Temberang pengemis Arab di ibu kota

Temberang pengemis Arab di ibu kota

Tinggal di hotel dan membeli-belah selepas mengemis di tengah ibu kota.

Itu tindakan kumpulan pengemis dari negara Arab yang menagih simpati orang ramai sebelum menghabiskan wang hasil kutipan dengan membeli-belah.



Gelagat mereka berjaya dirakam wartawan dan jurugambar Harian Metro yang mengekori kumpulan berkenaan dari sebuah hotel dipercayai menjadi penginapan mereka, baru-baru ini.

Mereka tanpa segan silu mendakwa kononnya berasal dari Syria dan Palestin bagi menarik simpati orang ramai.

Wartawan yang melakukan tinjauan di sekitar ibu kota termasuk di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Jalan Hang Tuah, Masjid India, Pasar Seni dan Jalan Petaling mendapati kumpulan ini tidak dikawal sindiket.

Bagaimanapun mereka dilihat berlagak seolah-olah pelancong kerana menginap di hotel dan makan di restoran makanan segera bersama keluarga.



Tinjauan mendapati kumpulan pengemis ini mula keluar dari hotel yang menjadi lokasi mereka menginap pada jam 4 petang dan pulang semula sekitar jam 2 pagi.

Mereka dilihat bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan menyasarkan lokasi seperti restoran, kawasan tumpuan orang ramai dan kelab malam untuk melakukan kegiatan mengemis.

Wartawan mendekati salah seorang pengemis wanita bersama anaknya berusia lingkungan 40-an ketika mereka dikesan menjalankan aktiviti mengemis di Bukit Bintang.

Wanita terbabit menunjukkan jari tangan satu yang mungkin bermaksud mahu wang RM1 daripada wartawan.



Pengemis itu turut mendakwa dari Syria dan datang ke negara ini sebagai pelarian.

Seorang peniaga makanan Arab, Sulihin Jawhari, 42, berkata, pengemis berkenaan bukan dari negara seperti didakwa sebaliknya pelancong dari negara Timur Tengah lain.

“Berdasarkan loghat, mereka bukan datang dari Syria seperti didakwa tetapi salah sebuah negara di Timur Tengah dan ia seolah-olah menjadi modus operandi mereka masuk ke negara ini sebagai pelancong untuk mengemis dan kemudian pulang ke negara asal.

“Kebanyakan yang datang mengemis di restoran ini adalah individu berlainan, susah jika ingin jumpa pengemis yang sama,” katanya.



Menurutnya, kebiasaannya pengemis berkenaan akan membawa kanak-kanak kecil berserta satu kertas mendakwa mereka dari Syria atau Palestin.

“Sebagai satu bangsa dengan mereka, memang saya rasa sedikit malu dengan tindakan yang dilakukan kerana ia turut menjejaskan perniagaan kami.

“Kami sendiri mengikut undang-undang di negara ini dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, bagi peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman, kehadiran pengemis dari Timur Tengah sudah menjadi kebiasaan di kawasan berkenaan.



Salah seorang daripada peniaga terbabit, Zainab Kadir, 53, berkata, kumpulan pengemis ini silih berganti dan menyasarkan orang ramai yang membeli-belah di kawasan berkenaan.

“Pernah saya lihat seorang daripada mereka ditangkap minggu lalu, tetapi saya tidak pasti siapa yang menangkapnya.

“Tetapi mereka ini memang ramai, kami peniaga juga sudah membuat aduan, malah video mereka mengemis kami muat naik di media sosial dan memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak terlalu bermurah hati apabila berhadapan dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, kehadiran pengemis di kawasan berkenaan memberi kesan kepada perniagaannya.



“Sedikit sebanyak ada rasa terganggu. Pelanggan juga menjadi rimas dan akan bertindak keluar dari kedai, tetapi ada juga yang menderma kerana tidak mahu diganggu ketika membeli-belah.

“Kebiasaannya pengemis ini adalah wanita berpurdah serta berjubah. Mereka tidak fasih berbahasa Melayu dan hanya menggunakan isyarat tangan ketika berkomunikasi menagih simpati orang ramai,” katanya.

Zainab memohon tindakan tegas diambil pihak berkuasa terhadap pengemis terbabit kerana tindakan mereka itu mencemarkan imej bandar raya Kuala Lumpur.

“Kumpulan ini cukup sifat, boleh bekerja jika mereka masuk menggunakan pas kerja tetapi jika datang ke sini sebagai pelancong, tidak sepatutnya mereka melakukan kegiatan itu,” katanya.

Masuk sebagai pelancong sebelum jadi peminta sedekah

Pengemis warga Arab dipercayai datang ke negara ini sebagai pelancong sebelum menjalankan aktiviti mengemis.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyakarat (JKM) Kuala Lumpur Che Samsuzuki Che Noh berkata, pemerhatian pihaknya menerusi operasi dijalankan mendapati kebanyakan mereka masuk sebagai pelancong.

“Jika mereka masuk secara haram, mereka tidak mempunyai dokumen seperti pasport dan sebagainya.

“Disebabkan itu selepas kita ambil tindakan, kita akan serahkan mereka kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurutnya, berdasarkan rekod pengemis diselamatkan dalam Operasi Membanteras Pengemisan dijalankan JKM, pihaknya mendapati peningkatan jumlah pengemis warga asing.

“Seramai 560 pengemis ditahan pada Januari hingga Ogos lalu dengan 380 warga asing manakala 180 rakyat tempatan.

“Jumlah itu lebih tinggi berbanding 234 pengemis pada 2022 iaitu 98 bukan warga negara dan 136 lagi pengemis tempatan.

“Mereka ditahan menerusi 63 operasi berjadual dan 14 kali operasi ad hoc yang dibuat berdasarkan aduan awam. Wang pungutan berjaya diperoleh adalah RM9,885, tertinggi setakat ini,” katanya.

Mengulas lanjut statistik itu, Che Samsuzuki berkata, 67 daripada pengemis diselamatkan adalah kanak-kanak warga asing selain 10 pengemis orang kurang upaya bukan warga negara.

“Warga emas yang kita selamatkan seramai 75 warga negara dan 25 orang bukan warga negara,” katanya.

Beliau berkata, operasi bersepadu akan terus dilaksanakan pihaknya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi membanteras kegiatan berkenaan.

Katanya, turut dilaksanakan ialah kempen advokasi Bijak Memberi, Elak Tertipu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan pengemis yang mengambil kesempatan selain menyalurkan aduan ke Talian Kasih 15999. HM

Temberang pengemis Arab di ibu kota

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Diva AA bidas Diana – “Cakap saja kau dah stim tang Farid”

Engku Emran bercerai, nama Erra Fazira kena petik

Jika kepala tak betul, ekor pun tak betul – TMJ

GV10: Tak dapat Mamat sebab dia di tempat paling tinggi – Nabil

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker