Pertikaian meminta kepada Rasulullah SAW

TAWASUL adalah memohon kepada Allah melalui perantaraan sesuatu yang dibenarkan pada syarak.

Pertikaian meminta kepada Rasulullah SAW

Oleh Hafiz Al-Za’farani

Isu meminta kepada Rasulullah SAW tidak menjadi pertikaian di kalangan ulama muktabar melainkan golongan yang anti kepada tawasul dan istighasah. Tawasul adalah memohon kepada Allah melalui perantaraan sesuatu yang dibenarkan pada syarak. Istighasah pula ialah meminta tolong kepada Nabi atau sesiapa yang mampu membantu.

Di zaman Nabi, ada seorang buta yang memohon kepada Nabi supaya memulihkan butanya. Perbuatan ini adalah istighasah kerana beliau meminta tolong kepada Nabi. Lalu, Nabi mengajarkannya supaya solat dua rakaat dan berdoa yang bermaksud: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepada Mu dan aku bertawajjuh kepada Mu dengan nabi Mu Muhammad, nabi pembawa rahmah. Wahai Muhammad sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada Tuhanku pada hajat ku ini maka makbulkanlah bagiku. Wahai Allah, syafaatkanlah dia padaku.” (HR al-Tirmizi)

Doa ini boleh kita amalkan untuk apa-apa hajat besar kita. Doa yang disebut nama-nama Allah, nama Nabi, orang soleh atau menyebut amalan sendiri ini disebut sebagai bertawasul. Perbuatan meminta tolong kepada Nabi dan bertawasul dengan Nabi adalah diamalkan oleh sahabat bahkan diharuskan oleh ulama.

Ada yang mendakwa boleh istighasah dan tawasul ketika Nabi hidup sahaja. Ini adalah pernyataan yang tidak benar kerana ketika Nabi hidup, bukan Baginda yang memakbulkan hajat seseorang. Demikian juga selepas Nabi wafat kerana Allah jua yang membantu, memakbulkan dan menunaikan segala hajat. Maka di sini tidak timbul meminta selain pada Allah, orang-orang yang mengamalkan tawasul dan istighasah sangat jelas mengenai ini.

Memang benar kita boleh berdoa sendiri dan Allah pasti mendengarnya, namun meminta doa daripada orang lain juga adalah suruhan daripada Nabi. Bayangkan sahabat yang agung disuruh untuk meminta doa daripada seorang tabiin yang tidak pernah jumpa Nabi. Dalam hadis riwayat Muslim, Nabi bersabda: “Sekiranya kamu mampu untuk meminta dia (Uwais Al-Qarni) beristighfar (mendoakan keampunan) buat diri kamu maka lakukanlah.”

Disebabkan sabdaan ini, Sayyidina Umar bersungguh-sungguh mencari Uwais untuk memohon keampunan buat dirinya. Adakah perbuatan ini dianggap ghuluw (melampau) atau dianggap syirik? Amat mustahil Nabi menyuruh perkara sedemikian.

Seterusnya, adakah tidak boleh meminta kepada Nabi secara terus?

Jika kita melihat kepada hadis, terdapat ramai sahabat yang meminta kepada Nabi. Antaranya Anas bin Malik RA pernah meminta syafaat kepada Nabi (Riwayat al-Tirmizi).

Jika kita teliti doa yang diucapkan Puan Rozita Ibrahim atau Bonda Rozita maka kita akan mendapati ia adalah permintaan berbentuk memohon syafaat kepada Nabi. Dalam konteks memohon syafaat kepada Nabi tiada siapa boleh kata salah, syirik atau menyalahi syariat.

Persoalan yang sering ditimbulkan jika kita meminta tolong kepada Nabi dalam erti kata istighasah, adakah ia diketahui oleh Nabi?

Ulama menjawab, Nabi mengetahui setiap amalan umatnya. Hal ini dibuktikan daripada hadis Nabi: “Hidupku adalah baik untuk kalian, kalian menyampaikan (daripadaku) dan kami menyampaikan kepada kalian.

Kematianku juga baik untuk kalian kerana amal perbuatan kalian akan diperlihatkan kepadaku. Maka, sekiranya aku melihat kebaikan, aku akan memuji Allah kerananya. Dan sekiranya aku melihat keburukan, aku akan meminta ampun kepada Allah bagi kamu sekalian.” (HR al-Bazzar)

Setiap orang yang meneliti hadis ini, pasti dapat menerima kenyataan bahawa Nabi mengetahui setiap amalan umatnya. Dalam konteks doa Puan Rozita, ia termasuk amalan umat Nabi.

Maka sudah tentu doa itu juga akan dibentangkan kepada Nabi. Berdasarkan fakta ini, maka perbuatan Puan Rozita tidak salah sama sekali, melainkan ada orang yang cuba menyalahkan sesuatu yang tidak salah.

Syubhat (kekeliruan) yang sering diutarakan ialah mereka berkata Nabi sudah wafat, maka Nabi tidak dapat berbuat apa-apa. Lebih teruk, sebahagian daripada mereka ada mendakwa perbuatan meminta syafaat daripada Nabi adalah suatu kesyirikan. Semua kekeliruan ini dilontarkan kerana kejahilan atau pendustaan semata-mata.

Sedangkan dalam hadis di atas jelas Nabi memohon ampun bagi orang yang bersalah dan memuji bagi orang beramal soleh. Di antara perkara yang perlu kita sedar kewafatan Nabi tidak sama dengan kematian orang biasa. Ia tidak menghalang untuk Nabi berdoa bagi pihak umatnya atau memohon keampunan daripada Allah.

Dalam surah Ali Imran ayat 169: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (syahid) pada jalan Allah itu mati. (Mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

Dalam ayat ini jelas menunjukkan para syuhada’ itu hidup dalam kubur mereka. Bahkan dalam hadis menyebut mereka saling bertemu, bertanya khabar dan berbicara. Jika para syuhada dan orang soleh sudah mendapat kelebihan sedemikian, sudah tentu Rasul termasuk Nabi Muhammad mendapat kelebihan yang lebih lagi.

Kesimpulannya, amat aneh apabila pensyarah bidang hadis menegur sesuatu yang tidak menyalahi syariat. Jika tidak menyalahi syariat, apa tujuan teguran terbabit? Berdasarkan dapatan kami, golongan yang anti dengan istighasah dan tawasul, bahkan ada yang sampai tahap mensyirikkannya adalah golongan ekstremis Wahhabi. Mudah-mudahan tiada masyarakat Malaysia yang terpengaruh dengan ideologi ini. HM

Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri

Pertikaian meminta kepada Rasulullah SAW

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Kak Lina ‘behave’ pada minggu ketiga

Putera Mateen, Dayang Anisha bakal berkahwin Januari 2024

Aishah nak cari lelaki berduit?

Pengarah JSJ Bukit Aman ‘basuh’ semua KBSJD, “jangan sanggup jual nyawa rakan sendiri” [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker