Pertempuran di Gaza, Lubnan makin sengit

Pertempuran di Gaza, Lubnan makin sengit

Kebimbangan perang Israel-Palestin mungkin berkembang menjadi konflik Asia Barat semakin meningkat semalam apabila pejuang Hizbullah menyertai Hamas untuk menentang Israel.

Pada masa sama, Washington memberi amaran mengenai risiko besar kepada kepentingan Amerika Syarikat (AS) di rantau itu apabila sekutunya, Israel terus menggempur Gaza dan kini turut membabitkan sempadan Lubnan.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, seramai 266 rakyat Palestin, termasuk 117 kanak-kanak terbunuh akibat serangan udara Israel dalam tempoh 24 jam di kawasan itu, di mana Israel melaksanakan ‘pengepungan menyeluruh’.

Jet pejuang Israel turut melancarkan serangan udara di pinggir selatan bandar Aitaroun, selatan Lubnan, lapor media negara Lebanon NNA lewat kelmarin.

Ia melumpuhkan operasi di kedua-dua lokasi berkenaan dan membunuh sekurang-kurangnya dua pekerja, kata media kerajaan Syria.

Di sepanjang sempadan utara Israel dengan Lubnan, kumpulan Hizbullah yang bertempur dengan tentera Israel untuk menyokong Hamas, menghadapi peningkatan keganasan sempadan paling dahsyat sejak perang Israel-Hizbullah pada 2006.

Wujud barisan hadapan

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh, menggesa masyarakat antarabangsa mewujudkan ‘barisan hadapan yang bersatu’ bagi menghentikan serangan Israel terhadap Gaza dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.

Konvoi kedua 14 trak bantuan memasuki lintasan sempadan Rafah ke Semenanjung Gaza yang dikepung semalam dan Presiden AS, Joe Biden dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan ‘kini akan bermula penghantaran berterusan bantuan kritikal ke Gaza’, lapor Rumah Putih.

Kelmarin, Biden mula berdiplomasi, dengan membuat panggilan berasingan kepada pemimpin Kanada, Perancis, Britain, Jerman dan Itali, selepas bercakap dengan Netanyahu dan Paus Francis.

Minggu ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte akan berkunjung ke Israel.

Bagaimanapun, kelmarin Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, menyuarakan kebimbangan mengenai risiko krisis serantau selepas mengumumkan penempatan lebih banyak aset ketenteraan AS di Asia Barat untuk menyokong Israel.

Ia juga bertujuan mengukuhkan pertahanan AS di rantau itu selepas ‘peningkatan kegiatan ketenteraan Iran dan proksinya baru-baru ini’, merujuk kepada Hizbullah, Palestin dan pejuang lain yang menyertai Hamas.

“Kami bimbang potensi peningkatan (peperangan). Apa yang kami lihat sebenarnya ialah prospek peningkatan ketara serangan ke atas tentera dan rakyat kami di seluruh rantau ini.

“Jika mana-mana kumpulan atau mana-mana negara ingin meluaskan konflik ini dan mengambil kesempatan daripada dilema sangat malang ini… nasihat kami ialah ‘jangan’,” katanya kepada program ‘This Week’ stesen penyiaran ABC, kelmarin.

Pegawai keselamatan Iran memberitahu Reuters, strateginya untuk proksi Asia Barat seperti Hizbullah adalah meneruskan serangan terhad ke atas sasaran Israel dan AS.

Risiko tinggi

Namun, pihaknya mahu mengelakkan peningkatan perang di Tehran dan tidak akan mengambil tindakan berisiko tinggi bagi Republik Islam itu.

Dalam pada itu, Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza di barat daya selepas pejuang Hamas menceroboh sempadan pada 7 Oktober dan membunuh 1,400 orang awam dan membawa 212 tebusan kembali ke Gaza.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, tindakan balas serangan udara dan peluru berpandu Israel membunuh sekurang-kurangnya 4,651 mangsa dan mencederakan 14,245 yang lain dengan lebih sejuta daripada 2.3 juta penduduk di kawasan padat itu kehilangan tempat tinggal.

Israel juga mengumpulkan kereta kebal dan tentera berhampiran sempadan berpagar di sekitar Gaza untuk pencerobohan darat besar-besaran yang dirancang bagi memusnahkan Hamas sama sekali.

Sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin terbunuh malam tadi dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara Israel di kem pelarian Jabalia di utara jalur Gaza, kata pegawai perubatan dan saksi kepada Reuters.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, kebanyakan mangsa maut akibat serangan udara sejak 24 jam lalu berada di selatan Gaza.

Sebaliknya, Israel berkata, pihaknya hanya menyasarkan pejuang dan mereka menggunakan bangunan kediaman sebagai perlindungan atau perisai bagi markas mereka.

Pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata jumlah bantuan yang masuk setakat ini hanya empat peratus daripada purata harian sebelum perang dan hanya memenuhi sebahagian kecil keperluan makanan, air, ubat-ubatan dan stok bahan api. BH

Pertempuran di Gaza, Lubnan makin sengit

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dulu Pelakon Kini Pramugara

Ingat saya lembik – Shila Amzah

Transgender dipantau tentera saat tunai umrah (Video)

Wanita tayang punggung, payudara di Sabah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker