Sedekah yang terbaik

Sebaik-baik pemberian sedekah adalah yang tersembunyi dari pengetahuan umum

Sedekah yang terbaik

Hari ini semakin ramai yang mengalami kesusahan dan memerlukan bantuan. Ada yang hilang pekerjaan, hilang keupayaan diri, tiada pendapatan, ditimpa musibah bencana, penyakit dan pelbagai lagi keadaan.

Dalam masa yang sama, masih ramai lagi yang mempunyai keupayaan sanggup menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tidak kira sama ada dalam bentuk perkhidmatan, kewangan, bekalan makanan dan sebagainya. Itu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih lagi punya sikap prihatin untuk saling membantu tanpa mengira bangsa atau agama.

Malah kehadiran beberapa pertubuhan sukarelawan, badan bukan kerajaan bahkan juga kalangan individu yang kerap turun padang menghulurkan bantuan dilihat cukup menyenangkan bagi sebahagian besar rakyat Malaysia.

Segala aktiviti sukarelawan yang dijalankan ini pula kemudiannya dikongsikan kepada tatapan umum terutama melalui media sosial agar masyarakat maklum tentang aktiviti yang mereka lakukan.

Namun perkongsian ini ternyata mencetuskan satu polemik baru kepada sesetengah pihak apabila dilihat seolah-olah seperti menafikan pula satu pihak lain yang sepatutnya membantu asnaf yang memerlukan.

Hingga akhirnya institusi yang sepatutnya memberikan bantuan kepada pihak yang memerlukan difitnah dan dikecam teruk dek kerana gagal melasanakan amanah yang diberi.

Persoalannya, wajarkah sedekah yang dihulurkan itu disembunyikan, atau selayaknya dizahirkan bagi memberitahu khalayak tentang bantuan yang diberi?

Menjawab persoalan ini, terlebih dahulu untuk pemberi zakat, seperti pusat zakat, mereka disunatkan untuk menzahirkan kepada umum bantuan zakat yang diberikan agar mengelakkan sebarang tuduhan yang tidak berasas.

Dalam masa yang sama tujuan hebahan itu untuk menyuntik elemen motivasi serta ikutan kepada masyarakat. Itu disebabkan duit bantuan tersebut bersumberkan dari pembayar zakat, maka elok jika mereka tahu ke mana duit mereka diserahkan.

Manakala selain dari pusat zakat, sama ada individu atau berkumpulan, bantuan yang dihulurkan itu tidak dianggap zakat melainkan sedekah.

Maka dalam Islam, amalan bersedekah lebih elok dan utama jika disembunyikan tanpa dizahirkan bagi mengelakkan dari sifat riyak dan takabbur. Ia tidak lain bertujuan untuk menjaga maslahah umatnya.

Walau bagaimanapun sekiranya menzahirkan ibadah sedekah lebih mendatangkan kebaikan seperti memotivasikan orang lain untuk turut bersedekah maka harus ia zahirkan. Pun begitu, menyembunyikannya adalah lebih baik berdasarkan kepada hadis dari Abu Hurairah r.a. bersabda Baginda s.a.w.

“Tujuh golongan yang akan dilindungi Allah di bawah lindungan Nya pada hari yang tidak ada lindungan selain lindungan Nya iaitu, pemerintah yang adil, pemuda yang membesar di dalam melakukan ibadah kepada Allah.

Dua orang lelaki yang berkasih sayang kepada Allah di mana masing-masing bertemu dan berpisah kerana Allah. Lelaki yang hatinya bergantung kepada masjid dan bersunyi-sunyian di sana, lalu mengalir air matanya.

Seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan untuk melakukan zina tetapi dia menolaknya dengan mengatakan, “sesungguhnya aku takutkan Allah.”

Dan seorang lelaki yang bersedekah lalu menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” HR Bukhari

Malah bukan hadis di atas sahaja yang mengingatkan kita supaya menyembunyikan amalan sedekah, tetapi terdapat satu lagi hadis yang disahihkan oleh as-Syeikh al Bani dengan sabdanya,

“Sedekah secara senyap itu boleh memadamkan kemurkaan Tuhan”

Tindakan bersedekah memanglah satu amalan dan ibadah yang mulia dan dituntut kepada semua manusia untuk melakukannya. Malah sedekah tidak tertakluk sama ada seseorang itu miskin atau kaya, berbeza dengan zakat. Hanya yang berkemampuan sahaja layak mengeluarkan zakat.

Tinggal lagi apa yang perlu diperhalusi adalah untuk menzahirkan atau menyembunyikannya kepada pihak umum. Jika memang niatnya baik, sebagai satu bentuk motivasi tanpa sebarang unsur riak, maka zahirkanlah.

Akan tetapi jika menyembunyikan amalan sedekahnya itu lebih mendekatkan diri kepada Allah kerana takut jika terbit sikap riak, maka sembunyikan lebih baik dan itu adalah sebaik-baik amalan. Wallahu a’lam. Utv

Sedekah yang terbaik

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Sakan berpeluk, Yasmin Hani dan Alif Hadi disaran kahwin cepat

Alif Satar tidur tepi jalan, tak mandi dua malam di Muzdalifah

Ajai bergelek atas pentas bersama Elly dan Rina Nose (Video)

Fouziah Gous bengang rakan artis liat bayar hutangnya (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker