Kerajaan boleh bertukar bila-bila masa – Hadi

Kerajaan boleh bertukar bila-bila masa – Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa keputusan memberangsangkan gabungan PN pada pilihan raya kecil Parlimen Pulai pada 9 September ini boleh menjadi pencetus kepada perubahan dalam kerajaan persekutuan.

Sebelum ini, pemimpin PN juga membuat dakwaan serupa menjelang enam pilihan raya negeri yang lalu.



“Ada yang dakwa PRK Pulai ini tak jadi apa sebab pilihan raya kecil saja.

“Namun ia sebenarnya ada makna besar sebab ahli parlimen yang menang nanti akan bercakap bagi pihak kita di Parlimen.

“Apatah lagi PN memiliki jumlah kerusi agak besar di Parlimen… kerajaan boleh berubah bila-bila masa sahaja.

“Kita memerlukan tambahan kerusi ini untuk banyak lagi… dan kita harap bersabar,” katanya kepada pemberita di markas PAS Pulai malam tadi.



Dia seterusnya menyatakan harapan agar Umno berubah fikiran dan pemimpinnya ‘bertaubat’.

“Umno yang insaf supaya berubah… kerajaan akan berubah pada bila-bila masa. Itu boleh berlaku. Jangan bimbang,” katanya lagi.

Pada 7 Ogos lalu, Hadi mendakwa kemenangan PN dalam enam pilihan raya negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan – akan membuka jalan kepada perubahan dalam pentadbiran kerajaan persekutuan. Namun dakwaan itu tidak menjadi kenyataan.

Semalam Timbalan Pengerusi Umno Johor Ahmad Maslan mengibaratkan istilah “gelombang rakyat” yang dicipta oleh PN hanya sebagai cakap kosong yang dicipta oleh pakatan pembangkang.



Katanya, adalah tidak tepat untuk menggambarkan bahawa seluruh negara menyokong “gelombang” tersebut apabila PN hanya menguasai empat negeri.

Negeri yang dimaksudkan ialah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Macam mana pula itu dipanggil gelombang rakyat? Malaysia ada 14 negeri, mereka (PN) dapat empat negeri sahaja. Kita ada 10 (negeri).

“Takkan mereka tak tahu matematik, 10 jauh lebih banyak daripada empat.



“Jangan nak kata itu gelombang rakyat, temberang diorang saja. Itu hanyalah ‘gelombang hijau’ yang tak sampai ke mana dan empat negeri itu sahajalah gelombangnya,” katanya.

Ahmad, yang juga ahli majlis tertinggi Umno, menyatakan keyakinan bahawa pengundi di Simpang Jeram dan Pulai akan bersikap rasional dalam membuat keputusan yang tepat untuk memilih wakil rakyat bagi kerusi DUN dan parlimen masing-masing.

“Orang sini tak mahu Pulai jadi pembangkang. Pulai sudah jadi kerajaan, kenapa tiba-tiba nak jadi pembangkang?

“Simpang Jeram juga. Kenapa kita tiba-tiba nak jadi pembangkang? Kawasan pembangkang ini tidak ada faedah, satu sen pun.



“Jadi, kita teruskan supaya kawasan Pulai dan Simpang Jeram berada dalam kerajaan.

“Perlu diketahui bahawa di peringkat Pusat telah selesai dan kerajaannya adalah Kerajaan Perpaduan. Kalau lain yang dipilih di sini, sudah tentu akan menjadi pembangkang termasuklah di bawah kerajaan negeri ini,” katanya lagi.

Kerajaan Persekutuan yang dianggotai parti Pakatan Harapan, BN, GPS dan GRS mempunyai majoriti besar di Parlimen, manakala PN hanya mempunyai 73 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

PRK Simpang Jeram dan Pulai diadakan berikutan kematian menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai, sehari selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.



Pertembungan tiga penjuru akan berlangsung bagi kerusi DUN Simpang Jeram, antara calon PH Nazri Abdul Rahman, calon PN Dr Mohd Mazri Yahya, dan calon bebas S Jeganathan.

Sementara itu, di Pulai, Suhaizan Kaiat dari PH akan berdepan calon PN Zulkifli Jaafar dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Pada pilihan raya umum ke-15, Salahuddin memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi, memperoleh 64,900 undi, mendahului calon BN Nur Jazlan Mohamed (31,726 undi) dan calon PN Loh Kah Yong (20,677).

Salahuddin turut mempertahankan kerusi Simpang Jeram pada pilihan raya negeri Johor pada Mac tahun lepas dengan meraih 8,749 undi menentang Zarul Salleh dari PN (6,350 undi), Lokman Md Don dari BN (6,062 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 166,653 pengundi berdaftar, 165,799 pengundi biasa, 927 anggota polis dan pasangan, dan 26 pengundi pos luar negara di kawasan Parlimen Pulai.

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 pengundi berdaftar, 40,373 pengundi biasa, dan enam pengundi pos luar negara. Mk

Kerajaan boleh bertukar bila-bila masa – Hadi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Jumpa kamu di alam lain Nad – Sharifah Sakinah

Aliff Syukri bengang pasal Ira dan Puteri Sarah

Berzina dengan ibu kandung

Saya tahu masalah Nad – Marsha Milan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker