Kampung Besar di Bandar Baharu dilanda air pasang besar

Oleh – Syeikh Baran

Kampung Besar di Bandar Baharu dilanda air pasang besar

Seramai 100 mangsa daripada 25 keluarga di Kampung Besar, Mukim Bagan Samak di sini terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air berikutan air pasang besar yang melanda, awal pagi tadi.



Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan banjir melalui orang awam berikutan fenomena air pasang besar jam 4.35 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari APM Bandar Baharu kemudian melakukan pemantauan awal banjir di kampung berkenaan dan mendapati 25 kediaman dimasuki air.

“Faktor kejadian banjir adalah disebabkan air pasang besar di sungai utama iaitu sungai Kerian yang berhampiran kawasan penduduk berkenaan.

“Bagaimanapun setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di kawasan itu berikutan trend air semakin menurun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Abdul Rahim berkata, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa dan keadaan cuaca kini cerah.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko rendah supaya sentiasa berwaspada sekiranya air pasang berlaku dan berpindah jika diarahkan berbuat demikian.

Sumber – BERITA HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker