Pegawai SPRM didakwa salah guna wang sitaan RM613,000

Oleh – Syeikh Baran

Pegawai SPRM didakwa salah guna wang sitaan RM613,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi dengan isu integriti dan etika kerja terhadap semua pegawainya.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, peringatan itu diberikan susulan seorang pegawainya, Azizun Mohamad, yang menjawat jawatan Penolong Pesuruhjaya (Gred P48) dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, Selangor, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.

Katanya, Azizun didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000, berkaitan dengan Op Green, iaitu operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada 2019.

“Kesalahan itu didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada suruhanjaya terus terpelihara.

Tambah kenyataan itu, tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.

“SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker