Guru enggan vaksin dipindah antara negeri

Guru enggan vaksin dipindah antara negeri

LANGKAWI: Seramai 2,000 guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 atau antivaksin kemungkinan diambil tindakan dipindah antara negeri selepas ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya juga sedang melihat keperluan untuk memindahkan guru-guru terbabit ke sekolah atau tempat lain yang lebih sesuai.



Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi memastikan guru terlibat tidak berinteraksi secara langsung dengan murid dan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Bagaimanapun, katanya, jumlah guru yang enggan menerima vaksin iaitu seramai 2,500 orang sebelum ini berkurangan kepada 2,000 orang dan pihaknya masih menasihatkan mereka supaya divaksin kerana mereka perlu berhadapan dengan murid-murid.

“Kita sedang melihat bagaimana nak bawa keluar guru ini dengan menukar mereka ke tempat lebih sesuai dan ini mungkin melibatkan pertukaran antara negeri.

“Jumlahnya kecil, tetapi, apabila kita selidik ke tahap setiap sekolah, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan kita akan ambil tindakan segera.



“Pada peringkat awal, kita nasihatkan supaya mereka divaksin kerana mereka perlu berhadapan dengan murid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persediaan pembukaan semula sekolah di sini bawah Fasa 4 di Kolej Vokasional Langkawi di sini hari ini.

Radzi berkata, hasil data yang diperoleh, pihaknya mendapati terdapat sekolah-sekolah tertentu yang mana semua guru mengajar satu subjek sama tidak mahu divaksinkan.

“Jadi bagaimana kita nak teruskan pengajaran dan pembelajaran jika berada dalam konteks tersebut,” katanya.



Selain itu, katanya, pihaknya juga telah sekian lama memohon jasa baik guru-guru terlibat untuk mendapatkan vaksin.

“Berkaitan tindakan lain, kita menunggu apakah keputusan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) tentang pendekatan yang akan diambil daripada sudut perkhidmatan awam kepada guru-guru ini,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementerian memutuskan untuk membenarkan pelajar tingkatan enam semester dua untuk menghadiri sesi pembelajaran secara bersemuka di semua sekolah di Kedah pada Oktober ini.

Jelasnya, walaupun negeri itu masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun, telah mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk dibuka pada tempoh tersebut.



Radzi berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan pelajar terlibat membuat persediaan akhir menjelang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Utusan

Guru enggan vaksin dipindah antara negeri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Fat Leonard dari Malaysia bakal bocor rahsia skandal rasuah terburuk Tentera Laut AS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker