‘Hidup susah mati pun susah’, agama jadi tunggangan

‘Hidup susah mati pun susah’, agama jadi tunggangan

Oleh Ahmad Abd Hamid

TIGA Pembantu Perawatan Kesihatan Gred Unit Forensik Hospital Serdang dituduh menerima suapan bagi kerja-kerja menguruskan jenazah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, baru-baru ini. – GAMBAR: Abd Razak Aid



“HIDUP susah mati pun susah.” Dialog ini dilantun oleh pelawak Alias Congo dalam filem ‘Madu Tiga’ lakonan dan arahan seniman agong Tan Sri P. Ramlee, terbitan tahun 1964. Ini antara filem popular arahan Allahyarham yang terus diminati hingga kini. Turut membintangi Sarimah, Zahrah Agus, Jah Haji Mahadi dan Ahmad Nisfu.

Dalam adegan tersebut, Alias Congo terjun dari pokok untuk bunuh diri kerana kecewa. Tetapi dia selamat kerana terjatuh dalam kereta sports yang dipandu laju oleh P. Ramlee. Namun dia berandaian dia sudah mati.

P. Ramlee kemudian menyuruhya turun daripada kereta dan menunggu di tepi jalan sambil memegang bendera sehingga ‘datuknya’ datang bertanya soalan kubur. Ketika itulah Alias Congo merungut meluahkan dailog di atas. Baginya sudah mati sepatutnya semua selesai, tetapi terpaksa pula pegang bendera. Menyusahkan!

Barangkali, jika mayat boleh bercakap, dailog seperti Alias Congo itu akan diluahkan. Pasti akan timbul rasa kesal dan sedih kerana kematian mereka dijadikan ‘perniagaan’ oleh orang tidak bertanggung jawab dengan menjadikan jenazah sebagai komoditi dagangan.



Matlamatnya untuk memperoleh untung segera dan mudah dengan cara haram. Kaedah operasi ialah dengan menerima rasuah daripada individu atau syarikat tertentu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah orang Islam.

Mereka yang terlibat biasanya adalah kakitangan hospital yang mengurus pengendalian jenazah. Dengan sogokan, mereka menyerahkan kerja mengurus jenazah kepada individu atau syarikat tertentu yang kemudian mengenakan caj, biasanya tinggi, kepada waris pesakit.

Banyak kes seperti ini dilaporkan. Pengurusan jenazah adalah Fardhu Kifayah bagi umat Islam. Tetapi umat Islam sendiri mengambil kesempatan mengaut keuntungan peribadi. Pengurusan jenazah sudah jadi bisnes.

Sebagai contoh, pada 8 Februari 2023 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan penolong pegawai perubatan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, kerana menerima rasuah lebih RM17,000 daripada beberapa ejen pengurusan jenazah antara tahun 2021 hingga 2022.



Pada 14 Februari 2023, tiga pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Serdang dihukum penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menerima rasuah daripada pemilik sebuah syarikat berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah antara tahun 2018 hingga 2019.

Penulis perturunkan kisah ‘rasuah jenazah’ ini untuk memaparkan betapa kegiatan ‘menunggang agama’ semakin menjadi-jadi. Ia sudah dianggap perkara biasa tanpa memperdulikan aspek halal haram, dosa pahala.

Selain isu jenazah, juga wujud isu lain seperti rasuah tiket penerbangan umrah, manipulasi data bakal jemaah haji serta isu penipuan melalui skim pelaburan yang kononnya berciri syariah.

Dalam isu tiket umrah, ia berkait pengagihan kuota tempat duduk penerbangan oleh agensi-agensi perkhidmatan umrah. Apa yang berlaku ialah beberapa syarikat pelancongan teras membolot tiket penerbangan ke tanah suci. Syarikat tersebut kemudian menjual semula tiket berkenaan kepada agensi umrah dengan harga lebih tinggi. Kononnya sebagai komisyen tetapi realitinya ia adalah rasuah. Kegiatan ini merentas seluruh negara.



Agensi umrah terpaksa membeli tiket lebih mahal ini untuk memastikan jemaah yang berdaftar dengan mereka mendapat tempat duduk pada tarikh tertentu. Tetapi jemaah perlu membayar lebih daripada kadar biasa.

Ada jemaah yang sedia membayar, namun ramai juga membatal atau menangguh pemergian ke tanah suci kerana tidak mampu menampung kenaikan harga. Pihak SPRM telah bertindak terhadap yang terlibat.

Barangkali perbandingan mudah ialah seperti suatu ketika dahulu, ketika musim perayaan seperti hari raya, orang ramai berpusu-pusu menuju ke pawagam dan berebut membeli tiket. Namun ada sindiket yang membeli tiket pada kuantiti banyak dan menjual kepada orang ramai pada harga lebih mahal. Ada yang membeli, ada yang enggan.

Manipulasi data haji pula berlaku apabila data Tabung Haji (TH) diubah. Dalam kes sebelum ini, ada pihak memberi rasuah kepada staf Tabung Haji yang bertanggung jawab mengawal selia daftar bakal jemaah. Nama di bawah dinaikkan agar dapat cepat menunaikan haji dengan menghulur imbuhan.



Kakitangan TH yang terlibat dengan perbuatan tidak bermoral ini telah pun didakwa dan dihukum di mahkamah. Semoga perbuatan ini tidak berulang. Perbuatan mereka adalah penganiayaan kepada bakal jemaah yang telah lebih lama mendaftar. Kasihan mereka jika meninggal sebelum sempat ke tanah suci akibat nama dipintas.

Isu menunggang agama yang kini berleluasa pula ialah pelaburan yang kononnya berteras syariah. Sering terpapar dalam media sosial di mana individu atau syarikat menawarkan pelaburan yang mereka dakwa patuh syariah sedangkan pelaburan sedemikian tidak wujud.

Untuk meyakinkan orang ramai, gambar ustaz atau tokoh agama terkenal, atau selebriti popular, diletakkan dalam promosi. Kononnya pelaburan mereka direstui oleh agamawan dan artis popular. Ini menyebabkan ramai mudah terpedaya, tambah apabila dikatakan patuh syariah sedangkan itu hanya penipuan.

Orang ramai tambah tertarik apabila digula-gula dengan janji pelaburan yang walau sedikit akan mendapat pulangan berganda dalam tempuh waktu singkat. Memang tidak logik. Awas jangan sampai terperangkap dengan jerat pelaburan palsu ini. Tidak ada jalan mudah untuk jadi kaya.



Sikap segelintir umat Islam yang betopengkan agama mencari keuntungan dengan memperdaya atau memanipulasi sesama umat Islam sangat dikesali. Tiada rasa segan silu dan tiada langsung rasa bersalah membohongi saudara seagama. Begitulah apabila tamak menguasai diri dan kilau duit mengabui mata. Utv

‘Hidup susah mati pun susah’, agama jadi tunggangan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Peminat mahu Kak Lina Pom Pom kembali, Elly Mazlein tak gedik

Ira Kazar terima kifarah – Nur Nilam

Jiggy komen pakaian renang Dhabitah

Tuah wajah iras Mira Filzah dapat watak utama

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker