Pengampunan Diraja: Anwar bantah permohonan Sanusi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bantahan terhadap permohonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk menentukan persoalan undang-undang berhubung Pengampunan Diraja yang diberikan kepada beliau, lima tahun lalu.

Perdana Menteri memfailkan bantahan itu pada 25 April lalu di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah ekoran saman yang difailkannya terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan beliau dengan perlakuan tidak bermoral.

Anwar membantah permohonan itu atas alasan, permohonan Muhammad Sanusi yang menyentuh Pengampunan Diraja yang diberikan kepada beliau pada 16 Mei 2018, adalah di luar bidang kuasa mahkamah.

Ahli Parlimen Tambun itu menyatakan, kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan perundangan mantap dan tidak boleh disahkan atau divariasikan oleh mahkamah.

Presiden PKR itu berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181 berhubung kuasa Seri Paduka memberikan pengampunan, adalah kuasa tetap dan tidak terjejas.

Anwar menegaskan, permohonan Muhammad Sanusi adalah tidak relevan, remeh, mengaibkan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong dan merupakan penyalahgunaan poses mahkamah untuk menentukan perkara-perkara yang tidak boleh diputuskan.

“Terdapat pelbagai kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan atau mevariasikan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong,” jelas beliau.

Anwar menyatakan, walaupun persoalan yang dikemukakan itu kelihatan seperti sahih, namun ia hanya didasari oleh satu matlamat iaitu mempersoal kuasa YDPA yang muktamad dan tidak boleh dipertikai di mana-mana mahkamah di samping menggunakan mahkamah untuk mengesahkan kandungan dokumen pengampunan itu.

Muhammad Sanusi mengemukakan persoalan sama ada pengampunan yang diberikan oleh Seri Paduka pada 16 Mei 2018 adalah pengampunan penuh yang bersifat bukan sahaja mengetepikan keseluruhan hukuman yang sedang dijalani Anwar ketika itu, malah juga bersifat mengetepikan sabitan jenayah yang sedang atau telah dihadapinya.

Menteri Besar Kedah itu turut mengemukakan persoalan undang-undang lanjut sama ada pengampunan Baginda hanya terpakai kepada pertuduhan yang dirujuk secara spesifik dalam dokumen pengampunan dan tidak termasuk bagi sabitan atau hukuman lampau yang dijalaninya.

Persoalan lain termasuk sama ada kesemua rekod prosiding (namun tidak terhad kepada) keterangan dan dapatan kes-kes terdahulu yang telah didengar atau diputuskan adalah terbatal atau terpadam.

“Saya telah diampunkan secara penuh dan segala keburukan atas diri saya (termasuk rekod-rekod mahkamah) diketepikan dan apa-apa kenyataan yang menyentuh perkara sama adalah fitnah dan boleh dimulakan tindakan,” katanya.

Oleh yang demikian, Anwar menyatakan, defendan telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap beliau apabila menyebut kembali beberapa sabitan jenayah yang pernah dihadapinya.

Sementara itu, peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Muhammad Sanusi memberitahu wakil media, pengurusan kes ditetapkan 28 Jun di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Sementara itu, Muhammad Sanusi dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu berkata, Seri Paduka tidak memberikan sebarang sebab dalam dokumen Pengampunan Diraja melainkan hanya menyatakan ia diberikan atas dasar belas kasihan.

Menurut beliau, dokumen itu langsung tidak menyebut bahawa kesemua rekod dan sabitan jenayah Anwar telah dipadam sepenuhnya.

Pada 31 Mac lalu, Muhammad Sanusi memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menentukan beberapa persoalan undang-undang antaranya sama ada pengampunan Diraja yang diberikan kepada Anwar pada 16 Mei 2018 adalah satu pengampuan penuh yang boleh mengetepikan sabitan kes jenayahnya.

Pada 13 Disember 2022, Anwar selaku plaintif menyaman Muhammad Sanusi, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Putri Ariani Di America’s Got Talent Bikin Meremang (Video)

Saya akan dedahkan apa dihisap Khairy minggu depan – Bung

Artis hamilkan anak orang

Durian duri hitam dijual RM98 1 kilogram di Vietnam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker