Makamah dimaklumkan tiada aduan dana 1MDB diselewengkan sejak 2009

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat dalam kes Najib Razak melibatkan penyelewengan dana 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Najib tidak pernah membuat sebarang aduan kepada pihak berkuasa walaupun dana syarikat itu dilencongkan sejak 2009.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Ariffin, 37, berkata, hasil siasatannya, pihak pengurusan 1MDB juga didapati tidak membuat sebarang aduan mengenai perkara itu kepada SPRM dan polis, selain tiada sebarang tindakan diambil terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

“Najib mempunyai akauntabiliti dalam setiap tindakan beliau selaku perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB,” katanya.



“Beliau juga tidak pernah mengarahkan pihak pengurusan 1MDB untuk menjarakkan diri daripada Jho Low walaupun lelaki itu tidak dilantik secara sah dalam mana-mana jawatan dalam kerajaan mahupun 1MDB,” katanya.

Nur Aida menambah, Low memainkan peranan aktif dalam pengoperasian 1MDB ketika itu.

Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata demikian dalam pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Nur Aida berkata, hubungan Najib dan Low bukan sekadar atas urusan rasmi mengenai 1MDB sahaja, malah ahli perniagaan itu turut menyertai percutian bersama keluarga Najib.



“Ini termasuk percutian di atas kapal layar RM Elegance dan Topaz di perairan selatan Perancis pada 2009 dan 2013 dan percutian di atas kapal layar Golden Odyssey di perairan Greece pada 2010.

“Kesemua percutian ini diuruskan Low dan sekutunya Eric Tan Kim Loong yang turut disertai antaranya kerabat diraja Arab Saudi dan pengarah PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid,” katanya.

Sementara itu, Nur Aida berkata, Najib juga tidak pernah membuat pengisytiharan kepada Jemaah Menteri mengenai kemasukan RM3.6 bilion ke dalam dua akaun peribadi miliknya ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Hasil siasatan saya menunjukkan wang yang diterima Najib di dalam kedua-dua akaun AmPrivate Banking miliknya datang daripada dana 1MDB yang dikeluarkan untuk membuat pelaburan,” katanya.



“Dalam tempoh bermula 2011 hingga 2014, terdapat 526 transaksi perbelanjaan melalui pengeluaran cek yang ditandatangani dan dikawal oleh Najib sendiri selain pembayaran penggunaan kad kredit AmBank Mastercard dan Visa Platinum miliknya.”

Menurut Nur Aida, Najib sebagai pemilik akaun mempunyai akses dan kawalan ke atas akaunnya dan dalam tempoh kedua-dua akaun itu aktif, namun beliau tidak pernah membuat pengesahan, pertanyaan dan aduan sama ada secara bertulis atau lisan kepada bank mengenai sumber kemasukan duit ke akaunnya itu.

“Pada Julai 2015, Najib juga meminta bekas Gabenor Bank Negara ketika itu, Zeti Akhtar Aziz untuk mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kesalahan melibatkan wang-wang yang masuk ke akaunnya, namun Zeti enggan mengikuti permintaannya,” katanya.

Nur Aida berkata, menteri kewangan II ketika itu, Husni Hanadzlah juga pernah diarahkan oleh Najib agar tidak terlibat dan campur tangan dalam sebarang urusan dan keputusan pelaburan 1MDB.



Najib, 70, berdepan empat tuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Fizz Fairuz dikecam teruk, Almy Nadia ucap selamat berjaya

Saya anak yang tidak diinginkan – Zainal Abidin



Suara wanita mengaji selepas hantar jenazah

Adegan panas di dalam bilik mandi, Shukri Yahaya mohon maaf

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker