India sudah mendarat di bulan, Malaysia terperangkap dengan parti bulan

India sudah mendarat di bulan, Malaysia terperangkap dengan parti bulan

Oleh Fakhrurrazi Rashid

India kini boleh dianggap setara dengan AS dan Rusia apabila berjaya kapal angkasanya, Chandrayaan-3, mendarat di kutub selatan bulan pada 25 Ogos lalu. Pendaratan itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana permukaan di wilayah berkenaan tidak pernah diterokai manusia sebelum ini.



Misi itu adalah usaha tekal Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas Indi sejak 2008. Dengan menelan kes sebanyak AS$75 juta (RM348.7 juta) sudah pasti projek itu mengundang polemik dan kontroversi.

Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam satu rancangan mempersoalkan sama ada perbelanjaan itu berbaloi buat negara yang masih dibelenggu kemiskinan tegar dan 700 juta orang rakyatnya tidak mempunyai kemudahan tandas.

Tetapi, persoalan itu tidak mampu melindungi rasa bangga rakyat India yang melaungkan “bharat mata ki jai” (kemenangan untuk tanah air) yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Seorang penulis bebas, Hannah Abraham, dalam artikelnya “How India’s moon landing has boosted its self image” di The Guardian menyatakan, misi Chandrayaan-3 memberi inspirasi kepada jutaan kanak-kanak di India yang melihat saintis negara mereka berdaya tahan dan tidak pernah putus asa untuk melakukan yang terbaik buat tanah air.



Misi itu juga membawa keuntungan berganda buat ekonomi India seperti pelaburan program aeroangkasa, penyelidikan dan inovasi, dan mengangkat peranan komuniti sains di India.

Meskipun politik domestik India berdepan dengan perbalahan agama yang tidak berkesudahan, misi Chandrayaan-3 menyemai rasa bangga dan kegembiraan buat rakyat untuk maju.

Ia sudah pasti mendorong masyarakat dan pemimpin dunia untuk kembali berdaya saing dalam menguasai pengetahuan saintifik.

Soalan yang lebih penting ialah: ketika India sudah sampai ke bulan, Malaysia sudah sampai di mana?



Kita masih ingat bagaimana rakyat Malaysia berbangga apabila ada angkasawan pertama di hantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2007. Kejayaan itu memberi inspirasi kepada golongan muda untuk terlibat dalam bidang sains dan aeroangkasa.

Kerajaan Malaysia pernah berhasrat meneruskan misi menghantar angkasawan kedua ke ISS untuk menjalankan penyelidikan pada 2016. Tetapi, misi itu sunyi hampir sedekad lamanya.

Hantar mesej perpecahan

Anak muda hari ini kian menjauhi bidang sains dan teknologi yang dikira sukar dan tidak membawa keuntungan dalam kehidupan.



Sementara itu pada 2022 penyertaan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menurun kepada 40 peratus, dan jatuh sebanyak 26 peratus sejak 2019.

Malah 70 peratus belia menolak tawaran melanjutkan pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada sesi pertama tahun ini.

Situasi ini boleh dianggap kronik kerana negara bakal berdepan kekurangan bakat dan tenaga mahir untuk membangunkan ekonomi Malaysia dalam tempoh jangka panjang.

Justeru, apakah misi menghantar angkasawan kedua boleh berlaku?



Menurut angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor, misi untuk menghantar angkasawan kedua pada 2023 melalui kerangka tindakan Agensi Angkasa Negara Malaysia mampu dilaksanakan.

Syaratnya, perlu ada kestabilan politik dan kerajaan futuristik di Malaysia. Kata kuncinya adalah kerajaan berwawasan dan stabil.

Ironinya, India berjaya sampai ke bulan, manakala Malaysia pula terperangkap dengan ‘parti bulan’ yang sering menghantar mesej perpecahan untuk meminggirkan pandangan masa depan rakyat, serentak dengan usaha berterusan menggugat kestabilan politik negara.

Fitnah dan pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan secara terbuka untuk menajamkan lagi pertembungan dalam masyarakat, sekali gus bakal meruntuhkan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.



‘Futuristik’ parti bulan itu ternyata hanyalah mahu menjatuhkan kerajaan pusat. Itulah zikir yang disebut mereka hampir setiap bulan.

Malah, perdebatan dasar parti terbabit pula hanya berlegar pada momokan kepada ‘parti roket’, pakaian jururawat, dan dakwaan 54,000 rakyat China bakal menjadi warganegara Malaysia.

Lebih dahsyat lagi apabila figura dalam parti bulan sanggup mempertahankan fitnah ketika mahkamah telah membuktikan sebaliknya.

Lebih menarik orang parti bulan menunjukkan sikap yang berbeza sama sekali dan menyanjung hakim jika keputusan memihak kepada mereka.

Apa yang berlaku kini menggambarkan Malaysia seolah-olah berhadapan dengan pertembungan di antara fitnah dan sains. Inilah akibatnya apabila fakta dimanipulasikan menggunakan logik yang tidak mempunyai kawalan nilai dan ilmu.

Elak cerita khayal, karut

Peliknya, berbaris-baris golongan profesional dalam parti bulan dan sekutunya tidak menegur, bahkan berganding baru membina gagasan politik perkauman dan agama untuk memeluk kuasa semula.

Malah negarawan seperti Dr Mahathir Mohamad – yang dahulunya sederhana, menekankan kepentingan sains dan teknologi – boleh tunduk kepada pandangan sempit semata-mata untuk menolak Anwar Ibrahim.

Sayangnya, kerajaan perpaduan juga sedang menari mengikut rentak parti bulan. Kerajaan Madani tergelincir daripada fokus memperluas gagasan besar buat menyatukan rakyat.

Terlihat juga kerajaan perpaduan itu berjiwa kecil dan hanya mahu menyelesaikan isu simplistik seperti tandas di sekolah.

Apabila Putrajaya tidak bersungguh-sungguh mencipta kerangka besar negara, rakyat sukar bergerak seiring dengan kerajaan. Kesannya, kerajaan terpaksa berdepan dengan perang fitnah dan berita tidak benar hampir setiap masa.

Membina rakyat yang futuristik berteraskan sains dan nilai adalah usaha tiada noktah. Rakyat dan pemimpin harus berjalan seiringan untuk meletakkan Malaysia menjadi negara yang bernilai tinggi.

Rasa hormat kepada Malaysia itu boleh hadir apabila negara berjaya melahirkan generasi berasaskan ilmu yang bermanfaat, bukan cerita-cerita fantasi kuasa politik dan tahyul.

Persoalannya, apakah rakyat sanggup keluar dari zon selesa untuk membina Malaysia yang futuristik dan berasaskan ilmu sains?

Atau kita selesa untuk terus duduk dalam keadaan sekarang dan membiarkan diri menjadi mangsa percaturan politik parti bulan yang melemahkan jiwa? Mk

India sudah mendarat di bulan, Malaysia terperangkap dengan parti bulan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10, gegar segala gegar

Jangan tayang suami kalau takut disondol – Che Ta

Saya bukan orang ketiga antara Nafiez dan Fify – Neera

Saya Anak Malaysia lagu wajib Hari Kebangsaan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker