan jika momentum pengundian PRK kali ini mampu ditingkatkan kepada 70 peratus, PH-BN hampir pasti mengekalkan kerusi itu.

Berdasarkan penguasaan BN-UMNO selama sembilan penggal dan PH selama dua penggal, penganalisis politik berpendapat kelebihan akan berpihak kepada kerjasama kedua-dua gabungan itu.

Jika kerjasama di lapangan antara PH-BN kekal dan dapat ditingkatkan menjelang hari pengundian, sudah pasti 80 peratus undi akan berpihak kepada kerjasama PH-BN.

Disorot keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 pula, DUN Kempas dimenangi calon BN, manakala DUN Perling dikuasai PH/DAP. Pada PRU14, DUN Kempas dikuasai BERSATU ketika itu bersama PH.

Berdasarkan congakan mudah keputusan PRN Johor, jika kerjasama PH-BN kekal dan dipertingkatkan sudah tentu mereka mampu mengekalkan kerusi Parlimen Pulai. Sumbangan terbesar kemenangan PH-AMANAH dalam dua PRU lalu adalah menerusi undi bukan Melayu terutama Cina.

Justeru, berdasarkan sejarah kemenangan BN-PH di Parlimen Pulai serta kerjasama menerusi Kerajaan Perpaduan, tidak keterlaluan jika dikatakan PH-BN akan memenangi kerusi Parlimen Pulai.

Realitinya, berdasarkan keputusan PRU15 dan PRN 2022, PN masih belum mampu menembusi tembok Johor apatah lagi Parlimen Pulai. PN memerlukan sokongan lebih 50 peratus pengundi Melayu terutama anak muda dan pengundi memprotes UMNO jika mahu membuat kejutan di kawasan itu.

Selain kedua-dua faktor itu, faktor pelengkap menyukarkan PN ialah aura dan legasi ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Pemergiannya pada 23 Julai lalu menyentuh emosi dan memberi kesan mendalam terutama golongan marhaen dan banyak pihak termasuk pembangkang.

Menu Rahmah dan Jualan Rahmah pelbagai produk barangan pengguna diperkenalkan kementeriannya memberi kesan positif kepada golongan berpendapatan rendah.

Apatah lagi penduduk Kempas dan Perling yang tinggal di rumah pangsa serta perumahan rakyat kebanyakan B40 terhutang budi dan terkesan dengan inisiatif dipeloporinya.

Justeru, Suhaizan tentunya akan mendapat tempias aura mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Malah, Suhaizan juga bukan pemimpin asing di Johor. Bekas Speaker DUN Johor ini berpengalaman dalam politik.

Sementara itu, sentimen 3R (agama, raja dan kaum) dilihat tidak memberi kesan kepada pengundi. Psikografi pengundi di Parlimen Pulai lebih bercorak ‘urban, moden dan kesejahteraan ekonomi’.

Aura kepimpinan muda Johor diterajui Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mempengaruhi sokongan pengundi kepada kerjasama PH-BN di Parlimen Pulai.

Slogan ‘Maju Johor’ dengan pelbagai program pembangunan telah, sedang dan akan dilaksanakan boleh menjadi pemberat kemenangan PH-BN di Parlimen Pulai.

Kepemimpinan progresif dan dinamik menerusi slogan Maju Johor adalah sebahagian ramuan menjadi perisai kepada PH-BN melindungi Parlimen Pulai.

Penulis adalah Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10, gegar segala gegar

Jangan tayang suami kalau takut disondol – Che Ta

Saya bukan orang ketiga antara Nafiez dan Fify – Neera

Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker