Lelaki Myanmar aktif pecah kedai akhirnya ditahan

Lelaki Myanmar aktif pecah kedai akhirnya ditahan

Lelaki Myanmar aktif pecah kedai akhirnya ditahan
Antara barangan yang dirampas daripada suspek warga Myanmar yang melakukan aktiviti pecah kedai di sekitar Iskandar Puteri. – Foto ihsan polis.

ISKANDAR PUTERI: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah pengakhiran kegiatan seorang warga Myanmar yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah kedai di sekitar Iskandar Puteri di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, M Kumarasan, berkata suspek yang berusia 36 tahun itu diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri di Nusa Bestari di sini pada jam 8.30 malam pada 14 Januari lalu.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan susulan siasatan membabitkan beberapa kes pecah kedai di kawasan Gelang Patah dan Iskandar Puteri yang berlaku kebelakangan ini.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat awam, suspek terbabit yang dipercayai terbabit secara aktif dalam kegiatan berkenaan ditahan.

“Hasil tangkapan itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah, antaranya seunit telefon bimbit, pelitup muka dan sepasang pakaian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, menerusi tangkapan itu, polis yakin berjaya menyelesaikan lima kes pecah kedai yang berlaku di daerah ini, sekali gus mengatasi kebimbangan peniaga tempatan yang terjejas akibat jenayah terbabit.

Menurutnya, lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari menerusi Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bermula 15 hingga 21 Januari bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan rumah atau premis dengan niat melakukan jenayah.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda dan jika membabitkan kesalahan mencuri boleh disebat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486,” katanya.

Lelaki Myanmar aktif pecah kedai akhirnya ditahan

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

‘Orang Kelantan Usahlah Berdalih Lagi, Jangan Ego’

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker