Ucapan terakhir wira Bakara, Koperal Mat Aznan Awang, ‘Malaikat datang’
PETALING JAYA: “Malaikat datang, malaikat datang,” itulah kata-kata terakhir Koperal Mat Aznan Awang anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanize yang terkorban dalam pertempuran di Pasar Bakara, Mogadishu, pada 4 Oktober 1993.
Meskipun sudah 30 tahun berlaku, namun bagi leftenan kolonel bersara, Kamal Idris Johari, masih segar di ingatannya Aznan yang disifatkannya sebagai anggota yang sangat berdedikasi.
Beliau yang juga ketua platun ketika itu berkata hatinya luruh dan sebak ketika dipanggil untuk mengecam jenazah Aznan. Ketika itulah beliau melihat dengan jelas kecederaan dialami Mat Aznan yang sehingga meragut nyawanya.
“Saya dipanggil oleh doktor dari Pakistan untuk mengenal pasti jenazah…pada ketika itu saya memang tidak boleh nak menahan sebak, saya dapat lihat dengan jelas bagaimana keadaan arwah Mat Aznan.
“Saya dapat tengok…dengan besi-besi yang melekat di bahagian muka, bahagian dada yang dah kosong, kecederaan parah itu saya peluk lama…sehingga doktor terpaksa tarik saya keluar,” katanya kepada FMT.
Darah keluar membuak-buak
Mengimbau detik pertempuran itu, Kamal berkata ketika dalam misi menyelamat tentera Amerika Syarikat, platunnya yang datang bersama empat buah kereta perisai yang salah satunya dipandu Mat Aznan diserang bertubi-tubi oleh militan Somalia.
“Jumlah peluru yang kami terima ketika itu macam hujan…lebih kurang tengah malam kenderaan terakhir saya ditembak oleh RPG 7 (pelancar bom anti-perisai)… saya nampak sekumpulan Somali dan mula bergerak ke arah kereta depan, kereta arwah Mat Aznan.
“Bom RPG itu telah kena pada kereta dan besi itu telah terkopak kerana kekuatan peluru itu, meletup di bahagian dada kiri dia (Aznan). Tulang bahu belakang dia dah hancur… yang hanya memegang lengan sebelah kiri sekadar kulit dan juga otot,” katanya sambil memaklumkan dua kereta perisai musnah pada hari kejadian.
Kamal berkata, ketika masih lagi diserang beliau bersama anggota lain, antaranya Sarjan Mohd Sabri Ahmad dan Koperal Rusli Arshad, berusaha menyelamatkan Aznan, namun keadaannya ketika sudah begitu lemah dan akhirnya meninggal dunia di pangkuan rakan sepasukan.
“Luka dia parah darah membuak-buak jadi mereka terpaksa tekup sebab tak nak darah keluar memancut-mancut… makin lama suara dia makin perlahan, dia teruskan juga ‘malaikat datang’, kami cuma cakap ‘mengucaplah Nan’, kami ajar dia mengucap sampailah dia menghembuskan nafas terakhir,” ujarnya.
Aznan mahu beli hadiah untuk anak
Kamal berkata pada malam sebelum kejadian, Aznan sempat masakan mi segera untuknya dan mereka berbual-bual mengenai keluarga di Malaysia. Allahyarham yang berasal dari Baling, Kedah sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak perempuan berusia 7 dan 4 tahun.
Meskipun berbeza pangkat semua anggota platun mempunyai hubungan yang akrab, ujarnya, dan beliau teringat Aznan meminta pendapat berkenaan hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada anaknya.
“Dia bertanya, ‘tuan kalau saya nak beli hadiah, anak saya ini kalau cemerlang, apa hadiah yang patut saya bagi?’.
“Saya pun cakap ‘Nan saya bujang, mana saya tahu tetapi kalau saya rasa kalau anak perempuan bagilah benda yang berunsur emas, rantai ke gelang tangan emas’ lepas itu dia kata, ‘betul lah tuan saya pun fikir macam itu juga lah’… itulah antara yang mengingatkan saya berkenaan dengan dia,” tambah Kamal.
Aznan lahir pada 28 Disember 1961 terkorban ketika misi menyelamatkan askar AS termasuk daripada pasukan elit renjer yang dikepung militan Somalia di Pasar Bakara. Ketika itu, askar Malaysia melakukan kerja-kerja pengamanan bawah panji PBB.
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Dusuki sindir Mujahid, kalah pilihan raya lagi menyayat hati
- Penahanan ‘Rasul Melayu’ sah, rayuan JAIS dibenar
- DAP kena gugurkan agenda Negara Sekular, slogan Malaysian Malaysia – Nur Jazlan
- Angkat kaki, ‘goodbye’ – Puteri Sarah
- Intan Najuwa kahwin kerana duit
- Dibelasah lima lelaki selepas terlibat kemalangan
- PAS guna agenda pecah dan perintah – Khairuddin
- Imam Mustaqim diburu polis
- Halal bagi PAS, haram bagi yang lain
- Razali, PAS diberi 24 jam mohon maaf, tarik semula dakwaan
- Anggota polis bantuan ditemui maut dengan kesan tembakan dalam ruang rehat KKIA
- Orang ramai kecam calon parti cetak nama atas sejadah
- Muslihat hidupkan semula ‘Muafakat Nasional’, UMNO tidak akan makan ‘umpan’ PAS – Zahid
- Andrie Ung akui bertanggungjawab bawa pelajar tahfiz, Kerajaan dan KFC tidak terlibat
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.