Sumbangan kecil ‘Superman’ untuk Palestin

Sumbangan kecil ‘Superman’ untuk Palestin

Bukan mudah hendak menganjurkan acara amal dalam tempoh dua minggu, namun penyanyi dan komposer, Faizal Tahir bersyukur program Faith4Palestine, Ahad lalu, berjaya mencapai objektif.

Lebih membanggakan, acara dibawa gerakan kemanusiaan diasaskannya, iamFaithmen dan syarikat rakaman, Faithful Music berjaya mengumpul RM43,806.21 yang bakal disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza.



Faizal yang digelar ‘Superman’ atas aksi hebat di pentas, tidak menyangka program itu lancar dan mendapat sambutan sangat memberangsangkan daripada orang ramai, sekalipun persiapan dibuat dalam tempoh singkat.

“Sumbangan diterima dalam program sehari ini dianggap hebat. Terima kasih kepada semua pihak yang sudi menderma. Ini adalah di luar jangkaan sebab acara dianjurkan dalam tempoh singkat.

“Banyak perkara yang perlu saya buat. Alhamdulillah, pasukan saya dapat curi masa buat semua ini.

“Dapat sumbangan RM43,806.21 dalam sehari dianggap kejayaan yang sangat baik. Saya berterima kasih kepada tiga stesen radio yang sudi bantu mempromosikan acara ini. Alhamdulillah, hendak keluarkan single pun tidak mudah begitu,” katanya ditemui di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, Ahad lalu.



Faizal menganggap program amal, Faith4Palestine sebagai acara ‘bidan terjun’.

“Acara ini bagi saya, tidak boleh tunggu lama. Saya fikir, apa lagi yang boleh dibuat? Kalau dalam media sosial, ramai buat (program amal untuk Palestin), saya pula, boleh menyanyi dan berkongsi.

“Jadi, apabila dapat peluang, saya kena buat,” katanya.

Antara lain, program itu menyaksikan Faiza tampil dalam persembahan akustik, segmen artis jemputan, Syamel, sesi perkongsian bersama Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan lelongan barangan peribadi milik Faizal.



Berjaya melelong lima barangan, Faizal mengaku dua trofi Anugerah Juara Lagu (AJL), dua gitar, sepasang kasut dan jaket cukup sentimental dalam perjalanan karier seninya.

“Saya tidak rasa berat hati hendak melepaskan semua barangan itu. Kalau boleh, saya mahu lelong lagi, tetapi tiada masa.

“Saya terharu dapat lelong semua barangan itu. Secara jujur, trofi AJL diraih bagi kemenangan single Assalamualaikum Dunia agak berat dilepaskan. Itu kali terakhir saya sertai AJL.

“Gitar juga ada nilai sentimental. Ia dihadiahkan isteri dan digunakan di pentas AJL ketika mendendangkan lagu Sampai Syurga. Namun, apabila kita bagi barang yang kita sayang, ia melatih melembutkan hati kita,” katanya.



Pada sesi lelongan itu, Faizal mengutip RM15,022.99 bagi lima barangan terbabit dengan jualan tiket sebanyak RM25,437.22. Faizal juga melelong koleksi 47 figura aksi adiwira miliknya bernilai RM1,600.

Semua sumbangan disalurkan kepada tabung bantuan Palestin melalui rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Cinta Gaza Malaysia.

Pada segmen persembahan akustik, Faizal tampil berduet menyanyikan lagu We Will Not Go Down bersama Syamel. Lebih istimewa, Faizal menampilkan anaknya menyanyikan lagu Syahadah.

“Saya bertanya anak (untuk menyanyi di pentas), tetapi mereka malu. Namun, saya panggil juga kerana itu tugas saya sebagai ayah. Lagipun, kita buat kebaikan tidak perlu malu-malu.



“Malah, dalam rakaman lagu itu, memang ada suara mereka. Jadi, saya berikan mereka nyanyi lagu Syahadah, lagu lain mereka tidak mahu,” katanya.

Melihat kejayaan acara amal itu, Faizal tidak menolak hasrat menganjurkan siri jelajah supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh membantu penduduk Palestin.

“Kalau boleh, hendak buat siri jelajah dan panggil semua orang bersatu. Namun, bukan mudah. Saya juga tidak mahu acara jadi ala kadar,” katanya.

Faizal berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk rakyat Malaysia menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin dan melepaskan diri daripada cengkaman penjajah.



“Ini mungkin detik permulaan untuk kita memerdekakan diri. Insya-Allah, kita sokong semua orang, termasuk Muslim dan kita tunjuk akhlak yang terbaik,” katanya. BH

Sumbangan kecil ‘Superman’ untuk Palestin

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Siti Nordiana guna bomoh dalam GV?

Mahathir jawab berdepan kenapa tak suka Khairy

Suhaimi Saad ditidurkan di ICU

Bogel di surau , pasangan dipenjara

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker