Ummu Hani cinta pertama Rasulullah s.a.w.?

Ummu Hani cinta pertama Rasulullah s.a.w.?

Baru-baru ini tular mengenai kisah cinta pertama Rasulullah s.a.w. yang mengaitkannya dengan Ummu Hani iaitu kakak kepada saidina Ali bin Abi Thalib. Ada dakwaan mengatakan Baginda s.a.w. melamar Ummu Hani sebanyak tiga kali namun kesemua lamaran itu ditolak dengan baik oleh bapa saudaranya dan juga Ummu Hani sendiri.

Mengenali sosok tubuh Ummu Hani, nama sebenar beliau ialah Fakhitah binti Abu Thalib yang merupakan sepupu Baginda s.a.w. Suaminya ialah Hubairah bin Amru’ bin A’iz al-Makhzumi. Dari pernikahan tersebut, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Amr, Ja’dah, Hani dan Yusuf.



Ummu Hani memeluk Islam pada hari pembukaan Kota Mekah namun suaminya enggan memeluk Islam pada peristiwa berkenaan dan memilih untuk melarikan diri ke Yaman. Sepeninggalan suaminya, maka beliaulah yang menjaga dan mendidik kesemua anak-anaknya seorang diri.

3 kali lamaran adalah palsu

Adapun dakwaan dari salah seorang ulama selebriti terkenal yang menyatakan Nabi Muhammad s.a.w. melamar Ummu Hani sebanyak 3 kali, dan beliau adalah cinta pertama Baginda s.a.w. menjadi bualan ramai ekoran status hadis yang digunakannya dikatakan adalah palsu.

Justeru itu dalam menjawab persoalan yang menjadi perdebatan umum ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel Irsyad al-Hadith Siri ke-597: Status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah s.a.w. menjelaskan kisah berkenaan adalah benar namun hanya berlaku sekali sahaja iaitu pada tahun pembukaan kota Mekah sewaktu Ummu Hani baru memeluk Islam, sebagaimana yang diriwayatkan dalam sahih Muslim.



Begitupun melalui kenyataan yang didakwa tiga lamaran tersebut berlaku pada tiga latar masa dan keadaan yang berbeza. Dikatakan lamaran pertama berlaku sebelum kedatangan Islam, Nabi s.a.w. melamar Ummu Hani tetapi ditolak kerana menganggap Baginda seperti seorang abang, lalu beliau merasa segan dan menolak lamaran itu.

Penyataan dan dakwaan ini tidak dapat diketahui sumber daripada mana ia disandarkan, sama ada daripada hadis Nabawi mahupun kalam para ulama. Setakat pencarian dari Pejabat Mufti tidak menemui sebarang riwayat ataupun athar yang menyebut perkara demikian.

Pada lamaran kedua, ia dikatakan berlaku sebelum Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul. Riwayat ini direkodkan oleh Ibn Sa’d dalam kitab al-Tabaqat yang berbunyi,

“Hisyam bin Muhammad bin al-Saib al-Kalbi mengkhabarkan daripada bapanya, daripada Abu Soleh, daripada Ibnu Abbas beliau berkata,



“Nabi s.a.w. telah datang kepada Abu Thalib untuk melamar anak perempuannya, Ummu Hani pada zaman jahiliah (sebelum Baginda menjadi Rasul). Dalam masa yang sama juga Ummu Hani turut dilamar oleh Hubairah bin Abu Wahb bin A’mr bin A’iz bin Imran bin Makhzum. Namun Abu Thalib mengahwinkkan Ummu Hani dengan Hubairah lalu Nabi s.a.w. bertanya,

“Wahai pak cik, mengapa engkau kahwinkan Ummu Hani dengan Hubairah dan menolak pinanganku?” Maka Abu Thalib menjawab,

“Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kami mempunyai hubungan kerabat hasil perkahwinan yang lalu dengan mereka, orang kaya dan mulia selayaknya bersama dengan orang ternama dan mulia juga”

Jika dilihat pada hadis ini, ia sememangnya menceritakan bahawa Nabi s.a.w. ada melamar Ummu Hani dan ditolak pula oleh Abu Thalib berdasarkan sebab yang dinyatakan. Namun hadis ini tidak boleh diterima atas sebab terdapat perawi yang bermasalah pada rantaian sanad hadis ini.



Perawi yang dikatakan itu ialah Muhammad bin Sa’ib al-Kalbi atau nama panggilannya Abu an-Nadhr. Imam al-Baihaqi menyatakan hadis ini tidak boleh dijadikan hujah.

Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Lisan al-Mizan menukilkan beberapa perbincangan oleh ulama khususnya berkenaan dengan perihal perawi bagi hadis di atas. Imam Ahmad bin Hanbal berkata,

“Sesungguhnya beliau ialah pemilik hikayat dan perihal nasab. Menurutku tidak ada seorang pun yang mengambil hadis daripadanya.”

Manakala menurut al- Daruqutni dan selainnya berpandangan, hadis tersebut matruk (hadis yang ditinggalkan), sedangkan bagi Asakir, ia adalah seorang syiah Rafidah serta tidak thiqah.



Kepalsuan sanad ini juga dibuktikan dengan penyataan al-Daruqutni berkenaan Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi ini yang secara jelas menyatakan dan mengakui kepalsuan riwayatnya daripada Abu Soleh. Al-Kalbi berkata,

“Semua yang aku riwayatkan daripada Abu Soleh adalah dusta belaka”

Pada lamaran yang ketiga ia berlaku setelah Ummu Hani memeluk Islam berdasarkan riwayat Abu Hurairah r.a.

“Bahawa Nabi s.a.w. telah meminang Ummu Hani binti Abi Thalib lalu Ummu Hani berkata, “Wahai Rasulullah! sesungguhnya aku telah tua dan mempunyai keluarga (anak-anak)” Jawab Nabi, “Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menunggang unta (wanita Arab) paling penyayang sanggup menjanda untuk anak yang masih kecil, paling sanggup memelihara anak suaminya” (HR Muslim)



Ini merupakan hadis sahih dan ulama sepakat menerima hadis-hadis yang terdapat dalam sahih Bukhari dan Muslim.

Ummu Hani cinta pertama

Adapun menurut Pejabat Mufti lagi, kenyataan bahawa Ummu Hani adalah cinta pertama Rasulullah s.a.w. turut diragui dan perlu diambil perhatian agar kita tidak sewenangnya menyatakan sesuatu perkara yang tidak benar berkenaan Baginda s.a.w.

Ia mestilah didasari dengan suatu asas atau dalil yang khusus apatah lagi perkara yang melibatkan soal hati dan perasaan seseorang. Setakat ini tiada dijumpai mana-mana dalil, ayat al-Quran, hadis mahupun athar para sahabat yang menyebut apatah lagi menceritakan cinta pertama Baginda kepada Ummu Hani.

Justeru itu berhati-hatilah dalam menyampaikan sesuatu kisah terutama yang berkait dengan Rasulullah s.a.w supaya tidak berlaku kepincangan dan tidak dianggap pendusta dan ditempatkan dalam neraka. Sabda Baginda s.a.w.

“Sesungguhnya pendustaan di atas namaku bukanlah seperti pendustaan di atas nama orang lain, siapa yang berdusta atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka” (HR Bukhari & Muslim) Wallahu a’lam Utv

Ummu Hani cinta pertama Rasulullah s.a.w.?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Penduduk Kampung Sri Makmur sahut cabaran MB Selangor

Mari kita lihat siapa yang kena

Biadab dan kurang ajar, video pemandu e-hailing burukkan Islam depan pelancong tersebar [VIDEO]

‘Drama’ kian terungkai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker