Dua isu panas gugat peluang PN di Kedah
Dua isu panas gugat peluang PN di Kedah
Oleh Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
Faktor calon boleh memenangkan sesebuah parti dalam pilihan raya, apatah lagi dengan negeri ‘bandul berayun’ seperti Kedah yang menyaksikan banyak perubahan kerajaan. Hakikatnya, rakyat atau pengundi di negeri ini bijak menilai siapa sesuai untuk mentadbir.
Setelah mengetahui parti apa akan bertanding, tentu faktor calon ditagih untuk membawa arus menyokong sesuatu parti. Seperti dijangka, semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan menyaksikan pertembungan antara Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menentang Perikatan Nasional (PN) terutama di 28 kerusi.
Namun, lapan kerusi iaitu Ayer Hangat, Kuah, Kota Seputeh, Derga, Guar Chempedak, Bukit Selambau, Bakar Arang dan Lunas memperlihatkan pertembungan banyak penjuru oleh calon Bebas dan seorang calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Bakar Arang, sekali gus menjadikan keseluruhan 83 calon menawarkan diri.
Menariknya, dinamik politik pengundian berubah kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan PRU15 pada 2022, pertembungan tiga atau lebih penjuru berlaku, tetapi kali ini sejarah PRU13 pada 2013 berulang menyaksikan lebih banyak pertembungan dua penjuru.
Bezanya, PAS pada PRU13 menyertai Pakatan Rakyat (PR) menentang BN, tetapi gabungan diketuai UMNO memenangi Kedah dan membentuk kerajaan. Kini BN dan PH bergabung menentang PN diketuai PAS dalam konteks negeri berkenaan.
Jadi siapakah bakal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah pada 12 Ogos ini, sekali gus mungkin membentuk kerajaan keesokannya?
Sebelum kita melihat parti mana berpotensi memenanginya, ada baik kita meninjau tiga faktor utama kemenangan, iaitu parti, calon dan manifesto/isu.
Melihat faktor parti, jelas pertembungan PH-BN (Perpaduan) menentang PN akan menentukan salah satu memenangi pilihan raya. Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan pengalaman mentadbir kerajaan negeri. Jadi, pengundi lebih mudah menilai prestasi parti dalam menentukan hala tuju negeri lima tahun mendatang.
Namun, kerajaan atau parti adalah entiti abstrak kerana yang menggerakkannya adalah ahli politik yang akan dipilih pengundi mewakili DUN ditandingi. Bagi membentuk kerajaan, parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya 19 kerusi majoriti mudah.
Melihat faktor kedua, iaitu calon, kita mengetahui senarai calon bertanding. Cuma perlu juga diperhatikan rentetan kepada sebelum berlaku penamaan calon, Sabtu lalu. Kesemua parti gabungan PH-BN mengumumkan nama calon mereka lebih awal seminggu berbanding PN dengan BN atau UMNO paling awal.
Ini berbeza dengan PRU sebelum ini yang pengumumannya pada saat akhir. Malah perbincangan pembahagian kerusi dapat diselesaikan awal, kecuali perubahan kepada calon PH di Bukit Selambau pada saat terakhir yang lebih kepada strategi politik.
Kombinasi muka lama, baharu
Calon PH-BN menampilkan kombinasi muka lama dan baharu, malah terdapat sembilan calon wanita diketengahkan dan wakil untuk semua kaum termasuk etnik Siam di Sidam. Nampak agak tersusun dari segi pencalonan PH-BN, sekali gus menampakkan keseriusan menawan Kedah.
Berbanding PN yang agak lewat menamakan calon kerana dikatakan belum selesai pembahagian kerusi hingga hari penamaan calon. Ramai muka lama dikekalkan, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Jeneri walaupun terdengar ura-ura ingin berpindah kawasan ke Tokai.
Tokoh veteran PAS dikatakan ingin bersara, terus dikekalkan bertanding di Tokai dan Merbau Pulai. Dua bekas pemain bola sepak dan bekas ahli akademik juga dibawa masuk untuk bertanding.
Cuma berlaku kekecohan di DUN Ayer Hangat dan Kuah apabila pemimpin PAS Langkawi bertindak mencalonkan diri sebagai calon Bebas menentang calon PN dan PH-BN. Begitu juga protes kepada pencalonan calon PN di Kota Siputeh oleh jentera dan penyokong PN.
Ekoran itu, PAS menggugurkan keahlian Timbalan Yang Dipertua PAS Langkawi, Mazlan Ahmad dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Langkawi, Safwan Hanif Shafie yang masing-masing bertanding sebagai calon Bebas.
Bagaimanapun, calon dikemukakan PN tidak diwakili calon daripada kaum India dan Siam. Malah hanya lima calon PN adalah wanita.
Secara keseluruhannya, berdasarkan kajian sebelum ini, faktor parti lebih menjadi pemberat kepada pengundi membuat keputusan berbanding calon. Namun, sepanjang PRU15 DUN Kedah ini bermula, ramai mula meminta manifesto dan tawaran boleh diberikan parti politik ini.
Dari segi manifesto pula terlihat PH-BN lebih awal mengumumkan manifesto pada 27 Julai lalu. Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata manifesto ditawarkan juga komprehensif, realistik, munasabah dan boleh dilaksana: “Bila nak ajak rakyat Kedah pilih kerajaan, biar dasar lawan dasar, program lawan program, tawaran lawan tawaran. Kita mulakan politik baharu dan rakyat tidak membuat keputusan hanya berkisar pada politik, sentimen kaum dan agama yang sempit”.
Terdapat kerjasama baik antara PH dan BN merealisasikan manifesto ini jika terpilih menjadi kerajaan. Namun, PN belum mengumumkan manifesto mereka semasa artikel ini ditulis.
Melihat kepada isu semasa, isu hangat adalah membabitkan Sanusi yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang pada 18 Julai lalu atas dua tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948.
Selain itu, terdapat isu kecurian nadir bumi (REE) di Sik, Kedah membabitkan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan warga China ditangkap yang masih dalam siasatan beberapa agensi kerajaan.
Kedua-dua isu ini dilihat agak serius dan mampu bukan sahaja menggugat kredibiliti Sanusi, malah peluang PN memenangi PRU15 DUN Kedah ini. Isu sebegini selalunya memberi kesan langsung kepada demografi pengundi muda, golongan kelas menengah dan peniaga, selain penduduk bandar dan pinggir bandar. Penduduk luar bandar lebih fokus kepada politik pembangunan di kawasan mereka.
Melihat kepada keseluruhan aspek hingga penamaan calon berlaku, penduduk Kedah nampak berminat menilai tawaran ingin dibawa parti dan calon bertanding. Siapa atau parti mana menawarkan tawaran menarik, akan disokong pengundi nanti.
Saingan sengit semestinya untuk memenangkan setiap kerusi. Sudah pasti faktor pertembungan dua penjuru, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tawaran manifesto, isu semasa dan kebajikan rakyat Kedah menjadi penentu kepada keputusan PRN DUN Kedah ini.
Penulis adalah Profesor di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM)
Dua isu panas gugat peluang PN di Kedah
Baca Artikel Menarik:
- Riena Diana sedia buat babak ranjang
- Umar pecah rekod kebangsaan di Chengdu
- Tular video wanita dipukul di tangga, bapa buat laporan polis
- Biodata Masya Masyitah
- Terharu Syed mandikan saya – Hana
- PAS berkawan dengan siapa saja asal dapat berkuasa, dengan DAP pun sudah
- Kehidupan Bell berubah 180 darjah
- Aira Azman permata baharu skuasy negara
- Ismail Sabri ingatkan ahli UMNO jangan serang parti sendiri, serang musuh UMNO
- Pengikut ajaran The Ahmadi sertai perhimpunan LGBT ditahan
- Dah Pandai Buat Tahi, Pandai Lah Bersihkan
- Syarleena buat laporan polis terhadap Muhyiddin
- Isteri calon PRN Terengganu dakwa digantung tidak bertali
- Cardi B mengamuk, baling mikrofon ke arah peminat (Video)
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Ira Kazar Mengamuk, Selar Individu Batak ‘Likes’ Dan ‘Views’
You must be logged in to post a comment.