Kedudukan 4 Presiden parti, PAS, Amanah, MCA dan Bersatu

SHAH ALAM – Dua jawatan tertinggi Pas iaitu presiden dan timbalan presiden dijangka tidak dipertandingkan pada Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, jangkaan itu dibuat mengambil kira sokongan kuat diberikan akar umbi terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau bagaimanapun berkata, perubahan melibatkan tiga kerusi bagi jawatan naib presiden mungkin akan berlaku pada muktamar kali ini.



“Saya berpendapat jawatan tertinggi Pas lain akan dipertandingkan kecuali kerusi presiden dan timbalan Presiden. Ini disebabkan pola kemenangan Pas hari ini memberi isyarat bahawa Abdul Hadi masih relevan dan mendapat kepercayaan majoriti ahli untuk terus menerajui parti dan juga dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Percaturan dan strategi politik dalam gabungan PN memberi isyarat bahawa Presiden Pas (Abdul Hadi) bersikap terbuka dan profesional dalam menerajui pimpinan parti pada masa kini.

“Jawatan timbalan presiden (juga) mungkin dikekalkan oleh penyandang sekarang iaitu Tuan Ibrahim,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menerajui Pas sejak tahun 2002 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor, sekali gus menjadi individu paling lama menyandang jawatan tertinggi parti berkenaan.



Tuan Ibrahim pula menjawat jawatan nombor dua parti sejak tahun 2015.

Sementara itu, Hussain Yusri berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga dijangka mempertahankan jawatan naib presiden yang disandang kini berdasarkan prestasi semasa.

Selain Ahmad Samsuri, dua lagi pemimpin yang memegang jawatan naib presiden kini ialah Datuk Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Cuma dua lagi kerusi itu kemungkinan diisi calon baharu,” ujarnya.



Sementara itu, ditanya calon-calon baharu yang berpotensi untuk diketengahkan memegang jawatan dalam parti, Hussain Yusri berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat antara individu yang boleh ditonjolkan.

Jelas beliau, Pengarah Pilihan Raya Pas itu antara figura yang mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia, sekali gus turut mendapat sokongan daripada ahli parti.

“Perubahan dan keterbukaan Pas dalam konteks kepimpinan tenokrat dan ulama menjadikan lebih ramai calon yang berkemampuan untuk menerajui pimpinan parti.

“Selain itu, Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail juga antara yang sering diperkatakan kerana membawa imej ulama yang mungkin akan menerajui kepimpinan Pas Pusat. Begitu juga Pesuruhjaya Pas di peringkat negeri akan mengalami banyak perubahan berdasarkan trend politik pada masa kini,” ujar beliau.



Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pemilihan muktamar pada tahun ini dijangka tidak akan berlaku perubahan pada barisan pimpinan parti itu.

Beliau berkata, ia disebabkan pimpinan sedia ada diterima umum, selain kejayaan parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun lalu.

Ketika Muktamar Tahunan Pas ke-67 pada tahun 2021, jawatan presiden dan timbalan presiden yang masing-masing disandang Abdul Hadi dan Tuan Ibrahim tidak dicabar mana-mana pemimpin lain.

Oleh itu, sekiranya Pas tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan kali ini, ia menjadi parti kedua berbuat demikian selepas UMNO.



Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung Januari lalu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing mengekalkan kerusi presiden dan timbalan presiden parti selepas kedua-dua jawatan tersebut tidak dipertandingkan.

Bersatu tangguh pemilihan peringkat tertinggi, Muhyiddin kekal terajui parti Dalam perkembangan lain, Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2023 yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 November ini tidak akan mempertandingkan jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan bahagian.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, ia seperti dimaklumkan Setiausaha Agung parti tersebut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 13 Mei lalu.

RAZALI
RAZALI

 



Beliau berkata, jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ketua sayap ditangguhkan dahulu, sebaliknya pemilihan pimpinan di peringkat cawangan sahaja akan dipertandingkan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada lagi calon yang menyatakan hasrat untuk bertanding di peringkat tertinggi yang mungkin berlangsung tahun hadapan.

“Justeru, khabar angin yang mengatakan mesyuarat kali ini akan ada perubahan di peringkat tertinggi adalah tidak benar, sebaliknya hanya di peringkat cawangan sahaja.

“Setakat ini pemilihan MPT yang kita tangguh selama 18 bulan, insya-ALLAH akan diadakan tahun depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Ditanya mengenai desas-desus mengatakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin disebut-sebut sebagai pencabar utama sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan tidak bertanding pada pemilihan akan datang, Razali berkata, perkara itu tidak benar.

“Mesyuarat belum ada, begitu juga dengan pencalonan. Jadi, tidak timbul soal hendak tukar sesiapa untuk dipertandingkan,” jelas beliau.

 

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Hot Seats Gegar Vaganza GV10 bukan 5 tapi 6, Liza Hanim, Zamani bersaing sengit

Musa Hassan kini suami Qistina

Kehadiran Andi hangatkan lagi hubungan dengan Puteri Sarah

Ramai nak ‘try’ Puteri Sarah – Yusof Haslam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker