Dijual kepada sindiket ketika bercuti di Thailand

Dijual kepada sindiket ketika bercuti di Thailand

Pada satu lewat petang April lalu, David (bukan nama sebenar) menerima tawaran yang boleh diibaratkan orang mengantuk disorongkan bantal, tiba tatkala pemilik perniagaan aksesori telefon bimbit di Sarawak itu dalam kebuntuan bagi meningkatkan pendapatannya.

Seseorang dalam kumpulan rakan WhatsApp yang disertainya mengusulkan satu peluang perniagaan sambil bercuti di Chiang Mai, Thailand. Lebih mengujakan, individu itu yang David anggap ‘sekadar kenalan’ turut menawarkan untuk menanggung kos perjalanannya dan seorang rakan.



Dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak fasih, ada masa dibantu oleh penterjemah, pemuda berusia 22 tahun itu memberitahu Bernama bahawa terlintas juga di hatinya, mengapa lelaki yang dipanggil Steven itu begitu pemurah, sementelah baru dikenali beberapa bulan.

Akan tetapi, dia memutuskan untuk tidak mensia-siakan rezeki yang datang bergolek.

Siapa sangka keputusan itu menjebak dia dan rakannya Laura (bukan nama sebenar), juga anak Sarawak yang seusianya, dalam mimpi ngeri. Bukan Steven yang mereka temui di kawasan pelancongan tanah tinggi Chiang Mai itu, sebaliknya dua anak muda terbabit diculik dan dibawa merentas sempadan melalui Chiang Rai, Thailand.

Penculik kemudian menjual mereka kepada pusat penipuan di Laukkaing, Myanmar, di mana mereka ditahan selama dua minggu.



Ditemui Bernama di pangsapuri rakannya di sini, beberapa bulan selepas melalui pengalaman menakutkan itu, David bagaikan masih tidak percaya yang dia menjadi sebahagian daripada ratusan, jika tidak ribuan, rakyat Malaysia yang diperdaya dan diseludup untuk bekerja sebagai penipu dalam talian.

Apatah lagi dia cakna berita pemerdagangan manusia membabitkan rakyat Malaysia serta tahu dia dan rakannya adalah sasaran utama sindiket memandangkan Mandarin adalah bahasa ibunda mereka.

David mula berasa ada yang tidak kena apabila Steven tidak muncul bagi menjemput dia dan rakan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai seperti yang dijanjikan. Sebaliknya, ketibaan mereka ditunggu oleh seorang pemandu teksi yang memegang plakad tertera nama mereka berdua. Lelaki itu datang bersama seorang rakan, yang disifatkan oleh David sebagai agak ganjil, namun dia abaikan. Sangkanya kedua-dua lelaki itu adalah warga Myanmar.

Sebaik sahaja mereka berada di dalam kereta, rakan si pemandu mengeluarkan sepucuk pistol dan mengarahkan dia serta Laura menyerahkan pasport dan telefon bimbit masing-masing.



“(Mereka ugut kami), arah kami duduk diam. Kami tidak berani untuk bertindak, kerana takut dibawa dan dijual entah di mana,” katanya.

Selepas empat hari perjalanan, mereka tiba di Laukkaing, sebuah pekan di utara Myanmar dan bersempadan dengan China. David masih ingat perjalanan mereka melalui jalan kecil di kawasan pergunungan. Sepanjang perjalanan itu, mereka menempuh beberapa pusat pemeriksaan, namun setiap kali itu juga kenderaan mereka dibenar meneruskan perjalanan tanpa banyak kerenah.

Akhirnya, mereka tiba di sebuah bangunan setinggi lapan tingkat, bahagian bawahnya menempatkan sebuah kasino dan dikawal oleh beberapa orang lelaki bersenjata api. Kehadiran kumpulan itu meranapkan saki-baki harapan David untuk cuba meloloskan diri dan mendapatkan bantuan, biarpun tahu ada kekangan bahasa.

Di dalam kasino itu, ada ramai lagi yang senasib dengannya, diumpan dengan janji palsu dan dipaksa bekerja.



“Mereka sangat baik. Kami bertuah,” kata David. Melihatkan rakannya Laura begitu ketakutan, pekerja di dalam bangunan itu membenarkan mereka berdua duduk bersama.

Kata David, sindiket itu memberikan mereka masa selama tiga hari untuk belajar menggunakan Little Red Book atau Xiaohongshu, platform media sosial seakan TikTok dan popular dalam kalangan rakyat China. Mereka perlu tandatangan kontrak dan menipu pengguna platform itu supaya membeli mata wang kripto. Kedua-dua anak muda itu enggan.

Apabila David menyatakan hasrat untuk meninggalkan tempat itu, sindiket meminta dia dan Laura membayar wang tebusan.

Terperangkap jauh di pedalaman Myanmar, peluang untuk melepaskan diri amat tipis.



Namun, keajaiban berlaku tanpa disangka. Cerita David, tiga hari kemudian askar tempatan memeriksa bangunan itu dan pekerja. Selepas mendapati dia dan Laura tidak menandatangani kontrak, kumpulan askar itu meminta dia dan Laura mengemas barang masing-masing dan seterusnya membawa mereka ke Pangkham yang terletak kira-kira sembilan jam pemanduan dari sempadan Myanmar-Thailand.

Sebaik tiba di situ, mereka meminjam telefon daripada seseorang dan menghubungi keluarga masing-masing.

Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong membantu menyelamatkan 58 orang daripada 178 kes yang dilaporkan kepada MCA dalam tempoh Mac 2022 hingga 6 Oktober 2023.

Kebanyakan mereka yang diselamatkan itu “tersangkut” di Kemboja. Negara-negara lain termasuk Myanmar, Laos, Thailand dan Dubai.



“Kami tidak tahu apa yang berlaku kepada yang lain-lain,” kata Chong. HM

Dijual kepada sindiket ketika bercuti di Thailand

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Syafinaz tidak mahu Elly Mazlien atas pentas

Badrul Muhayat makin berisi lepas kahwin lagi

Noniswara terima untuk bermadu

Penyanyi tak bayar sewa dan bil letrik, tuan rumah buat laporan polis

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker