Kongres DAP lulus 9 resolusi, pelihara kedudukan Melayu, Islam dan Bahasa Melayu

Kongres DAP lulus 9 resolusi, pelihara kedudukan Melayu, Islam dan Bahasa Melayu

Kongres DAP 2023 hari ini meluluskan sembilan resolusi termasuk mengulangi komitmennya seperti dinyatakan dalam Deklarasi Shah Alam pada 8 Januari 2012 berkaitan hak keistimewaan Melayu, kedudukan Islam serta Bahasa Melayu.

Berdasarkan kandungan resolusi itu, DAP menyatakan kewajipan buat ahli dan pemimpinnya untuk mempertahan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi Persekutuan dan menghormati semangat Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.



Turut diluluskan, ketetapan untuk mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Raja-Raja Berperlembagaan bagi Negeri-negeri.

“Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta melindungi hak dan kepentingan sah kaum dan masyarakat lain seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Melindungi kedudukan istimewa Islam sebagai Agama Persekutuan di samping melindungi kebebasan agama lain untuk diamalkan dengan aman dan damai serta tanpa gangguan, seperti yang termaktub dalam Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan,” menurut resolusi pertama di bawah topik – Impian Malaysia.

Turut terkandung dalam resolusi pertama itu, DAP wajib memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.



“Pada masa sama, mengiktiraf dan mempertahan hak masyarakat lain untuk bertutur, mengajar dan mempelajari bahasa masing-masing. (Selain itu) mengangkat semangat perkongsian sama rata dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan memperjuangkan hak rakyat Sabah dan Sarawak,” menurut resolusi itu lagi.

Selain itu, kongres juga meluluskan resolusi, bahawa DAP menolak sebarang tekanan campur tangan dalam proses undang-undang pendakwaan dan perbicaraan di Mahkamah bagi mana-mana individu.

Parti itu juga terus menuntut penambahbaikan dan reformasi ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi terbabit.

“(Selain itu) menggesa penambahbaikan terhadap tata kelola dan tadbir urus Kerajaan sama ada melalui undang-undang, peraturan atau amalan terbaik bagi mengurangkan dan akhirnya membasmi peluang untuk menerima suapan atau menyalahguna kuasa,” menurut senarai resolusi ketiga di bawah tajuk – mencegah rasuah dan salah guna kuasa.



Resolusi lain yang diluluskan kongres, berkaitan hak politik sivil dan reformasi institusi, antara lain mendesak pemansuhan/penghapusan/pindaan ke atas undang-undang drakonian, zalim dan regresif yang melanggar hak rakyat dan membantu Kerajaan Perpaduan dalam mencapai matlamat ini.

“Meningkatkan usaha mewujudkan kesedaran kepada orang ramai tentang hak mereka untuk mengundi, dengan tumpuan khusus kepada yang berumur 18 hingga 20 tahun dan pengundi baru.

“(Serta) mengulangi komitmen DAP untuk melaksanakan reformasi institusi melalui Kerajaan Perpaduan, termasuk memperkasa peranan Parlimen sebagai semak dan imbang kepada kuasa eksekutif dan mengembalikan hak dan kepentingan wilayah Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Enam lagi resolusi yang diluluskan kongres adalah ekonomi Malaysia yang madani; pemerkasaan wanita dan menghentikan diskriminasi berasaskan gender; menggembleng tenaga anak muda; kemampuan untuk masa depan sertamedia sosial dan penyampaian maklumat.



Resolusi terakhir yang diluluskan, berkaitan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan, dimana DAP menyatakan komitmen berterusan kepada Kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membina semula Malaysia.

Selain itu, DAP akan terus mengukuhkan hubungan di antara parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebagai gabungan teras di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Mengulangi prinsip PH seperti menegakkan demokrasi, keadilan untuk semua, menghormati kepelbagaian Malaysia, memerangi rasuah dan ekonomi yang saksama serta menolak sebarang usaha untuk mengancam kestabilan politik yang sedang dinikmati sejak terbentuknya Kerajaan Perpaduan.

“(Selain itu) memperkukuh hubungan dan kerjasama di antara parti dalam Kerajaan Perpaduan melalui kerajaan pusat dan negeri, Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) serta program di peringkat akar umbi,” katanya. HM



Kongres DAP lulus 9 resolusi, pelihara kedudukan Melayu, Islam dan Bahasa Melayu

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kakak wanita disondol anak pasangan pelakon beri respon



Marissa ‘kejar’ sehingga Aslam tak daya melawan , dakwa bekas isteri

Marissa pernah bersumpah tak akan menyondol lagi – Misya

Mencarut sebelum meninggal dunia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker