7 wakil rakyat Bersatu terus ‘buat bodoh’
7 wakil rakyat terus cabar Bersatu
7 wakil rakyat Bersatu terus ‘buat bodoh’
Oleh Hishamuddin Aun
Tempoh 14 hari diberi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kepada tujuh wakil rakyatnya – enam Ahli Parlimen dan seorang Adun – untuk menjawab surat arahan berhubung kesetiaan masing-masing kepada parti cuma berbaki tiga hari lagi. Banyak reaksi dan maklum balas yang didengar, namun kesudahannya terserah kepada MPT untuk mengumumkan apa hasilnya selepas 31 Mei.
Dalam pada itu, surat pelucutan keahlian yang diterima Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman, yang berbeza dengan enam lagi wakil rakyat terbabit, menimbulkan persoalan menarik kepada kepimpinan. Apakah setelah keahliannya dilucutkan, beliau masih perlu mengosongkan kerusi Parlimennya seperti diarahkan?
Pada Suhaili – Ahli Parlimen kedua yang mengumumkan beralih sokongan selepas Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) — itu tidak lagi perlu. Dilucutkan keahlian bermakna beliau tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti. Lantas, beliau memilih untuk menjadi Ahli Parlimen bebas dan kekal menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
“Saya tiada (notis 14 hari) dan ‘arahan khas’ terus gugur sebab saya bawa parti ke mahkamah. Ikut perlembagaan keahlian akan tergugur secara automatik jika mana-mana ahli berbuat demikian. Jadi, sejak Disember tahun lepas, terbukti saya telah jadi Ahli Parlimen bebas kerana saya dipecat sebagai ahli Bersatu angkara membawa kes politik dalaman parti ke mahkamah,” katanya seperti dilapor FMT 18 Mei lalu.
Kronologi langkah terbaru Bersatu itu bermula dengan Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin memaklumkan dalam satu sidang media pada 17 Mei bahawa Bersatu telah menghantar ‘surat arahan’ kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adunnya yang berpaling tadah dan perlu menjawabnya dalam tempoh 14 hari jika tidak mahu keahlian mereka terhenti menurut fasal 10.4 perlembagaan parti.
Jika keadaan itu berlaku, semua wakil rakyat terbabit – termasuk Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari — berkemungkinan besar perlu mengosongkan kerusi sekali gus memberi laluan kepada PRK.
“Khusus kepada enam orang yang telah mengumumkan untuk menyokong sebelah sana, ada beberapa arahan tambahan yang kita berikan kepada mereka. Mereka diperlukan untuk mengakui, menerima dan mengesahkan pematuhan semua arahan dalam tempoh 14 hari dari tarikh arahan tersebut,” tegas Hamzah.
Surat arahan itu secara umumnya menekankan bahawa sebagai ahli parti, mereka mempunyai tanggungjawab bawah perlembagaan parti khususnya untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti. Setiap wakil rakyat juga perlu mengetahui bahawa kepimpinan Bersatu telah membuat ketetapan tidak menyokong atau menyertai kerajaan yang diterajui Anwar atau mana-mana menteri besar atau ketua menteri, atau menyertai mana-mana kerajaan negeri yang tidak dipersetujui oleh Bersatu.
Tapi hujah siapa yang hendak diikuti di antara pandangan MPT Bersatu itu dan apa yang ditimbulkan Suhaili. Sekali lagi Ahli Parlimen Labuan itu mengulangi tidak timbul untuknya perlu kosongkan kerusi kerana telah dipecat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan (akta anti lompat parti) yang lebih besar berbanding perlembagaan Bersatu.
Cuma bezanya Suhaili dimaklumkan sudah dilucutkan keahliannya sedangkan enam yang lain itu baru diarah menjawab surat arahan khas Bersatu dalam tempoh yang diberikan sehingga akhir bulan ini. Membaca pelbagai tafsiran yang berbangkit pula, kita mudah keliru.
Sabtu lalu, tujuh wakil rakyat yang menerima notis dari MPT Bersatu itu dilaporkan berisiko kehilangan kerusi masing-masing sekiranya mereka gagal untuk memberikan maklum balas. Ini berdasarkan pandangan pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof bahawa notis itu dilihat mempunyai arahan khusus yang perlu dipatuhi oleh wakil rakyat terbabit.
“Ini kerana di dalam notis tersebut terdapat arahan khusus perlu dipatuhi dan kegagalan mematuhinya menjadikan mereka tidak lagi dianggap sebagai anggota Bersatu,” katanya sambil menambah jika dirujuk kepada Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, dapat difahami bahawa wakil rakyat yang tidak lagi memberi sokongan kepada Bersatu dan gagal mematuhi notis dikemukakan tertakluk kepada risiko hilang kerusi.
Pada tafsiran Muhammad Fathi, Perkara 49A secara asasnya menyatakan kedudukan seseorang anggota Dewan Rakyat akan terlucut sekiranya dia yang pertama, mengisytiharkan keluar parti dan kedua, tidak lagi menjadi anggota parti.
“Jadi dalam situasi ini, sekiranya mereka tidak menjawab atau gagal mematuhi notis itu, maka mereka termasuk kategori kedua, tidak lagi menjadi anggota parti dan tertakluk kepada kehilangan kerusi masing-masing,” katanya.
Pandangannya itu bagaimanapun berlawanan dengan Haniff Khatri Abdulla. Peguam kanan itu pada 19 Mei lalu berkata wakil rakyat Bersatu terbabit berhak mengabaikan surat arahan dihantar kepada mereka kerana pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berkuat kuasa 1 Apr lalu tidak memberi kesan untuk kerusi dikosongkan.
“Memang sepatutnya mereka berhak ‘buat bodoh’ terhadap notis (surat arahan Bersatu). Pada pendapat saya akta atau undang-undang lompat parti yang wujud dalam perlembagaan tidak mengosongkan kerusi enam orang ini,” katanya kepada FMT. Sebaliknya, tambahnya, Bersatu perlu segera menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul selepas tempoh 14 hari surat yang diserahkan untuk dijawab wakil rakyat terbabit tamat.
Bukan setakat itu penjelasannya. Selepas tamat tempoh itu, Bersatu mesti segera menghantar notis kepada speaker untuk memaklumkan alasan mengapa kerusi terbabit perlu dikosongkan dan sesudah itu, keputusan di tangan Johari berdasarkan Perkara 49(A) Perlembagaan Persekutuan.
“Pindaan dibuat kepada Perlembagaan Bersatu, Fasal 10(4), (5) dan (6) itu tidak memberi kesan untuk mengosongkan kerusi enam orang ini,” katanya mengulas kenyataan keahlian wakil rakyat terbabit terhenti jika tidak menjawab surat itu, yang memungkinkan kerusi perlu dikosongkan mengikut akta anti lompat parti.
Barangkali pandangan itu yang mempengaruhi pendirian Syed Abu Hussin yang menyatakan: “Surat itu tiada apa-apa makna dan saya tak akan jawab. Saya nak tunggu apa tindakan mereka (selepas 14 hari) dan jika berlaku PRK pun, saya akan turun bertanding. Apa yang saya buat adalah mahu menunjukkan tindakan mereka itu tak betul, merosakkan fikiran rakyat dan mengganggu Ahli Parlimen menjalankan tugas,” katanya.
Sebagai menambah perisa kepada perkembangan sejauh ini, Bersatu pada 9 Mei lalu mendakwa keahlian Abdul Rashid dan Zulkafperi terlucut berkuat kuasa serta-merta kerana menghadiri ceramah Pakatan Harapan (PH) dalam kempen PRK Kuala Kubu Bharu, lantaran itu kedua-duanya juga mesti mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada PRK di kawasan yang dimenangi mereka.
Reaksi Abdul Rashid senada dengan rakan-rakannya itu: “Saya tak kisah. Nak pecat, pecatlah. Kalau saya dipecat saya bebas, saya boleh pilih parti mana saya nak masuk.”
Tiga hari yang masih terluang ini boleh dimanfaatkan MPT Bersatu untuk memikirkan apa tindakan lanjut kerana bola sudah dikembalikan ke gelanggang mereka. FMT
7 wakil rakyat Bersatu terus ‘buat bodoh’
Baca Artikel Menarik:
- Yang cabul sepupu itu cucu saya – Khadijah Ibrahim
- ‘Saya minta maaf, ia bukan kubur sebenar tapi ‘set up’ untuk penggambaran’
- Kalau KBS beri projek kepada suami Hannah baru salah – Azam
- Hampir setiap hospital, klinik kerajaan kekurangan doktor
- Mengapa terdesak jual saham MAHB kepada GIP – Hassan Karim
- Pejalan kaki maut digilis beberapa kenderaan
- Zafrul beritahu tentang titah adendum – Wan Rosdy
- Pemuda dan Wanita PKR lesu – Hassan
- Hamzah elak jawab apakah PN sokong tauke kaya – Anwar
- Pintu buka masuk balik?
- 2 jenama rempah dari India ada agen penyebab kanser – CAP
- Ayah kami Uncle Mike
- Pengarah syarikat jam Islamik didenda RM13,500, jual jam azan tanpa perakuan
- Andrew Sia jahil, bodoh sejarah – Mustapha
- ‘Semua salah TMJ’ – Tunku Ismail selar Selangor FC
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Ruhainies baru balik umrah kan, kenapa seksi sangat? (Video)
Boikot Starbucks, Berjaya Food rugi RM 33.16 juta suku ketiga
You must be logged in to post a comment.