Mufti Perlis disanggah Ustaz Ali Muda

Mufti Perlis membuat hantaran lagi dengan panjang lebar untuk mempertahankan andaian-andaian jahatnya yang menggambarkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mempunyai “akidah yang parah yang sedang membarah.”

Sepatutnya sebelum membuat serangan mempertikai akidah seseorang Muslim, ambillah langkah bertanya kepada empunya badan dahulu (tabayyun) tentang maksud ucapannya.

Malangnya setelah Fadhlina memberikan penjelasan pun, Mohd Asri Zainul Abidin terus menyerangnya dengan prasangka-prasangka jahat kononnya menteri menyembunyikan video penuh kerana takut terdedah agenda tersembunyi.

Di mana akhlak minimum sesama Muslim untuk berbaik sangka?

Sedangkan cucu angkat kesayangan Rasulullah SAW, Usamah bin Zaid, pun diherdik oleh baginda dengan bertanya: “Adakah kamu telah membelah dadanya (dan melihat imannya)?”

Baginda bertanya soalan itu apabila Usamah memberitahu dia membunuh seorang musyrik setelah si musyrik terbabit mengucapkan dua kalimah syahadah kerana takut dibunuh.

Kesan daripada andaian-andaian jahat itu, semua maklum betapa teruknya menteri pendidikan sehingga dilabel sebagai kafir, kafir back up kafir, cuba mengubah ayat al-Quran, mengharamkan perkataan yang Allah sebutkan dalam al-Quran dan sebagainya.

Penjelasan dari ulama silam

Ternyata Mufti Perlis membuka pintu maksiat takfiri seluas-luasnya sedangkan beliau merasakan sedang melakukan amar makruf nahi munkar.

Untuk menjawab para pertama dan kedua hantaran mufti – apabila beliau mengatakan kempen agar tidak memanggil orang bukan Muslim sebagai “hai kafir” adalah tidak realistik dalam masyarakat Malaysia – sebenarnya panggilan itu tidak berlaku kecuali dalam konteks pergaduhan dan hilang pertimbangan.

Cernaan Mufti Perlis terhadap isu dan persoalan sangat tersasar dalam hal ini. Larangan ramai ulama agar umat Islam tidak menggelar warganegara bukan Muslim sebagai kafir itu bukan terhad kepada panggilan “hai kafir” secara berdepan sahaja.

Bahkan mengistilahkan mereka sebagai kafir dalam percakapan seharian, dalam tulisan, dalam kenyataan-kenyataan dan perbualan orang Islam adalah dilarang jika ia tidak disenangi oleh orang bukan Muslim.

Menurut Syeikh Rasyid Ridha (meninggal 1935M) dalam Tafsir al-Manar (7/556): “Kebiasaan lafaz kufr dalam al-Quran dan pada adat penggunaan para fuqaha asalnya bermaksud percanggahan dengan keimanan yang sahih. Kemudian pada kebiasaan para penulis zaman kini, ia bermaksud golongan atheis yang tidak percaya kewujudan Allah SWT. Maka memberikan gelaran kufr atau kafir kepada setiap manusia yang ada agama adalah satu bentuk celaan dan penghinaan. Maka gelaran begitu terhadap orang yang diharamkan kita menyakitinya (rakyat bukan Muslim/dzimmi) adalah haram dari segi syarak apabila dia tersakiti, lebih-lebih lagi dalam pengucapan.”

Beliau berkata lagi dalam Majalah al-Manar 1/17: “Lafaz kufr digunakan dalam kebiasaan para penulis zaman kini untuk golongan atheis… Kita tidak sebutkan kufr/kafir untuk penganut agama lain yang berbeza dengan agama kita kerana mereka bukan kafir dengan makna sebenar. Bahkan kami berpendapat tidak harus menggelarkan kafir kepada mereka kerana pada hari ini ia sudah menjadi satu celaan dan cercaan yang melukakan..”

Lama sebelum itu, seorang ulama terkemuka mazhab Hanafi dari Mesir, Ibn Nujaym a-Hanafi (926-969H/1520-1563M) dalam kitabnya al-Asybah wa al-Nazoir (halaman 217) menulis: “Sesiapa yang menyakiti orang lain dengan kata-kata atau perbuatan – walau hanya kenyitan mata – dan sesiapa yang berkata kepada non-Muslim dzimmi “hai kafir”, orang itu berdosa sekiranya kata-kata itu menyakitinya.

Berkata pula Sayyid Ahmad Muhammad al-Hamawi al-Hanafi (meninggal 1098H di Mesir) dalam kitabnya Ghamzu ‘Uyun al-Basoir Syarhu al-Asybah wa al-Nazoir (jilid 2 halaman 182): “Dia (pengarang) berkata dalam kitab al-Bahr (iaitu kitab al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqaiq oleh Ibn Nujaym al-Hanafi juga): “Akibatnya (orang yang menyakiti itu) boleh dihukum takzir kerana telah melakukan perbuatan dosa.”

Takzir adalah hukuman yang lebih rendah daripada hudud, sama ada pemenjaraan, sebatan, denda wang atau apa-apa sahaja hukuman yang ditentukan pihak berkuasa perundangan.

Hantuk kepada sendiri

Berdasarkan dalil dan rujukan-rujukan berkitab di atas, adakah perbuatan mengharamkan panggilan kafir kepada orang bukan Muslim itu dimulakan oleh menteri pendidikan?

Dia hanya mengharamkan untuk anak-anaknya di rumah, sedangkan sejak hampir 500 tahun dahulu para ulama mengharamkannya untuk umat Islam dan diancam hukuman takzir.

Ternyata kegelojohan Mufti Perlis dalam hal ini (dengan gaya poyonya seperti pengawal akidah umat Islam) mendedahkan dia terjatuh ke dalam gaung kejahilan.

Bukan sahaja terdedah kejahilannya terhadap istidlal para ulama, bahkan terdedah juga dosanya yang telah membuka pintu takfiri seluas-luasnya apabila ramai warganet mengkafirkan Fadhlina.

Sebaris dengan Mufti Perlis ialah Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden yang bertanya soalan: “Nak jaga hati siapa?” yang menghantuk kepalanya sendiri kerana jahil terhadap hukum Islam yang diistinbatkan oleh para ulama sejak dahulu.

Afnan Hamimi Taib Azamudden

Sekiranya Mufti Perlis ada ilmu dalam hal ini, soalan berbentuk andaian jahatnya terhadap Fadhlina itu sepatutnya dihalakan terlebih dahulu kepada para ulama yang disebut nama mereka di atas.

Apakah mereka telah mengharamkan al-Quran dan al-Sunnah dalam rumah mereka? Atau apakah mereka menapis ayat-ayat yang sesuai dengan hawa diri mereka sahaja dalam rumah mereka?

Atau, mereka tidak percaya al-Quran dan as-Sunnah berfungsi dalam kehidupan mereka? Atau mereka ingin mengubah ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Nabi SAW dengan satu edisi baru bikinan mereka?

Pada pusingan ini terserlah kejahilan Mufti Perlis dalam menanggapi isu. Para ulama dan fuqaha kibar mengharamkan panggilan atau gelaran kafir terhadap penganut agama lain bukanlah kerana rendah diri atau apologetik terhadap orang bukan Muslim.

Buat kerja syaitan

Sebaliknya kerana mereka menegakkan ajaran Islam yang sebenar, iaitu larangan menyakiti orang lain termasuk orang bukan Islam khususnya rakyat sesama negara yang disebut dzimmi dalam istilah sains politik Islam zaman silam.

Sandaran hujah mereka antaranya ialah ayat kelapan dan sembilan Surah al-Mumtahanah yang memerintah kita berbuat baik dan adil (al-birr wa al-qist) kepada non-Muslim yang tidak memusuhi.

Ia juga dibuat bersandarkan kepada hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang menzalimi mu’ahid (non-Muslim mempunyai perjanjian dengan orang Islam) atau mengurangi haknya atau membebankannya di luar kemampuan atau mengambil haknya tanpa kerelaan, maka akulah musuhnya pada hari kiamat” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad Hasan, dinilai Hasan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dan Syeikh al-Albani).

Tuduhan berasa rendah diri atau apologetik untuk memanggil dengan panggilan kafir yang dibuat Allah dalam al-Quran telah dijawab oleh Almarhum Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Khitobuna al-Islamiy fi ‘Asr al-‘Awlamah.

Beliau menulis: “Aku tidak faham mengapa ucapan yang baik dan tutur kata yang elok dianggap lemah dan rendah diri. Kita tidak pernah rasa rendah diri terhadap akidah kita, bahawa agama kita atas kebenaran dan setiap orang yang tidak beriman dengan risalah Muhammad dia adalah kafir. Semua orang yang ada agama percaya agamanya adalah benar dan selain agamanya adalah batil atau kufr. Ini satu perkara. Tetapi mengucapkan sesuatu perkataan yang menyakiti dan melukakan perasaan penganut agama lain, menyebabkan mereka menjauhkan diri, adalah satu perkara lain. Allah SWT tidak pernah menyuruh kita melakukan perkara itu, bahkan sebaliknya. Firman Allah (maksudnya): “Dan ucapkanlah (hai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku agar mereka berkata-kata dengan perkataan yang paling baik, sesungguh syaitan sentiasa menghasut di antara mereka (yang beriman dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu musuh yang amat nyata bagi manusia” (surah al-Isra’: 53).

Maka berdasarkan ayat itu, ustaz atau mufti yang menggalakkan orang Islam menggelar kafir kepada orang bukan Islam adalah golongan yang membuat kerja syaitan.

Pada para ketiga dan keempat hantaran Mohd Asri, dia mengoperasikan teknik logical fallacy untuk menegakkan andaian jahatnya dengan berkata “Kita perlu sedar bahawa usaha menghapuskan beberapa perkataan asas dalam akidah Islam sedang berlaku di peringkat antarabangsa.”

Logical fallacy di sini ialah ketegori slippery slope, iaitu “when you said that if we allow A to happen, then Z will eventually happen too. Therefore A should not happen.

Para ketujuh dan kelapan tulisannya, Mufti Perlis memberi alasan mengapa dia terlalu menghalusi isu ini, iaitu kerana status Fadhlina sebagai seorang menteri pendidikan.

Dengan status kementerian itu, Mufti Perlis mendakwa bimbang Islam akan terpinggir dalam sektor pendidikan negara ini. Sementelah sebelum ini ada isu tidak dibenarkan takbir dan qunut nazilah, dan arahan kantin dibuka di sekolah semasa Ramadan antara perkara yang diakui “membingungkan” oleh Mufti Perlis.

Sebenarnya kebingungan Mufti Perlis itu disebabkan beliau cuba mencampuri urusan yang di luar bidang dan pengetahuannya.

Orang bingung yang tidak berkata-kata tidak menjadi masalah. Tetapi apabila orang bingung banyak bercakap, ia boleh bertukar menjadi bangang. Saya tidak bermaksud menganggap Mufti Perlis bangang, tetapi ini sekadar peringatan bahawa orang bingung yang banyak bercakap boleh menjadi bangang.

Minta maaf jika bunyinya kasar.

Kita tidak menjadi bingung jika kita mempunyai ilmu pengetahuan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia mempunyai dasar yang disebut Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang diluncurkan sejak 1986 lagi, iaitu ketika Mohd Asri masih bersekolah di tingkatan tiga.

Dasar itu bertujuan mewujudkan sekolah yang kondusif untuk semua kaum tanpa ada prejudis dan ketakutan, sama ada dalam kalangan murid atau pun ibu bapa.

Bagaimana Fadhlina selaku menteri pendidikan boleh membenarkan amalan yang boleh mendatang ketakutan murid-murid kaum lain dan menimbulkan kecurigaan ibu bapa mereka sedangkan dasar itu masih berkuat kuasa?

Sekolah kebangsaan bukannya masjid yang dikhususkan untuk umat Islam.

Susah memohon maaf

Saya lebih tahu hal ini kerana saya berada dalam institusi pendidikan persekolahan selama lebih 26 tahun. Mufti Perlis yang pernah berada di institusi pendidikan tinggi tidak semestinya boleh memahami secara mendalam isu-isu di pendidikan rendah dan menengah.

Lebih-lebih lagi beliau telah lama meninggalkan institusi pendidikan.

Orang yang bingung dan tidak tahu akan bercakap secara kontradik atas semangat kononnya hendak memperjuangkan Islam.

Percanggahan berlaku apabila dari satu segi kita kata kita hendak wujudkan sekolah satu aliran saja tetapi pada masa sama kita tegar untuk mencorakkan sekolah kebangsaan itu seperti sekolah agama Islam atau seumpama masjid untuk murid Islam bebas berdoa, bertakbir dan berqunut nazilah.

Memang bingung dan membingungkan, seperti kata Mufti Perlis, tentang keadaan dirinya.

Sebagai seorang berkelulusan agama yang dipanggil ustaz, nasihat saya untuk diri saya dan sekalian asatizah (termasuklah mufti), janganlah kita terlampau ego dan angkuh berkata-kata sehingga seolah-olah kita maha tahu semua perkara.

Hormatilah orang lain dan berbaik sangkalah. Bilangan like yang banyak tidak menentukan kebenaran di pihak kita.

Setelah terlanjur kata membuat hukuman ke atas orang secara salah, mohonlah kemaafan walaupun ia suatu yang amat susah.

Selamat menjalani ibadah puasa dan mengejar malam lailatulqadar. Mohon maaf jika saya juga tersilap.


ALI MUDA ialah pengarah zon timur Jabatan Komunikasi Komuniti.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Aliff Syukri padam video lagu raya lepas kena kecam teruk

Datuk Red mengaku ‘scammer’

Diva AA buat hal di Fiesta Raya Baling 2024

‘Saya dihubungi orang Israel 6 kali, mereka kata akan cari saya sampai dapat’ – Pemuda Palestin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker