Lagi kes doktor maut dipercayai dibuli sedang disiasat

Oleh – Syeikh Baran

Lagi kes doktor maut dipercayai dibuli sedang disiasat

Satu lagi kes kematian membabitkan pengamal perubatan dipercayai akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, sedang disiasat Kementerian Kesihatan (KKM).



Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, siasatan dalaman itu dibuat sejurus pihaknya menerima aduan tentang perkara berkenaan.

Beliau juga mendedahkan kemungkinan untuk menubuhkan jawatankuasa bebas bagi meneliti kes terbabit secara terperinci sebelum tindakan lanjut dilakukan.

“Saya maklum ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan, tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman sebaik aduan diterima sama seperti yang dilakukan pada tahun 2018.

“Ini termasuk kes yang tidak diketahui yang mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya, dikatakan akibat dibuli dan saya sedang menunggu dapatan daripada siasatan dalaman yang dilakukan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) sekali gus mengulas dakwaan KKM lewat mengambil tindakan untuk membendung gejala buli dalam kalangan doktor sehingga menyebabkan insiden seumpamanya berulang.



Dalam pada itu, beliau berkata, hasil siasatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patalogi di Hospital Lahad Datu akan didedahkan kepada umum nanti.

Beliau memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terlibat jika terdapat bukti berunsurkan buli dalam kes berkenaan.

“Tindakan tetap diambil biarpun hasil siasatan jawatankuasa bebas mungkin mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kematian pakar itu.

“Pada 2018, saya pernah memecat ketua jabatan di hospital kendalian KKM di Lembah Klang selepas didapati membuli doktor lain, biarpun dia ketika itu sudah berpangkat Jusa. Tindakan ini hasil sisastan jawatankuasa bebas berkaitan buli, sebelum ini.



“Justeru, saya lebih gemar mengambil sikap untuk mendedahkan dapatan ini atas prinsip akauntibiliti dan ketelusan dan mustahak untuk ia dilakukan sedemikian supaya semua pihak dapat mengambil iktibar, terutama dalam kalangan Ahli Parlimen,” ujarnya ketika menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH- Ipoh Timur).

Sumber – KOSMO ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker