Raja Permaisuri Agong tersentuh kisah penderitaan rakyat Palestin

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menyantuni 22 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berasal dari Palestin di kampus UIAM, Gombak di sini hari ini.

Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, meluangkan masa kira-kira 45 minit bagi mendengar suara hati kumpulan mahasiswa itu mengenai pergolakan yang sedang berlaku di tanah air mereka.

Tunku Azizah yang kelihatan tersentuh dengan kisah dikongsikan kumpulan itu, turut menzahirkan rasa sedih dan sebak dengan penderitaan rakyat Palestin yang dinafikan hak mereka dan dizalimi rejim Zionis Israel sejak sekian lama.

Selain mengajak hadirin berdoa, Seri Paduka turut berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak tertentu bagi menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Dalam pertemuan itu, Tunku Azizah juga berkenan menerima surat permintaan yang merupakan suara hati komuniti pelajar Palestin UIAM untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

UIAM mempunyai 43 pelajar Palestin yang menyambung pengajıan dalam pelbagai bidang dengan 30 daripadanya di peringkat doktor falsafah dan ijazah sarjana manakala selebihnya ijazah sarjana muda.

Sementara itu, wakil Komuniti Pelajar Palestin IIUM Belal Ahmed, 30, yang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Undang-Undang berkata, beliau sukar untuk menghubungi keluarganya di Gaza sejak konflik terbaharu tercetus pada 7 Oktober lepas.

“Kami terputus hubungan dengan mereka sejak tercetusnya perang. Kami menghantar mesej dan mereka balas selepas seminggu atau dua atau tiga hari,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Belal berkata, beliau dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa mereka terpaksa berjalan lebih lima kilometer hanya untuk mendapatkan 20 liter air bersih kerana bekalan amat terhad.

“Mereka terpaksa menunggu lama dengan lebih 500 orang berbaris untuk mengambil giliran,” katanya.

Sementara itu, Rektor UIAM, Prof Eemeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, berkata pihak universiti melancarkan Tabung Kecemasan Misi Bantuan Kemanusiaan kepada rakyat Palestin pada awal bulan ini bagi membantu mangsa serangan tentera rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

“Ini adalah tanda solidariti keprihatinan warga UIAM ke atas apa yang sedang berlaku. UIAM mempunyai ramai pelajar dan alumni yang datang dari Palestin, justeru sumbangan ini diharapkan dapat membantu mereka yang terkesan dengan apa yang berlaku di Gaza,” katanya.

Menurutnya setakat ini, sebanyak RM60,000 berjaya dikumpul dan sumbangan untuk tabung Palestin itu masih dibuka hingga esok.

Abdul Razak berkata, hasil kutipan itu akan diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi untuk diagihkan kepada pihak bertanggungjawab bagi disampaikan terus kepada mangsa

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Nabil luah isi hati mengenai Elly Mazlein

Adegan panas dengan Zul Ariffin buahkan hasil – Siti Hariesa

Saya pakai singlet jer – Elisya Sandha

Ameera Khan bercinta dengan Meerqeen?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker