Lebih 2 juta pekerja bukan warganegara bakal dapat manfaat KWSP

Oleh – Syeikh Baran

Lebih 2 juta pekerja bukan warganegara bakal dapat manfaat KWSP

Perluasan liputan mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja bukan warganegara dijangka memberi manfaat kepada lebih dua juta golongan itu.



Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, cadangan kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2025 itu, sejajar dengan usaha KWSP untuk memastikan semua pekerja, tanpa mengira kewarganegaraan, mempunyai akses kepada perlindungan sosial.

“Pada masa ini, pekerja bukan warganegara boleh memilih untuk menyumbang kepada KWSP secara sukarela.

“KWSP akan memberikan maklumat lanjut mengenai butiran kadar caruman, golongan sasar utama, dan mekanisme pelaksanaan dasar pada masa yang sesuai,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa sama beliau berkata, KWSP juga akan menambah baik program i- Saraan dengan menaikkan insentif padanan daripada 15 kepada 20 peratus berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.

Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi setiap individu.



“Penambahbaikan itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 330,000 peserta i-Saraan sedia ada dan baharu. Pada separuh pertama tahun 2024, i-Saraan merekodkan jumlah caruman sebanyak RM1.61 bilion daripada 330,196 ahli peningkatan sebanyak 103 peratus daripada RM789.3 juta.

“Direkodkan juga peningkatan 56 peratus dalam bilangan ahli daripada 211,361 dalam tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya.

Selain itu katanya, kadar insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri sebanyak 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan, akan dilanjutkan pada tahun 2025 sebagai penghargaan terhadap sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan negara.

“Inisiatif ini tertakluk kepada had maksimum insentif padanan Kerajaan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup, atau mencapai umur 55 tahun, mana-mana yang terdahulu.

“Penambahbaikan i- Saraan dan penerusan program i-Suri mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keselamatan pendapatan persaraan rakyat Malaysia,” ujarnya.



Dalam pada itu, pengumuman bahawa KWSP sedang menilai semula skimnya bagi membenarkan pemindahan simpanan KWSP antara generasi oleh ahli kepada ahli keluarga terdekat pula katanya, memberi lebih fleksibiliti kepada ahli dalam merancang persaraan dan kesejahteraan kewangan keluarga mereka.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker